KAHERAH, 29 September – Kesedaran sukan sebagai satu gaya hidup terpenting untuk menjaga kesihatan dilihat semakin positif sejak akhir-akhir ini. Tidak kurang juga ada yang menjadikan sukan sebagai hobi di kala waktu senggang. Namun begitu, sebilangan besar masyarakat hari ini tidak pernah terfikir bahawa amalan tersebut sebenarnya merupakan salah satu daripada sunnah Rasul SAW. Justeru, pihak PERUBATAN Cawangan Ain Shams berasa terpanggil untuk melancarkan satu program di bawah Biro Sukan dan Aktiviti Luar (BSAL) iaitu ‘Eksplorasi Kembara Sunnah’.

Program yang mempertaruhkan misi major iaitu menghidupkan sunnah Rasul SAW di samping mengeratkan hubungan sesama ahli ini bermula dengan satu slot menarik oleh Ustaz Ainuddin, Felo Manhal PMRAM Perak, ‘Discovering The Secret Of Sunnah’ yang membincangkan hal-hal berkaitan sukan pada zaman Rasulullah SAW dan hadis-hadis sebagai dalil.

10719276_527325027401084_1687996295_n

Perkongsian berbentuk teori sahaja dilihat tidak mampu mencapai target pihak penganjur dan sehubungan dengan itu slot praktikal turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta merasai sendiri sukan sunnah iaitu berkuda dan memanah. Bertempat di Qanatir Qalyubia, sukan berkuda berjaya mengujakan para peserta dalam mengawal pergerakan sewaktu menunggang kuda yang pastinya memerlukan kepada ilmu.

10253890_10203184828163526_4782846211075020864_n

Begitu juga dengan sukan memanah di Nadi Sirkah, Madinah Nasr. Walaupun berdepan dengan sedikit masalah teknikal yang menyebabkan perubahan masa namun akhirnya program berjaya dilaksanakan dengan jayanya. “Saya rasa program ini berjaya mencapai objektif yang kami tetapkan walaupun ada beberapa kekangan yang kami lalui selain dapat merapatkan ukhwah sesama ahli PERUBATAN, para peserta juga mendapat pendedahan awal tentang dua sukan sunnah yang kami bawakan iaitu berkuda dan memanah. Ini merupakan titik permulaan yang baik untuk ahli terus mengamalkan sunnah Rasulullah melalui bersukan”, ujar Abdul Rahim Abdul Rahman selaku pengarah program kali ini.

1461328_10203184828123525_4714182342125121158_n

Masyarakat pada zaman kini tidak seharusnya mengabaikan sunnah dalam kehidupan. Setiap gerak-geri dan perbuatan seseorang pastinya berkait dengan Islam. Diharapkan semoga program-program sebegini akan terus menjadi wadah yang memberi kesedaran dan peluang kepada orang ramai khususnya ahli PERUBATAN untuk merasai di samping menghayati sukan yang diajar oleh Baginda Rasul SAW.