Yugoslavia merupakan sebuah negara yang terletak di tenggara Eropah di sebelah semenanjung Balkan. Jumlah penduduk di negara tersebut dianggarkan seramai 25 juta orang dan 5-6 juta daripadanya merupakan penganut agama islam. Yugoslavia terdiri daripada 6 buah republik: Serbia, Croatia, Bosnia-Herzegovina, Macedonia, Monte-Negro dan dua lagi kawasan autonomi iaitu Vojvodina dan Kosovo. Kebanyakan penduduk muslim menetap di kawasan Bosnia-Herzegovina dan Kosovo. Setiap republik mempunyai sistem sosial, keagamaan dan sejarah politik yang tersendiri yang lebih mirip kepada negara jiran masing-masing berbanding sesama republik.

 

Peta Bosnia dan Herzegovina pada hari ini.

 

SEJARAH BOSNIA-HERZEGOVINA, YUGOSLAVIA DAN SERBIA

Yugoslavia yang ada pada masa kini sebenarnya merupakan negara yang baharu dibentuk hasil daripada kejatuhan empayar Austrio-Hungary dan Uthmaniah selepas Perang Dunia Pertama 1918. Dari awal abad ke-6 hingga abad ke-9, penduduk asal tenggara Eropah dipelopori oleh kaum Slav yang berpindah ke situ. Kawasan ini kemudiannya menyaksikan penaklukan demi penaklukan dari pelbagai kerajaan di sekelilingnya. Walaupun berbagai-bagai kerajaan yang naik dan turun, namun apa yang sentiasa kekal adalah pengaruh gereja. Dari sebelah barat adalah kerajaan Rom yang membawa fahaman Katolik manakala dari sebelah kiri merupakan kerajaan Byzantine dengan membawa fahaman Ortodoks.

Perebutan pengaruh ini memaksa penduduk di situ untuk memeluk salah satu daripada kedua-dua fahaman ini. Walaubagaimanapun wujud dalam kalangan penduduk yang tidak mahu menganut fahaman ini telah melarikan diri ke kawasan perbukitan Bosnia-Herzegovina. Di sana mereka bertemu dengan penduduk yang menganut kepercayaan ‘Bogomil’. Penduduk ‘Bogomil’ ini dilabel oleh gereja Katolik sebagai sesat kerana tidak bersetuju dengan konsep triniti.

Tinggalan puak Bogomil sekitar abad ke-10

Pada tahun 1389, tentera Uthmaniah mengambil alih kawasan Ortodoks dan menaikkan hukum dan pemerintahan Islam serta kebebasan beragama. Pada masa ini, ramai yang memeluk Islam dan bermulalah kebangkitan kerajaan Islam Uthmaniah setelah pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh pada tahun 1453. Sepuluh tahun selepas itu, Jeneral Mahmud Basha di bawah arahan Sultan Muhammad al-Fateh mengetuai kemaraan tentera Uthmaniah di Bosnia, dan pada tahun 1492, seluruh kawasan Bosnia-Herzegovina berada di bawah takluk krrajaan Uthmaniah. Penaklukan ini turut disertai dengan pengislaman secara sukarela oleh puak Bogomil secara beramai-ramai.

Daripada pertengahan abad ke-15 sehingga penghujung abad ke -17, Bosnia-Herzegovina dengan ibu negerinya, Saravejo menjadi pusat kebudayaan, pendidikan dan ekonomi bagi kawasan barat kerajaan Uthmaniah. Pusat-pusat kesihatan, keagamaan dan sekolah-sekolah dibina dengan pesat. Pusat pengajian yang juga dikenali sebagai Maktab telah dibina seawal tahun 1500 sebagai tempat anak-anak umat Islam belajar asas-asas agama dan membaca Quran. Kemudian pada tahun 1537 dibina Medresa yang menjadi sekolah rendah dan menengah yang pertama di Saravejo. Di dalamnya diajar mengenai sains, matematik, sastera, tafsir, hadis dan tajwid. Dikatakan bahawa lebih 30 orang ketua menteri kerajaan Uthmaniah merupakan hasil didikan di Bosnia-Herzegovina. Tambahan pula, penduduk Bosnia-Herzegovina turut menjadi benteng pertahanan pertama bagi serangan berterusan dari tentera Salib. Berkat daripada pengorbanan mereka, umat Islam di Timur Tengah dan Utara Afrika merasa keamanan selama beberapa kurun.

Pada penghujung abad ke-17, bermulalah kejatuhan kerajaan Uthmaniah yang disebabkan oleh korupsi dalaman dan serangan luar yang berterusan. Kejatuhan inilah yang telah membawa kepada gelaran ‘Orang Eropah yang Sakit’. Pada 1683, tentera Uthmaniah telah dikalahkan di Gates of Vienna dan seterusnya terpaksa berundur ke arah selatan dan timur pada 1699. Hal ini menyebabkan kerajaan Uthmaniah kehilangan kawasan takluk di utara Sungai Sava dan Danube serta barat Sungai Una dan Sana. Umat Islam terpaksa berpindah ke sempadan jajahan Uthmaniah, manakala yang tidak mampu dipaksa untuk menukar agama ataupun dibunuh.

Selepas kekalahan dalam perang Russia-Turki pada tahun 1878, kerajaan Uthmaniah terpaksa menyerahkan urusan pentadbiran Bosnia-Herzegovina kepada kuasa monarki Austria-Hungary seperti yang dipersetujui dalam Congress of Berlin Agreement. Bosnia -Herzegovina masih lagi menjadi wilayah Uthmaniah “pada nama” sehingga ianya diambil alih secara rasmi pada tahun 1908. Congress of Berlin Agreement seterusnya menetapkan bahawa umat Islam di Bosnia dan Herzegovina diberi kebebasan untuk mengamalkan agama serta urusan-urusan keagamaan seperti pusat-pusat agama, hal ehwal pendidikan, urusan harta wakaf, institusi kekeluargaan dan pengamalan individu. Seorang Rais Ulama dilantik bagi mengetuai urusan keagamaan umat Islam di situ.

Congress of Berlin Agreement

HILANGNYA KUASA UTHMANIAH


 Serbian King Alexander 1

Setelah hilangnya kuasa Uthmaniah, umat Islam di situ menghadapi tekanan dan penindasan dari Serbia dan Montenegro. Berikutan Perang Dunia Pertama, sebuah kerajaan yang menghimpunkan rakyat Serbia, Croatia dan Slov dibina. Kerajaan ini mengambil bentuk monarki berperlembagaan yang diketuai oleh Serbian King Alexander 1. Sehingga 1929, kerajaan yang dinamakan Yugoslavia ini menghadapi pelbagai masalah dalaman dan perpecahan. Oleh itu, King Peter I telah menukar bentuk pemerintahan kepada sistem diktator. Beliau kemudiannya dibuang negara semasa pencerobohan oleh puak fasis dari Jerman dan Itali.

Logo Mladi Muslimani hari ini

Pada tahun 1941, seawal pencerobohan puak fasis, sebuah organisasi yang dinamakan Mladi Muslimani (Remaja Muslim) ditubuhkan di Bosnia-Herzegovina. Organisasi ini terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti. Organisasi ini bertujuan untuk: (i) menghidupkan kembali gaya hidup dan pemikiran Islam yang murni dan dinamik, (ii) pemurnian fikrah mengenai umat Islam, sejarahnya dan tradisinya, (iii) pembangunan pusat-pusat sosial dan pusat-pusat amal yang memberi pertolongan kepada pelarian, anak yatim dan mangsa perang. Walaupun tiada hubungan yang khusus dengan organisasi-organisasi yang memperjuangkan kebangkitan Islam dari seluruh dunia, namun Mladi Muslimani turut berkongsi sifat mereka iaitu kembali kepada Quran dan Sunnah.

Bersambung . . .

Hanif bin Khairuddin
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Pengarah,
Unit Mentor Council,
Biro Pembangunan Insan,

PERUBATAN Cawangan Ain Shams 

Penulis ini juga pernah menulis beberapa artikel untuk laman PERUBATAN Online. Antaranya ialah Raikan kemenangan Aidilfitri !MH370 : Hakikat Sebuah Ujian , Ada Apa dengan 6 Oktober dan 5 Best Teacher in Animes. Klik pautan – pautan berikut untuk terus membaca karya beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.