Tragedi MH17 : Suratan atau Kebetulan.

Mengenang MH17. Al-Fatihah

Sorotan Tragedi

Sekali lagi negara dikejutkan dengan tragedi yang meruntun jiwa. Pesawat milik Malysia Airlines dilaporkan terhempas semasa berada di ruang udara sempadan negara Ukraine-Rusia. Tragedi MH370 masih belum reda khabarnya, kini negara dihadapkan dengan musibah yang menyayat hati iaitu tragedi MH17 dalam masa kurang dari enam bulan. Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak juga mengarahkan penurunan bendera negara separuh tiang bagi mengingati nahas ini.

Bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara

         Berdasarkan bukti yang dikemukakan, pesawat ini dipercayai ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu canggih yang dikenali sebagai BUK M2. Peluru berpandu ini mampu menembak sejauh 25 km, tiga kali ganda daripada ketinggian pesawat MH 17. Secara jelasnya, nahas ini sudah pastinya telah  mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal. Nahas ngeri ini juga telah menimbulkan banyak persoalan. Siapa angkaranya? Kedua-dua buah negara sama ada Ukraine atau Rusia saling menuding jari dalam mencari dalang sebenar nahas ini. Keadaan dikeruhkan lagi dengan pergolakan yang berlaku antara dua negara ini. Tetapi kerajaan Malaysia mengambil langkah bijak dengan bersifat berkecuali bagi menyelesaikan krisis ini.

Bukan itu sahaja, tragedi ini juga turut menarik perhatian dunia. Banyak negara telah melahirkan rasa simpati dan mengucapkan ucapan takziah serta belasungkawa terhadap peristiwa yang menimpa negara ini. Banyak juga negara yang turut menawarkan bantuan untuk membantu dalam misi menyelamat dan menyiasat di tempat kejadian.

Sidang media dilakukan pada jam 5 pagi

Kronologi dan Peristiwa

Pesawat Boeing 777 yang membawa 289 penumpang dan 15 orang anak kapal diterbangkan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur. MH17 dilaporkan hilang dan terputus hubungan di ruang udara Ukraine oleh ATC Ukraine dari sempadan Rusia-Ukraine. Seterusnya telah disahkan terhempas, dipercayai telah ditembak jatuh. Penumpang yang rata-ratanya merupakan rakyat Belanda, seterusnya Malaysia, Australia, Belgium, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Filipina, dan Kanada, kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan terkorban dalam nahas.

Dipercayai berlakunya perubahan laluan pesawat sebelum terhempas

        Berikut merupakan ringkasan urutan masa pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH 17 yang terhempas di kawasan tegang sempadan Rusia-Ukraine :

17 Julai (Khamis)

* 12.15 Tengah Hari – (waktu tempatan Amsterdam) MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Amsterdam.

* 10.15 MALAM – (waktu Malaysia) MAS mengesahkan ia telah menerima pemberitahuan daripada ATC Ukraine bahawa ia telah terputus hubungan dengan Penerbangan MH17 pada 1415 (GMT) di kedudukan 30km dari Tamak, kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.

18 Julai (Jumaat)

* 12.00 TENGAH MALAM – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menulis tweet: “Saya terkejut dengan laporan bahawa sebuah pesawat MH terhempas. Kami akan melakukan siasatan serta merta.”

– Perdana Menteri Ukraine Arseniy Yatsenyuk mengarahkan siasatan dilakukan terhadap nahas itu.

Perdana Menteri Ukraine Arseniy Yatsenyuk

* 2.07 PAGI – Laporan Reuters memetik Menteri Kecemasan Rusia Vladimir Puchkov sebagai berkata Rusia telah meminta kebenaran Kiev pada Khamis untuk membantu kerja-kerja menyelamat di selatan Ukraine selepas sebuah pesawat penumpang Malaysia terhempas di kawasan itu.

Pengajaran dan Peringatan

           Jika dilihat secara mata kasar, sudah tentu difikirkan nahas ini merupakan satu musibah yang pastinya akan menjadi catatan sejarah negara. Apatah lagi bagi ahli keluarga penumpang dan anak kapal, nahas ini menyebabkan mereka kehilangan orang yang tersayang. Cukup besar dan mendalam kesannya sama ada bagi negara mahupun secara individu. Semua ujian ini adalah izin daripada Allah dan untuk hamba yang di kehendaki. Allah juga telah nukilkan kalam-Nya yang indah kitab suci al-Quran, mafhumnya :

“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” – [At-Taghabun:11].

Namun, jika dilihat melalui mata hati, nahas ini kita boleh jadikan satu pengajaran dan peringatan dalam pelbagai aspek. Dengan ini, kita haruslah beringat-ingat bahawa kematian itu pasti, cuma caranya yang berbeza-beza.  Apatah lagi, nahas ini banyak meninggalkan kesan kepada negara bahkan juga ahli keluarga mangsa. Tentunya pengajaran supaya mengenal erti reda dan pasrah dengan ketentuan Illahi, yang tiada siapa mampu menolaknya.

Suasana lokasi nahas MH17

             Jadi, marilah kita bersama-sama mengambil ibrah dan pengajaran dari tragedi ini. Janganlah kita leka dan alpa sehinggakan lupa tempat kembali kita yang kekal abadi. Hidup ini satu perjalanan, tetapi mati itu satu kepastian.

Datuk Seri Najib dan isteri melawat keluarga mangsa nahas MH17

Hadiah Tanda Kasih

             Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan dalam pesawat dan kokpit sebelum ianya jatuh menyembah bumi. Pasti ketakutan menyelubungi setiap jiwa-jiwa mereka yang melaluinya. Nah, lihat sahajalah kerosakan yang terlihat selepas pesawat ini terhempas. Musnah. Itu sahaja kata-kata yang dapat menggambarkan suasananya. Tiada pemandangan yang indah. Malahan penuh kedukaan tatkala melihat mayat-mayat mangsa yang bergelimpangan di sekitar tempat kejadian.

Mufti negeri Kedah, Datuk Paduka Sheikh Muhamad Baderudin juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa umat Islam yang terlibat dalam nahas mendapat pahala syahid akhirat. Sungguh besar ganjaran yang Allah kurniakan kepada mereka. Memetik kata-kata beliau semasa ditemu-ramah baru-baru ini :

“Syahid Akhirat bermakna hukuman kalau mayat mereka itu dapat dikenalpasti kita kena buat macam orang mati biasa kita sembahyang kita kafan kita mandi tetapi di akhirat mereka akan diberi pahala oleh Allah semacam mana orang mati Syahid Akhirat. Ada pun orang yang mati Syahid kerana memperjuangkan agama Allah seperti penduduk Palestin menentang Yahudi mereka itu Syahid Dunia dan Akhirat. Yang jatuh kapal terbang, jatuh pokok tenggelam air (lemas) dipanggil Syahid Akhirat bukan Syahid Dunia. Di dunia di buat semacam orang biasa tapi di akhirat kedudukan orang mati Syahid,” katanya.

 

Belanda yang turut bersedih kehilangan ahli keluarga tersayang

               Sebagai umat-Nya yang masih berpeluang untuk bernafas di atas bumi ini, sama-samalah kita bermuhasabah diri dan memanjatkan doa kepada Allah supaya memelihara negara ini dan dikekalkan keselamatannya. Marilah kita hadiahkan al-Fatihah kepada mangsa-mangsa nahas. Semoga Allah menempatkan mereka dalam kalangan orang yang beriman.

Al-Fatihah.

SUMBER RUJUKAN

http://www.astroawani.com/

http://www.nationmultimedia.com/aec/MH17-crash-wakes-up-the-world-30238819.html

 

Khairun Najwa binti Ali
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

Penulis ini pernah menghasilkan beberapa artikel lain seperti Kasih Sepantun Tulisan Pinggan dan Ibu Tetap Seorang Ibu. Klik pautan ini untuk terus membaca karya-karya beliau.

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.