“Dan apabila kamu bersemuka dengan gerombolan musuh, maka tetapkan pendirian dan berzikirlah kepada Allah dengan banyak semoga kamu perolehi kemenangan”

(Al-Anfal: 45)

Pendokumentasian dalam peradaban dan ketamadunan manusia pastinya tidak lekang dengan tinta tulisan mengenai penjajahan, perluasan kuasa, peperangan, ideologi pemikiran, dan perjuangan yang sudah enak sebati dalam melakari sosok frasa ‘kemerdekaan’. Bagainya berbeda sejarawan dalam menokok fakta, begitu jualah dalam berceritera sebuah balada perjuangan yang menelusuri usia tua bumi ini. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak, itulah yang hamba andaikan dalam berbicara mengenai sorotan perjuangan kemerdekaan.

Karikatur yang menggambarkan ‘the white men civilization’

Palitan noda hitam di sebalik penjajahan kuasa barat bernuansakan penyebaran ajaran Krisitian dan ‘ketamadunan Orang Putih’ menyebabkan tertiupnya api perjuangan oleh para cendekiawan dan ulama dalam mencetuskan kesedaran ummah yang sedang nyenyak lena diulit mimpi di kala senja. Adapun perjuangan nasionalis yang muncul dalam kitab-kitab sejarah hari ini, tiada siapapun dapat nafikan perjuangan para alim ulama telah membuka jalan kepada sebuah nikmat kebebasan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T .

Dalam membicarakan soal kebebasan yang merupakan anugerah paling tuntas dikurniakan oleh-Nya ini , kita perlu sedar amanah ini bisa sahaja hilang dek penjajahan cara baru tanpa kita sedari. Alim ulama yang merupakan warisan para nabi tentunya memikul beban amanah untuk meninggikan syiar Islam atas semua kepercayaan dalam menggalas perjuangan menentang penjajah sama ada dari daerah Timur ataupun Barat. Seluruh para pejuang bermandikan keringat dan darah dengan membanting tulang empat kerat yang ada kerana percaya akan betapa manusia itu dilahirkan untuk tidak dipasung akal dan jasadnya untuk memperhambakan diri kepada makhluk selain Allah.

Maka, bagaimanakah buah kemenangan yang disorok setelah begitu lama dalam lipatan sejarah perjuangan alim ulama dalam menuntut kemerdekaan ini, bibitnya bermula?

Emperialisme Barat

Sayogia difahami, penjajahan oleh kuasa-kuasa Barat secara besar-besaran bermula sekitar abad ke-15 dan abad ke-16 Masihi ketika negara-negara seperti England, Perancis dan Sepanyol memulakan penerokaan ke kawasan-kawasan penting di Asia, Afrika, Amerika dan Oceania. Pemerintah ketika itu percaya akan konsep negara bangsa perlu dilaksanakan  demi mewujudkan pemetaan baru sekaligus memenuhi dan memewahkan negara dengan hasil-hasil kekayaan yang diperolehi dari negara-negara yang dijajah itu. Walaupun ternyata ramai juga pandangan sejarawan yang menyatakan bahawa faktor keperluan ekonomi menjadi asbab utama dalam menjarah tanah-tanah umat Islam, namun hamba percaya dendam agama telah memotivasikan dan merangsang semangat untuk mencengkam umat Islam atas apa jua caranya. Matlamat yang paling popular digunapakai dalam menerang agenda ini ialah ‘Gold, Gospel and Glory’ yang ternyata menjadi kiblat perjuangan mereka.

Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang memangkin dalam menjadikan barat keghairahan dalam melaksanakan imperialisme ke atas tanah umat Islam dan tanah-tanah di benua lain. Antaranya , Revolusi Perindustrian yang memuncak pada abad ke-19 dengan pesatnya menyebabkan penjajahan berlaku ke dunia Timur ekoran daripada keperluan bahan mentah yang sangat mendesak. Umpamanya, Britain terpaksa menghadapi kemerosotan bijih timah di Cornwall dan biji getah yang menjadi kepentingan utama dalam perkembangan industri automotif ketika itu. Maka, Asia menjadi sasaran terpenting dalam mengerakkan revolusi industri. Sudah tentu, Tanah Melayu yang terkenal dengan gelaran Semenanjung Emas atau Suvarnabhumi menyebabkan Barat naik gila untuk menjajah tanah ini.

Ferdinand De Lessep

Adapun faktor kekuatan sains dan teknologi seperti kejayaan Ferdinand De Lessep membuka Terusan Suez, konflik pemerintah tempatan seperti kisah Perjanjian Pangkor 1874, Gagasan ‘Pax-Britanica’, persaingan kuasa dalam kalangan pemimpin Barat ketika itu seperti Camilio De Cavour, Otto Van Bismark  mahupun dari British dan Perancis, masing-masing begitu berlumba-lumba untuk menyebarkan ‘White Men Civilization’ .

Sementelahan itu, antara kebanyakan faktor, hamba lebih mempersetujui pandangan yang dipertegaskan oleh Professor Muir yang merupakan seorang sarjana Barat yang begitu yakin bahawa kelicikan Barat dalam memasung propaganda bahawa mentamadunkan manusia dan mengeluarkan Timur dari kekolotan kepada sinar pencerahan dengan pemikiran ‘the white men burden’ telah mengaburi niat jahat mereka untuk menjarah negara umat Islam.

Professor Muir dalam pandangannya menegaskan

” Tanpa imperialisme Barat, bangsa-bangsa Eropah, Amerika Utara dan Selatan, Australia, Afrika Selatan masih tetap jadi rimba raya, dihuni oleh kumpulan-kumpulan orang liar. Tanpa itu, India dan negeri-negeri dari peradaban lama akan tetap ditindas oleh nepotisme yang ganti berganti dan sewenang-wenang . Tanpa imperialisme itu bangsa – bangsa yang terkebelakang dipermukaan bumi harus terus statik dibawah dominasi rasmi adat primitif yang tidak berubah. Pergolakan yang sihat di banyak bahagian dunia bukan Eropah, ini adalah hasil imperialisme Eropah! “

See, how tricky they were?

KONFLIK ANTARA ULAMA

Tahukah anda, musuh-musuh Islam senantiasa ada cara untuk melemahkan perjuangan umat Islam? Dalam kalangan penjajah-penjajah Barat, kebanyakannya melaksanakan modus operandi yang sama untuk menjatuhkan sayap perjuangan rakyat dalam menuntut kemerdekaan. Justeru, sudah pasti barisan ulama yang menjadi benteng pertahanan perjuangan rakyat menjadi mangsa malah ada yang tidak cukup iman diperkotak-katikkan dan menjadi boneka kepada agenda ‘White Men Burden’.

Gambaran Perang Paderi yang dipimpin oleh Haji Miskin

Strategi ‘divide and rule’ yang diimplementasikan oleh British dalam membuka rongga perpecahan di Tanah Melayu serta menguatkan semangat kenegerian dan perkauman ternyata kesatuan rakyat dan umat Islam di Tanah Melayu ialah perkara yang paling ditakuti oleh British. Masakan Belanda pun sama ketika menjajah Indonesia kerana ini terbukti melalui Perang Paderi yang menyaksikan sokongan Belanda kepada kaum adat dalam menentang perjuangan oleh Haji Miskin di negara penduduk muslim terbanyak itu. Misalan, para ulama Tanah Melayu juga tidak terlepas dari kancah yang bersifat serampang dua mata ini. Apabila British mendapati kewujudan ulama dalam menggerakkan misi kemerdekaan, pastinya mereka tidak boleh duduk diam lama-lama.

Maka, British mula menimbulkan hasutan dan ugutan kepada pihak istana untuk menghalang penyebaran idea golongan reformis Islam. Sejarah telah pun membuktikan apabila Sultan Mohamed IV terpaksa bertindak ke atas Tok Janggut di atas kekecohon yang berlaku di Istana Kelantan serta tekanan British sekaligus menutup ruang utuk ulama menyokong gerakan jihad. Ketakutan mereka kepada idea Pan-Islamisme juga telah menyebabkan munculnya fitnah yang berselindung tentang bahaya wahabi yang menentang bidaah dan khurafat yang wujud ketika itu.

Tok Janggut

  Ketika zaman penjajahan, ada barisan ulama yang sudah mula menjadi retak menanti belah. Apa tidaknya, ulama-ulama ketika itu mula berkonflik mengenai perkara-perkara furuk sehingga melupakan perjuangan menentang penjajah. Malah, lebih mengecewakan wujud dalam kalangan agamawan yang menghamburkan kata – kata nista bahkan mengheret masyarakat awam ke arah sirna kejahilan. Sifat-sifat ulama yang berhempas pulas dan bermati-matian dalam membahaskan tentang persoalan talkin, qunut, doa selamat, baca al-quran di atas kubur, maulid Nabi S.A.W dan pelbagai lagi menjadikan British merasakan tidak gelisah lagi. Hal ini demikian, British membiarkan agama Islam untuk dipraktikkan selagi ulama tidak menyentuh periuk nasi mereka dan tidak terlibat dengan hal ehwal pentadbiran. Dalam erti kata lain, ‘Politik tanpa Islam’ dibenarkan!

Perpecahan ulama dan masyarakat Islam diburukkan lagi dengan pertembungan Syiah dan Sunni di negara-negara umat Islam malah dengan sengaja dipertajamkan lagi jurangnya oleh Barat. Namun begitu, modus operandi untuk meruntuhkan ruh Islam dalam kalangan masyarakat tidak terhenti kepada konflik dalam gerakan ulama semata-mata. Terdapat juga ulama-ulama yang teruskan kebangkitan menentang British, namun berakhir dengan episod tragis. Tamsilnya, kes Tuan Guru Hassan bin Munas yang ditembak mati di Kelantan, Khatib Abu Bakar yang menjadi orang syahid yang pertama dalam gerakan jihad Tok Janggut di Pasir Puteh pada 24 Mei 1915 dan peristiwa Kassim Ali Mansur dan Ustaz Nur Alam Shah yang mati di tali gantung di Ranggoon, Burma akibat memimpin peristiwa Dahagi Singapura pada 15 Februari 1915. Pastinya pelbagai rentetan luka lama ini bakal mengulit dalam sejarah-sejarah pilu kebangkitan ulama dalam menegakkan syiar Islam.

Orang-orang Melayu dan India Muslim ditangkap dan ditembak mati dalam peristiwa Dahagi Singapura

Antara modus operandi British yang lain ialah mengasingkan ulama reformis dari masyarakat awam seperti Tuan Guru Abdul Rahman Limbong yang dibuang ke Mekah dan Imam Diponegero yang dibuang jauh dari Pulau Jawa. Selain itu, strategi peminggiran pendidikan agama seperti mewujudkan pendidikan vernakular dan sekolah misionari turut disenaraikan sebagai strategi mereka. Namun, hal ini masih lagi belum melumpuhkan kekuatan serta kepercayaan rakyat yang tinggi kepada agama Islam. Oleh itu, penyebaran fahaman sekularisme diperluaskan dengan meminggirkan ulama dalam menentukan dasar negara serta mengukuhkan proses asmilasi pembaratan dalam kalangan masyarakat.

Sebagaimana yang disebut oleh Gibb,

“usaha-usaha pembaratan ini membolehkan Islam turun dari atas singgahsananya sehingga menyebabkan sistem-sistem pengadilan, kemasyarakatan, pengekonomian dan pendidikan tidak dipakai lagi” .

TAMADUN MELAYU YANG SUDAH DIJAJAH

Ungkapan Cladius Ptolemy dalam sejarah Greek yang menggelarkan Tanah Melayu sebagai ‘Golden Chersonese’ atau Semenanjung Emas atau Suvarnabhumi (Golden Land) melambangkan kecerumbuan bangsa asing kepada sebuah tamadun Melayu semenjak 1000 tahun yang lalu. Kecekapan orang-orang Melayu yang terkenal dalam bidang pertanian, pelayaran, politik, seni dan agama dalam membina tamadun yang besar sentiasa menjadi telinga yang mendengar mudah menjadi panas.

Peta Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke 17

Kedatangan Islam pada abad ke-10 ke Nusantara menjadikan Melayu sebuah tamadun yang mendapat tumpuan bangsa penjajah. Pelbagai rentetan peristiwa dalam lipatan sejarah yang menunjukkan penjajah mencuba untuk menawan seluruh pelosok Nusantara dapat kita saksikan. Ekspedisi penjajahan terhadap Tamadun Melayu bermula dengan siri serangan oleh Raja Rajendra Chola 1 dari Empayar Chola India yang menyerang dan menakluk Kedah, Langkasuka, Gangga Negara dan Kota Ganggayu pada tahun 1025. Inilah kali pertama sebuah Tamadun Melayu dijajah. Serangan dari bangsa asing seperti India dan Siam ini diteruskan semenjak tahun 1238 lagi. Sekiranya dibilang turutan masa, Melayu dijajah tamadun asing lebih 800 tahun sebelum kedatangan British. Siri serangan ini dianggap oleh para sejarawan sebagai penjajahan Pra-Barat.

Namun, kedatangan empayar Islam Melaka dianggap sebagai pembebas Tanah Melayu. Pembukaan negeri Melaka menandakan bermulanya peranan Islam sebagai kuasa politik di Asia Tenggara walaupun dipercayai Pattani, Kedah Tua dan Terengganu menerima kedatangan Islam lebih awal dari Melaka.

Sejarah Melayu ada menukilkan,

” Setelah Makhdum itu sembahyang maka raja pun menderumkan gajahnya. Makhdum dibawa baginda naik gajah akan lalu dibawa baginda masuk ke dalam negeri. Maka segala Orang Besar-Besar semuanya masuk Islam, sekalian isi negeri lelaki perempuan, tua muda, kecil besar sekaliannya masuk Islam” .

Penterjemahan kitab-kitab Islam ke Bahasa Melayu seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Syaidina Hamzah dan Hikayat Amir Hamzah pada zaman pemerintahan Megat Iskandar Shah (Parameswara) , penguatkuasaan undang-undang Islam melalui Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka pada zaman Sultan Muzaffar Shah, pemberian kedudukan istimewa kepada ulama pada zaman Sultan Mansur Shah dan keberjayaan mengsifarkan jenayah seperti yang dilakukan sendiri oleh Sultan Alauddin Riayat Shah menjadikan Melaka sebuah empayar Islam yang besar di serantau semenjak abad ke 15.

Manuskrip Undang-undang Laut Melaka

 Kegemilangan Melaka juga pastinya dilatari barisan ulama yang menjadi guru kepada para sultan seperti Qadhi Yusof, Qadhi Menua, Maulana Jalaludin, Qadhi Munawar Shah dan ulama Wali Songo seperti Sunan Bonang menjadikan ulama berperanan besar dalam memastikan syiar Islam terus kukuh di bumi Melaka.

Namun, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora. Kemarau yang panjang setahun pun akan hilang dek hujan sehari. Empayar Melaka runtuh pada siri serangan kedua oleh Portugis pada 10 Ogos 1511 menandakan berakhirnya Melaka sebagai pusat penyebaran Islam. Walaupun siri serangan pertama berjaya dimenangi oleh Melaka yang terkenal dengan peranan ulama dalam membangkitkan semangat jihad ketika membacakan Hikayat Amir Hamzah,ternyata ekspedisi God, Glory and Gold telah berjaya.

Maka, bermulalah penjajahan demi penjajahan sejak dari 1511 itu. Bermula dari Portugis kemudian berganti Belanda menawan Melaka selama 183 tahun, penaklukan British kepada empayar Kedah dan seluruh Tanah Melayu bermula 1786 melalui penyerahan Pulau Pinang kepada British, pendaratan Jepun di Kota Bahru, Kelantan pada 8 Disember 1941 sehinggalah merdekanya Tanah Melayu dari cengkaman Britisih pada tanggal 31 Ogos 1957.

Namun, benak fikiran hamba masih lagi ligat berputar tentang siapakah yang berperanan dalam menebarkan misi-misi untuk mencapai kemerdekaan yang dikecapi hari ini?

Apakah benar wujudnya kelompok nasionalis sekular yang didakwa menculik buah kemenangan ini?

Bagaimanakah peranan ulama dalam mencetuskan reformasi dalam memerdekakan tanah air ini?

Nantikan sambungan penulis dalam makalah seterusnya iaitu ‘Reformasi Ulama Melayu Semenanjung Emas

SUMBER RUJUKAN

Buku Ulama Melayu dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan

http://en.wikipedia.org/wiki/Tok_Janggut

Muhammad Shafiq bin Kadir
Tahun 2
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

 

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Gaza di Kala Sahur, GST : Berpijak di Bumi Nyata , Memahami apa itu GST dan Vaksin : Bahayakah?. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.