Dalam artikel siri pertama yang bermauduk Ulama Melayu di Persimpangan Konflik dan Imperialisme , hamba telah membawa pandangan mengenai strategi dan helah kotor penjajah, permasalahan yang berlaku dalam gerakan ulama serta kejatuhan Empayar Islam Melaka yang dilihat sebagai titik nokhtah kepada pusat penyebaran Islam di rantau Nusantara. Adapun Champa, Demak dan Acheh yang menggantikan Melaka , namun legasi serambi mekah itu (Melaka) masih lagi gagal dibangunkan walaupun wujud pelbagai cubaan untuk merampas Kota Melaka semula seperti yang diusahakan oleh Kesultanan Melayu Johor.

Peta ketika zaman Kesultanan Melayu

Pada makalah kali ini, hamba akan membawa kita semua untuk merenung semula satu sisi dalam sejarah membebaskan tanah air iaitu peranan ulama dalam sorotan perjuangan kemerdekaan. Perkataan reformasi yang dibawa sebagai resepi utama dalam adunan segala rencah yang ada pada tema kali ini perlu untuk sama-sama kita fikirkan. Hamba merasakan frasa reformasi adalah paling sesuai untuk menggambarkan suasana transisi pola pemikiran para alim ulama dalam menuntut kemerdekaan dari zaman Kesultanan Melayu sehinggalah zaman kolonial Barat.

JIHAD ULAMA MENONGKAH PENJAJAH

Sekiranya kita imbas kembali sejarah silam seperti Empayar Islam Melaka mahupun Kesultanan Melayu Terengganu, Kelantan dan Johor masing-masing ada hikayat perjuangan yang berbeda-beda untuk boleh kita banggakan.

Melaka

Gambaran Bandar Melaka

Misalya, Silalatus Salatin meriwayatkan ceritera mengenai peranan jihad ulama dalam mempertahankan Melaka. Tamsilnya, Maulana Yusof yang merupakan penasihat agama kepada Sultan Mahmud di Melaka telah menerapkan semangat jihad dalam kalangan rakyat Melaka sekaligus mempertahankan negeri itu daripada dijajah menjelang akhir abad ke-15. Ekoran daripada jatuhnya kerajaan Islam Cordova di Eropah menjelang akhir 1492, usaha-usaha penaklukan Barat terhadap kerajaan-kerajaan Islam giat dijalankan termasuklah Asia Tenggara. Menyedari hakikat kebangkitan Barat ini ,  sejak 1482 lagi, Sultan Melaka telah mengirimkan Hang Tuah untuk mengadakan hubungan dengan Syarif Mekah dan juga Sultan Uthmaniyah di Istanbul. Peranan ulama mula tampak ketika Sultan Ahmad Shah memimpin perang menentang Portugis pada tahun 1511. Ulama ketika itu membacakan Hikayat Amir Hamzah. Dalam hikayat itu diceritakan bahawa Amir Hamzah dengan puteranya Rastam berperang melawan Peringgi (Portugis) di negeri bernama Khurasand. Hasilnya kota Melaka berjaya diselamatkan pada 25 Julai 1511 sebelum tewas pada 10 Ogos 1511.

Setelah itu, wujud pelbagai usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Islam untuk menghalau Portugis seperti Sultan Mahmud dan Laksamana Hang Nadim dari Kesultanan Melayu Johor, Adipati Yunus bersama dengan Sayrif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) ketika jihad kedua pada 1521 dari Demak, Sheikh Nuruddin Ashi dengan Sheikh Hamzah Fansuri dari Acheh pada 1537 dan 1547 serta Po’ Rome dari Champa pada tahun 1627 seperti yang diriwayatkan dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang. Namun, ulama-ulama dari negeri – negeri Melayu sudah tidak lagi berjuang membebaskan Melaka pada abad ke-17 (ketika ini Belanda menjajah Melaka) kerana terpaksa berhadapan dengan penjajah – penjajah di tempat masing-masing.

Pattani

Jihad ulama menongkah penjajah di Pattani muncul ketika kejatuhan Singgora daripada Sultan Sulaiman Shah kepada Siam pada tahun 1687. Pattani hadir sebagai kuasa politik yang baru pada abad ke-16 dan 17 selepas kemerosotan Acheh sebagai pusat penyebaran Islam.Pattani menjadi sebuah kuasa baru Islam di Nusantara selepas Phya Tu Nakpa , Raja Pattani memeluk Islam pada tahun 1457. Antara ulama yang terkenal menentang penjajah Siam yang dibantu Belanda itu selepas kejatuhan Singgora pada 1687 dan kejatuhan Pattani pada November 1786 selepas pembunuhan Sultan Muhammad ialah keluarga Faqih Ali.

Sheikh Daud Al-Fathani

Sheikh Daud Al-Fathani merupakan keturunan keenam daripada keluarga ini. Selain itu, keluarga Bendang Daya juga turut melahirkan ulama yang memimpin kerajaan Pattani menentang penjajah seperti Sheikh Wan Muhammad bin Zainal Abidin bin Faqih Wan Musa yang merupakan ayah kepada Tok Bendang Daya.

Kedah

Sebelum Perjanjian Burney pada tahun 1826 yang menyaksikan pengiktarafan kedaulatan Siam ke atas Kedah, Pattani, Kelantan dan Terengganu manakala Pulau Pinang dan Seberang Perai menjadi milik Inggeris, Kedah telah menghadapi Perang Kedah-Siam pada tahun 1820. Ketika perang inilah Kedah mengharapkan bantuan daripada Inggeris menentang Siam. Namun, Inggeris telah bersifat gunting dalam lipatan apabila berpihak kepada Siam sekaligus kerajaan Islam Kedah telah jatuh ketika perang itu. Sehubungan dengan itu, ulama-ulama Kedah mula sedar bahawa mereka telah salah kerana mengharapkan tentera kuffar Inggeris untuk menentang Siam. Ketika konflik inilah , munculnya peranan ulama dalam membangkitkan semula jihad membebaskan Kedah. Pada tahun 1826 , Mufti Kedah, Sheikh Abdul Qadir bin Abdul Jalil telah mengirimkan berita kepada ulama-ulama Melayu di Mekah untuk kembali mengetuai gerakan jihad menentang Siam dan Inggeris.

Sheikh Abdul Samad Falembani yang merupakan saudara kandung Sheikh Abdul Qadir bin Abdul Jalil telah mencetuskan Perang Sabil pada tahun 1828 bersama-sama dengan Sheikh Daud Al-Fathani dan Tok Bendang Daya Tua (Panglima Perang Pattani). Kepulangan Sheikh Abdul Samad pada tahun 1828 juga telah mengatur gerakan dalam Perang Sabil bersama-sama Sheikh Abdul Qadir Abdul Jalil, Syed Zainal Abidin ( Tengku Kudin ) dan Sheikh Mas’ud Mohamad Su’ud al-Banjari.

Namun, setelah perang demi perang berlaku dan kekalahan teruk Pattani pada tahun 1831, Kedah terus diserang Siam sehinggalah Kedah diserahkan kepada Inggeris melalui Anglo-Siamese Treaty pada tahun 1909.

Terengganu

Sultan Zainal Abidin III mengasaskan Itqan al-Muluk biTa’dil as-Suluk yang mempertahankan Terenggganu jatuh kepada British

Terengganu terkenal sebagai sebuah negeri yang terawal menerima Islam sebagai cara hidup sudah tentu dibayangi dengan barisan kepimpinan ulama. Kemangkatan Sultan Zainal Abidin III dan Tokku Paloh pada tahun 1918 menyebabkan kemasukan pengaruh British menjelang tahun 1919. Campur tangan British dalam pengurusan hal ehwal pentadbiran Terengganu terutamanya soal cukai dan tanah menyebabkan kebanyakan rakyat marhaen mula memberontak pada tahun 1921. Kata pujangga lama, yang patah tumbuh hilang berganti. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang merupakan anak emas Tokku Paloh telah mengetuai perjuangan menentang dasar-dasar British yang ternyata menindas umat Islam. Perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong bersama dengan puluhan ulama yang lain seperti Haji Musa Minangkabau , Syed Saqaf dan Haji Abdullah Kampung Dusun telah menyemarakkan api perjuangan sehinggalah 22 April 1928 dan 19 Mei 1928 yang menyaksikan kebangkitan kaum tani menentang penguasaan British.

Konsep jihad menjadi elemen utama dalam kebangkitan ini sekaligus mencetuskan satu gerakan berorganisasi yang tersusun oleh Haji Abdul Rahman Limbong iaitu Sarekat Islam hampir seluruh negeri Terengganu. Menjelang akhir 1928 , berlakunya penyerahan diri dalam kalangan ketua-ketua petani pada British seperti Abu Bakar Centing, Lebai Hassan dan Penghulu Omar ekoran daripada penangkapan Ismal Kuala Por dan Haji Zakaria. Begitu jualah nasib yang terpaksa dihadapi Haji Abdul Rahman Limbong.

Menurut laporan oleh H. W. Thomson dan J. L. Humphreys, Haji Abdul Rahman Limbong dan pengikutnya dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu. Akhirnya Haji Abdul Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian, ulama pejuang Islam berbangsa Melayu itu meninggal dunia di sana.

Sementelahan itu , apakah para pejuang se-Tanah Melayu berputus asa semata?

GERAKAN ULAMA REFORMIS

Sebelum kemunculan gerakan nasionalis dalam kalangan orang Melayu , gerakan kebangkitan penjajah dalam kalangan ulama terlebih dahulu lahir di bumi ini. Tokoh-tokoh terpenting dalam menggerakkan kebangkitan ini kebanyakan merupakan lulusan Mekah dan Mesir seperti Syeikh Ahmad Al-Fathani yang dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Melayu.

Para sarjana berpendapat gerakan reformis dalam kalangan ulama telah memberikan tiga sumbangan besar dalam perjuangan anak bangsa iaitu penubuhan sistem pendidikan madrasah menggantikan sistem pendidikan pondok atau parsantren, penerbitan majalah-majalah dan penubuhan kelab-kelab Islam di seluruh pelosok Tanah Melayu.

Sistem pendidikan Madrasah

Para ulama reformis berpendapat bahawa pendidikan dan ilmu ialah asas kepada memurnikan semangat perjuangan kemerdekaan. Maka, sistem pendidikan Islam moden diperkenalkan iaitu sistem pendidikan Madrasah bagi menggantikan sistem pendidikan pondok. Penubuhan madrasah terawal ialah pada tahun 1906 yang ditubuhkan oleh Sheikh Salleh Masri yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar.

Madrasah yang dikenali sebagai Madrasah al-Masriyah mula ditubuhkan di Tanah Liat, Bukit Mertajam itu mula terkenal pada tahun 1951 ketika Tuan Guru Haji Ahmad Fuad mula menjadi mudir madrasah itu. Antara madrasah terawal yang lain ditubuhkan ialah Madrasah al-Iqbal di Singapura (1907), Madrasah al-Hadi (1917),Madrasah Muhammadiyah di Kelantan (1917), Madrasah al-Masyhoor al-Islamiyah di Pulau Pinang (1919), Madrasah Idrisiah di Perak (1922), Madrasah Alawiyah di Perlis (1926) dan Maktab Mahmud di Kedah (1936).

Penuntut Madrasah Al-Masyoor pada zaman awal penubuhannya

Dalam membincangkan transisi pendidikan Islam madrasah, satu pola pendidikan baru diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) pada tahun 5 Ogos 1917 iaitu sistem pendidikan berasaskan kelas sekaligus membawa kepada penubuhan Madrasah Muhammadiyah. Trend ini mula diikuti oleh kebanyakkan madrasah di seluruh Kelantan sehinggalah merentasi negeri-negeri lain seperti Maktab Mahmud dan Madrasat ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah yang ditubuhkan oleh Syeikh Abdullah Fahim pada tahun 1924.

Perubahan demi perubahan telah berlaku dalam menambahbaik sistem pendidikan madrasah. Bermula dari madrasah biasa kepada sistem kolej seperti Maahad al-Ihya as-Syarif dan sistem universiti yang mencontohi sistem pengajian Mekah seperti Masjid Besar Kota Bahru telah membawa satu pola pemikiran yang lebih futuristik. Reformasi pendidikan berterusan sehingga tahun 1948 yang menyaksikan berlangsungnya Kongres Majlis Tertinggi Agama di Maktab Mahmud pada 1 dan 2 September 1947 sekaligus membawa kepada penubuhan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR).

Penubuhan LEPIR bertujuan untuk mengumpul dana pendidikan, menubuhkan Derma Pelajaran (biasiswa), menyelaras kurikulum seluruh sekolah-sekolah agama dan menbantah sekatan kerajaan British terhadap pelibatan sekolah dalam politik. Namun, LEPIR terkubur pada tahun 1948 akibat pengenalan Ordinan Darurat oleh British pada Ogos 1948.

Perkembangan sistem pendidikan sekolah agama moden menggantikan sistem pondok dari tahun 1906 sehinggalah 1948 telah melahirkan ramai pemimpin utama kemerdekaan. Antaranya Dr Burhanudin Al-Helmi ( Madrasah al-Masyhoor) , Shamsiah Fakeh (Sekolah Tinggi Islam Pelangai), Musa Ahmad ( Madrasah al-Masyhoor) dan Ahmad Fuad Hassan (Maahad al-Ihya as-Syarif). Kemunculan sistem pendidikan Islam ternyata telah membawa gerakan kemerdekaan secara besar-besaran sekitar era 1940-an yang turut menyaksikan tokoh-tokoh berpendidikan Inggeris tidak begitu lancang menentang penjajah sehinggalah siri-siri akhir kemerdekaan.

Penerbitan Majalah ialah Nadi Pemikiran Rakyat

Ulama berpendapat generasi muda ketika itu yang begitu rancak memperjuangkan kemerdekaan perlulah dirangsang mindanya. Mesej – mesej perubahan perlu disebarkan melalui akhbar-akhbar secara meluas. Sehubungan dengan itu, al-Imam diterbitkan pada tahun 1906. Al-Imam merupakan cetusan idea daripada barisan ulama seperti Syeikh Tahir Jalaludin, Syed Sheikh al-Hadi dan Sheikh Abbas Taha.

Majalah al-Imam merupakan majalah terawal di Tanah Melayu

Misi utama al-Imam,

” mengingatkan mana yang lalai dan menjaga mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara kebajikan”

Namun, al-Imam terpaksa dibubarkan pada tahun 1908. Walaupun dibubarkan secara mengejut, para ulama reformis terus mempelopori akhbar-akhbar baru seperti Neracha, Utusan Melayu dan Lembaga Melayu. Tamsilnya, Neracha merupakan akhbar yang diasaskan oleh Sheikh Abbas Taha. Di samping itu, Abdul Rahim Kajai yang merupakan Bapa Kewartawanan Melayu lulusan Mekah mengasaskan Utusan Melayu. Di antara akhbar-akhbar dan majalah lain yang terus muncul saban tahun hendaknya ialah seperti al-Ikhwan diasaskan oleh Syed Sheikh al-Hadi (1925), Seruan Azhar, Pilehan Timur (1927), Saudara yang dipimpin oleh Syed Alwi (1928) dan diikuti Semangat Islam dan Idaran Zaman. Selain itu, ulama-ulama aliran kontemporari juga turut sama terlibat dalam menerbitkan majalah. Antaranya ialah Suara Benar, Lidah Benar dan Panduan.

Sehubungan dengan itu, industri penerbitan akhbar dan majalah dirancakkan lagi dengan lahirnya novel-novel dan karya sastera yang memainkan peranan bagi meniupkan sentimen perjuangan menegakkan kemerdekaan. Penulisan novel seperti Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh Abdul Hadi pada tahun 1925 serta majalah Islamis yang diterbitkan oleh Tok Kenali di Kelantan telah membuka satu dimensi baru dalam dunia penerbitan dan menandakan bermulanya genre moden dalam karya sastera Melayu.

Syed Sheikh al-Hadi dianggap sebagai pelopor sastera Melayu

Pembentukan pemikiran baru umat Islam secara meluas telah mendukung satu aspirasi baru untuk dilahirkan melalui kewujudan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada 1934. Persidangan demi persidangan dilaksanakan untuk membincangkan fungsi dan peranan majalah sebagai nadi pemikiran rakyat dari tahun 1934 hingga tahun 1937 menyebabkan ahli PASPAM telah mencecah seramai 10 000 ribu orang di serata Malaya termasuklah Labuan. PASPAM yang merupakan kelab peminat pembaca akhbar Sahabat itu juga menjadi model kepada akhbar-akhbar lain. Sehubungan dengan itu, penubuhan persatuan-persatuan baru seperti Persekutuan Perbahasan Orang-Orang Islam (1920) yang turut menubuhkan kelab pembaca Suara Benar.

Perkembangan dari hanya satu majalah al-Imam kepada sebuah persatuan pembaca yang seterusnya bertukar menjadi pertubuhan orang Melayu sehinggalah berkembangnya penggerak-penggerak media dan wartawan telah membina satu corak baru dalam minda orang-orang Melayu ketika itu.

Kelab – kelab Islamik tertubuh melata

Ulama reformis pada awal abad ke-20 ketika itu berpendapat persaudaraan dalam kalangan umat Islam perlu dibentuk dan dijana minda mereka  agar semangat memperjuangkan kemerdekaan ialah berasaskan ilmu bukannya emosi secara membabi-buta semata.

Penubuhan kelab-kelab mula berkembang sekitar 1890-an hasil implikasi dari pengaruh Jam’iyatul Fathaniyah di Mekah dan Jam’iyatul Rusydiah di Pulau Penyegat. Kelab-kelab Islam ketika itu kebanyakannya muncul di sekitar Singapura dan Pulau Pinang telah membuka kepada kesedaran berpolitik serta menandakan kemunculan satu corak hidup yang baru dalam kalangan orang Islam iaitu hidup berorganisasi.

Persekutuan Darul Adab dan Persekutuan Darul Takzim dianggap sebagi perintis penubuhan persatuan-persatuan Islam yang lain. Kelahiran Persekutuan Islam Singapura pada tahun 1900 telah menjadi pemangkin kepada penubuhan-penubuhan persatuan lain. Antaranya ialah Muslim Recreation Club di Pulau Pinang (1894) yang ditubuhkan awal 4 tahun. Selain itu, penubuhan persatuan – persatuan lain berkembang saban tahun seperti Persekutuan Keharapan Belia (1916) di Johor Bahru, Persekutuan Indera Kayangan (1918) di Alor Setar, Persekutuan Perbahasan Orang-orang Islam (1919) di Muar, Persekutuan Guru-guru Melayu dan Islam (1920), Jammah Ikhwanul Muslimin di Kampung Ayer Molek, Sunlight Muslim Association Taiping, Kelab Putera, Kelab Suara Muda dan Kelab Setiawan Belia Kelantan. Persatuan-persatuan Islamik tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Menjelang tahun 1930-an, para ulama merasakan perselerakan serta taburan persatuan di merata-rata tempat perlulah disatukan di bawah lembayung yang sama. Akhirnya, PASPAM ditubuhkan pada tahun 1934. Namun begitu, kewujudan kalab-kelab ketika itu masih lagi terhad tentang isu Bahasa Melayu, takrif bangsa Melayu dan juga isu-isu agama Islam dan tidak bersifat berbaur politik.

Kemunculan kelab-kelab Islam berasaskan politik hanyalah muncul sekitar tahun 1926 melalui penubuhan Kelab Melayu Singapura pada tahun 1926 dan diikuti oleh penubuhan beberapa persatuan lain seperti, Persatuan Melayu Perak (1938), Persatuan Melayu Negeri Sembilan (1938), Kesatuan Melayu Johor (1939) dan Kesatuan Melayu Muda (1937). Sementelah itu, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan oleh Kelab Melayu Singapura dan Persatuan Melayu Selangor. Kongres ini merupakan persidangan yang pertama kali dianjurkan untuk membawa kesatuan melayu ke arah kancah politik yang sebenar.

Keratan akhbar yang memaparkan Kongress Melayu Se-Malaya yang pertama

Kepelbagaian pertubuhan orang-orang Melayu telah membawa satu kesedaran untuk berpolitik. Dengan berpolitik , pentas perjuangan kemerdekaan telah membuka satu lagi fasa baru. Fenomena ini berterusan sehinggalah tertubuhnya Kesatuan Melayu Muda menjelang Perang Dunia Kedua di Kuala Lumpur yang melambangkan parti politik orang Melayu yang pertama untuk bercakap soal sisi perjuangan kemerdekaan.

ULAMA MELETAKKAN ISLAM, MELAYU DAN PERPADUAN KAUM SEBAGAI ASAS NEGARA

Gerakan kemerdekaan mula terarah kepada pembentukan parti politik. Barisan kepimpinan ulama mula mencatur langkah dengan penubuhan beberapa parti politik bersifat nasional seperti Hizbul Muslimin, Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) , Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Selepas Hizbul Muslimin diharamkan PAS dianggap sebagai manifestasi gerakan ulama ke arah kemerdekaan.

Hamim.jpg

Logo Hizbul Muslimin

Ketika mula ditubuhkan pada tahun 1951, PAS meletakkan nilai-nilai Islam sebagai asas perjuangannya. PAS dalam menyuarakan tuntutan kemerdekaan , senantiasa meletakkan Islam sebagai asas membentuk negara selepas merdeka. Hal ini berterusan ketika PAS bertukar pimpinan sama ada dari Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan , Dr Haji Abbas Alias mahupun Dr Burhanudin Al-Helmy.

Tahukah anda siapa mereka?

Sejarah juga turut menukilkan ketika Tunku Abdul Rahman berlepas ke London untuk menuntut kemerdekaan, Dr. Haji Abbas tegas mengingatkan Tunku untuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Ketika zaman perjuangan kemerdekaan, PAS mahupun UMNO sentiasa memperjuangkan Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu. Hal ini demikian, hampirnya kesemua orang Islam ialah Melayu. Dalam erti kata yang mudah, memperjuangkan kepentingan orang Melayu bererti memperjuangkan kepentingan orang Islam ketika konteks kemerdekaan zaman itu.

pas414_n

Penubuhan PAS ialah pada tahun 1952

Ulama sama ada dalam PAS dan UMNO senantiasa memastikan kemerdekaan dapat dicapai dengan segera. Misalnya ketika Hizbul Muslimin diharamkan oleh British, kebanyakan ulama dari parti itu serta dari parti-parti yang dicop berhaluan kiri yang lain telah menyusup masuk dalam UMNO. Namun begitu,sebelum ulama lain telah memasuki UMNO, sudah terdapat ramai dalam kalangan ulama hadir dalam UMNO seperti Sheikh Abdullah Fahim. Kehadiran Sheikh Abdullah Fahim telah membuka satu dunia baru dalam UMNO. Sesungguhnya parti ketuanan Melayu itu sebelum ini lebih bersifat berpendidikan Inggeris. Sehubungan dengan itu, Sheikh Abdullah Fahim menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Agama dan Pelajaran UMNO sekaligus menjadi Pengerusi pertama bahagian itu. Penubuhan Pejabat Perkara-perkara Agama oleh ulama dalam UMNO kemudiannya telah membawa pembaharuan walaupun ditentang oleh ramai pihak sendiri. Antaranya desakan serta bantahan biro agama ini terhadap tindakan UMNO yang membenarkan perjudian loteri sebagai sumber kewangan UMNO semenjak 1946. Ketika ini Hizbul Muslimin masih lagi wujud.

Kehilangan Hizbul Muslimin menyebabkan ulama-ulama masih lagi tidak berputus asa. Ulama seperti Tuan Guru Haji Fuad Hassan terlebih dahulu memasuki UMNO dan diikuti oleh ulama-ulama yang lain. Isu utama yang dibangkitkan oleh ulama yang menyusup masuk ketika itu ialah menukarkan slogan ‘Hidup Melayu’ kepada ‘ Merdeka!’ . Selepas pegharaman Hizbul Muslimin , ulama merasakan UMNO ialah satu-satunya wadah yang masih ada untuk mempertahankan nasib umat Islam.

Peristiwa Natrah pada tahun 1950

Tamsilnya, pada Disember 1950, fenomena Natrah yang menggugat akidah umat Islam telah berlaku. Walaupun ketika itu, UMNO masih dilihat kurang tegas menangani isu Natrah, ulama seperti Dr. Burhanudin al-Helmy dan Mohd Taha Kalu telah bersungguh-sungguh melawan isu ini dengan menganjurkan Jawatankuasa Menangani isu Natrah sehinggalah kedua-duanya dihukum penjara oleh British.

Kemudiannya, Tuan Haji Ahmad Fuad menyuarakan pandangannya dalam Suara Umno dengan menulis artikel yang bertajuk ” Ulama Melayu belum bersatu dan belum punya organisasi ” . Hal ini telah membawa satu pertelingkahan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Agung UMNO sekaligus membawa kepada resolusi Persidangan Ulama Malaya kedua. Persidangan ini telah membawa kepada penubuhan PAS.

Setelah PAS ditubuhkan, PAS (Persatuan Ulama Se-Malaya bertukar menjadi Parti Islam Se-Tanah Melayu) tidak lagi bersama-sama dengan UMNO. Perseteruan berterusan sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Namun begitu, PAS dan UMNO masih lagi duduk semeja sekiranya ingin berunding kemerdekaan negara seperti dalam National Convention pada tahun 1953.

Selain itu, para kepimpinan ulama senantiasa menjadikan kerjasama antara kaum ialah pemangkin kemerdekaan negara. Ini terbukti apabila T.H Tan dalam bukunya Utusan ke London telah menyatakan sokongan penuh ulama terhadap rombongan Tunku ke London pada tahun 1954 dengan menekankan soal agama Islam sebagai agama rasmi dan kepentingan kerjasama antara kaum. Ternyata ulama yang disifatkan British sebagai bom jangka adalah tidak tepat sama sekali.

Keratan akhbar Utusan Zaman yang memaparkan detik bersejarah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957

Natijah yang dapat disimpulkan di sini ialah perjuangan ulama dalam membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan orang Melayu ialah satu perkara yang tidak dapat dinafikan sama sekali. Melalui penulisan hamba yang kerdil ini kita dapat melihat begitu hebat sekali ulama dalam berjihad menentang penjajah berasaskan transisi perjuangan yang berbeda. Seiring dengan berputarnya masa ulama terus mereformasikan rentak perjuangan. Ulama sewajarnya harus diingati jua sebagai pahlawan negara dan salah satu sayap perjuangan keamanan Malaysia yang tercinta.

Semoga barisan kepimpinan ulama terus mekar dan subur walaupun di mana jua mereka berada. Salam kemerdekaan kepada seluruh jasad di ibu pertiwi ini. Kini , tinggallah kita dalam mengisi lopak-lopak kemerdekaan sehingga kekallah keamanan ini hingga hujung nyawa. Kerana hamba yakin tanah tumpah darah inilah lahirnya sebuah cinta.

Wallahua’lam

 

Di sinilah lahirnya sebuah cinta. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-57

SUMBER RUJUKAN

Buku Ulama dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan terbitan Jundi Resources

Buku Islam di Malaysia

http://www.umno-online.my/?page_id=2900

http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_political_parties_in_Malaysia

http: http://www.pas.org.my/v2/index.php/berita-kenyataan/2582-ulama-dan-gerakan-islam-dalam-sorotan-perjuangan-kemerdekaan//ms.wikipedia.org/wiki/Pertubuhan_Kebangsaan_Melayu_Bersatu

http://www.pas.org.my/v2/index.php/berita-kenyataan/2619-merdeka-buat-kali-kedua

Muhammad Shafiq bin Kadir
Tahun 2
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

 

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Ulama Melayu di Persimpangan Imperialisme dan Konflik, Gaza di Kala SahurGST : Berpijak di Bumi Nyata , Memahami apa itu GST dan Vaksin : Bahayakah?. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.