BERJAYA ATAU GAGAL : BERSANGKA BAIKLAH DENGAN TUHANMU

“ Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kedekut.” [al-Ma’arij : 19-21]

Kebanyakkan universiti telah mengeluarkan keputusan-keputusan peperiksaan tahunan masing-masing. Ada yang gembira memperoleh keputusan yang membanggakan, ada yang berduka mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan. Sama ada berjaya atau kurang berjaya masing-masing telah memberikan yang terbaik dan tidak dapat tidak kedua-duanya merupakan kurniaandaripadaNya dan kita sebagai hamba kepadaNya harus menanamkan rasa reda, ikhlas dan bersyukur.

Berjaya atau gagal kedua-duanya merupakan ujian daripada Allah. Orang yang berjaya diuji keimanan dan kesyukurannya. Sejauh mana kedua-duanya bergerak seiring dengan nikmat yang dikecapi. Walhal, boleh jadi ujian kejayaan inilah yang memberi impak yang lebih besar pada diri seseorang berbanding ujian yang berbentuk musibah atau kegagalan. Manusia sering kali ingat pada Tuhannya ketika dia ditimpa musibah. Tetapi manusia sering kali lupa diri ketika beroleh kesenangan atau kejayaan.

“Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami dia berkata, “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku. Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” [az-Zumar : 49]

Orang yang gagal pula diuji dengan kebergantungan dan pengharapannya kepada Allah S.W.T. Sikap istiqamah dan tidak berputus asa menjadi ukuran. Apabila sesuatu dugaan melanda, seberat mana pun dugaan itu janganlah kita mengeluh dan menyalahkan sesiapa, bahkan belajarlah menerimanya dengan hati terbuka dan belajar menerima dengan penuh kesabaran, keredaan dan ketaatan. Jangan pula kita sesekali menyalahkan Allah S.W.T yang telah menetapkan ujian itu dan jangan pula kita menyangka dengan prasangka yang tidak baik terhadapNyakerana Dialah yang lebih mengetahui rahsia disebalik dugaan tersebut sementara kita tidak mengetahuinya.

Mari kita bersama-sama menyingkap kembali satu peristiwa besar di dalam sejarah yang dapat mengajar kita sesuatu mutiara yang amat bermakna. Peristiwa tersebut ialah perang Uhud, yang mana pada perang tersebut kaum Muslimin menderita terhadap kekalahan dalam pertempuran. Rasulullah S.A.W berdarah terluka, Hamzah bin Abdul Mutalib r.a gugur syahid dan beberapa sahabat utama juga turut syahid di dalam peperangan tersebut. Suatu kekalahan, sedahsyat manapun tetap merupakan kehilangan yang menyakitkan. Orang-orang yang teguh iman mereka berasa tenang dan tidak terpengaruh dengan realiti yang tidak menyenangkan. Kekalahan sekali bukanlah bermaksud kekalahan selamanya, selama mana Allah tidak murka dan rasulNya masih di tengah-tengah mereka.

“…Dan Allah ingin menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada di dalam hatimu. Allah Maha Mengetahui segala isi hati.” [Ali Imran : 154]

Hidup ini diibaratkan seperti syiling, mempunyai dua muka. Satu merupakan waktu susah kita dan satu lagi diumpama seperti waktu senang kita. Tidak semestinya orang yang gagal pada hari ini tidak mungkin berjaya pada masa akan datang dan tidak semestinya orang yang berjaya pada kali ini tidak akan merasai kegagalan pada suatu masa nanti. Begitulah kehidupan ini, AllahS.W.T melambung-lambungkan kita ke angkasa seperti duit syiling dan kita tidak dapat mengagak apa kesudahan kita nanti. Sama ada nikmat atau ujian hidup. Namun kita tidak boleh sesekali berputus asa atau takut seperti yang dikatakan oleh Abbad, “Ketika yang Maha Tinggi melemparkan kamu dengan tanganNya yang satu, maka tanganNya yang lain pasti akan menyambutmu.”

Ya kita tidak perlu takut, cuma perlu memahami dan menerima segala bentuk ujian dan nikmat dengan penuh keimanan ketaqwaan kepadaNya insyaAllah.

MINDA PIMPINAN

Abdullah Aqiel bin Aminuddin
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Naib Pengerusi I
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.