Abbasiah, 23 Julai – Kira- kira seminggu lalu, kemeriahan Pilihanraya Tahunan Batch(PTB) Emin3nt’10 yang diadakan saban tahun tetap dirasai, biarpun masih perlu berhadapan dengan dua subjek terakhir peperiksaan akhir tahun.

Terdahulu, fasa pertama pilihanraya ini yang diadakan pada 12 Julai yang lalu menyaksikan kemunculan nama-nama baru untuk memenuhi ketujuh-tujuh jawatan yang dipertandingkan, baik di peringkat ikhwah mahupun akhwat.

ptb2

“ Semua ahli batch dapat beri kerjasama yang baik. Cuma ada sedikit kekurangan dari pelajar-pelajar G2G kerana tempat peperiksaan yang berbeza, menyebabkan berlakunya sedikit kepincangan untuk menemui mereka di akhir peperiksaan. “, jelas Muhammad Hasif bin Tumiran selaku pengarah SPR kali ini. Dalam pada itu, beliau turut memberi komen tentang undi rosak yang diperoleh semasa proses pengiraan undi fasa satu. Menurut beliau, masalah tersebut sedikit sebanyak berlaku atas kekurangan SPR dalam menyampaikan informasi kepada ahli tentang cara-cara pengundian dengan terperinci.

ptb3

 

Proses pengundian fasa dua yang berlaku sejurus selepas tamat peperiksaan bertulis Ear, Nose & Throat (ENT) menyaksikan persaingan sengit untuk semua calon. Pilihanraya kali ini menyaksikan kemenangan besar kepada Saudara Zulkifli bin Ab Rahim yang mengungguli bilangan undi tertinggi sebanyak 58.11 % menewaskan pesaing terdekatnya, Muhammad Ayyub Affandi bin Azizan dan Ahmad Aizad bin Mohd Noor.

Manakala calon akhawat, Saudari Nur Izatul Asikin binti Omar berjaya mengekalkan posisi beliau apabila terus dipilih untuk menjadi Timbalan Ketua Batch menundukkan tiga calon lain, iaitu Ain Syuhada Saadon, Fatin Fatini Mohd Mesri, dan Adani Dania Haji Awal. Peratusan undi Izatul adalah sebanyak 65.6%.

ptb

 

Pihak SPR mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan takziah kepada seluruh barisan kepimpinan Emin3nt’10 yang bakal meneraju batch ini kelak. Semoga dapat menjalankan amanah ini dengan tulus dan bersungguh-sungguh.

Dalam pada itu, Unit Liputan BPP sempat menemuramah Saudara Abdullah Aqiel bin Aminuddin; Naib Pengerusi I PCS yang memantau pergerakan Majlis Ketua Batch (MKB) pada sesi ini. Menurutnya, pilihanraya tahunan kebanyakan batch biasanya diadakan sebermulanya sesi kuliah baharu, namun batch Emin3nt’10 mengambil langkah awal agar pimpinan baharu batch sesi hadapan dapat bersedia dalam perancangan batch.