[PERTANDINGAN KARYAWAN TERBAIK]

Tasbih Ukhuwah

 

 

Durratul Hani.

Sebaris nama itu menjengah ke mindaku.

Ah! Betapa hati ini merindui dirinya dan kalam-kalam tarbiyah tanda cintanya.

Kenangan bersamanya kembali bermain di kotak memoriku. Pertama kali bertemu dengannya dahulu, aku bukanlah aku yang sekarang. Fatin Nur Athirah hari ini sangat berbeza dengan Fatin Nur Athirah yang dulu. Sebelum bertemu dan berusrah serta berukhuwah bersama insan istimewa ini, aku hanya dengan duniaku. Tak mengenal erti bersaudara dan berukhuwah. Sekadar tahu berkawan. Bergelak ketawa bersama. Bergembira bersama. Bila sedih, aku hanya akan memendam sendiri.

Durratul Hani.

Insan inilah yang menjadi wasilah dalam membentuk diriku yang sekarang. Dialah yang membawa aku keluar dari duniaku melangkah ke taman-taman ukhuwah yang indah. Mengenalkan aku dengan dunia baru yang membuka ruang buat aku untuk melangkah ke syurgaNya. Memimpin tangan aku melewati hari-hari sukarku. Menyambut aku kala aku hampir terjatuh menyembah bumi. Ya Allah, indahnya dunia yang dia kenalkan pada aku. Dunia ukhuwah. Hingga kini, aku masih terus hidup di dunia ukhuwah itu. Walaupun tanpa dia di sisi, tapi indah itu masih terasa.

Terasa saat perkenalan kami kembali diputarkan di minda bagai rakaman yang dimainkan semula. Pertama kali aku menyertai usrah. Di sekolah yang baru. Dalam suasana yang baru. Dari situlah pertama kali aku bertemunya.

Sejak tingkatan 1 sehingga tingkatan 3, aku hanya bersekolah di sekolah menengah biasa. Dahulunya aku tidak tahu, apa mimpinya mamaku tiba-tiba menghantar aku ke sekolah agama swasta.

Jiwa remaja yang biasa bebas tiba-tiba diikat, pastinya memberontak. Tapi kudrat anak nyata tak mampu melawan ibunya. Biarpun merajuk, memberontak seteruk apa pun, bila melihat airmata ibu jatuh kerananya pastinya tak sanggup membantah. Lalu, dalam terpaksa aku melangkah juga kaki ini menuruti hasrat mama.

Namun kini, ucapan terima kasih dan syukurku panjatkan kerana Allah gerakkan hati si ibu untuk memberikan dunia baru yang sebenar-benar dunia buat anaknya. Dunia yang menjanjikan kebahagiaan hakiki yang abadi buat anak tunggalnya ini.

Terima kasih mama.

Syukur padaMu Ilahi.

           *   *   *   *   *

 

Usrah pertama aku.

“argh…boringnya…patutnya aku boleh rehat-rehat ja hari minggu ni. Tiba-tiba je ada apa benda entah program ni. Sekolah dulu tak ada pun usrah-usrah ni,” rungutku dalam hati. Bicara dari naqibah langsung aku tidak endahkan. Berlalu begitu sahaja dibawa bayu pagi itu.

“ baiklah, sebelum kita akhiri usrah pertama kita hari ni, kak mira nak taakhikan adik-adik usrah kak mira ni dulu.  Sekarang adik-adik ada enam orang, jadi tiga orang akan cabut kertas ni. Di kertas ni ada tertulis nama taakhi adik-adik. Jadi, akak nak Sofea, Fatin dan Izzah cabut,” terdengar namaku disebut barulah aku bagaikan tersedar dari duniaku. Aku pun mencabut.

Durratul Hani.

Nama yang pelik bagi aku saat itu. Walhal nama itulah yang memberi kesan yang mendalam dalam hidupku. Aku melihat si empunya nama. Sekadar tersenyum nipis padanya. Berbeza dengan dia yang menghamparkan senyum manis buatku. Namun aku hanya memandangnya sepi. Bermula dari saat itulah, kisah hidupku mulai ingin berubah. Tanpa aku sedar, aku sedang memegang kunci untuk ke sebuah dunia indah bila aku dan Durratul Hani ditaakhikan.

Dan usrah pertamaku itu berakhir dengan helaan nafas legaku. Akhirnya! Habis juga. Baru gaya ingin kumelangkah pulang ke bilikku, tanganku terasa digapai. Langkahku terhenti.

“kejap, Hani ada benda nak bagi kat taakhi Hani ni,”dikeluarkan sesuatu dari begnya dan disuakannya padaku.

“salam ukhuwah ya ukhti,” hanya itu yang terkeluar di bibirnya sebelum berlalu. Aku hanya memandang sepi kotak kecil di tanganku sebelum aku juga melangkah pulang ke bilikku.

Sampai di bilik, aku terus menghempaskan badanku ke katil. Seketika aku teringat pemberian Hani tadi. Aku capai dan kubuka kotak kecil yang awalnya kuletakkan di meja belajarku saja. Sekeping kad kecil dan seutas tasbih.

“ moga ukhuwah yang terjalin antara kita ibarat untaian tasbih. Ada awal tiada penghujung. Dibahagi kerana cintaNya. Diratib demi redhaNya..”

Itulah ayat yang tertulis. Pendek tapi cukup bermakna. Namun, bagi seorang Fatin Nur Athirah yang saat itu baru hendak mengenal dunianya yang baru itu, kata-kata itu tidak membawa apa-apa makna buatnya. Disimpannya kembali dan dibiarkan menyepi pemberian itu di dalam laci mejanya.

Semenjak hari itu, selalu saja Hani datang menegurku. Sering saja ada kad-kad kecil yang diletakkan di mejaku. Kadang-kadang diselitkan di celahan Al-Quranku. Walaupun secara diam-diam, aku tahu dari siapa. Hanya dia yang rajin melakukannya walau tanpa aku hargai. Walaupun tanpa aku endahkan. Masa terus berlalu. Durratul Hani masih begitu. Dan aku juga masih begini.

Sehinggalah suatu saat Allah takdirkan aku jatuh.

Jatuh ke lubuk kekecewaan dan kesedihan yang sangat dalam. Keputusan peperiksaan akhirku merosot. Mamaku meninggal kerana kanser. Mama sakit lama tapi dia rahsiakan. Aku murung berhari-hari. Tiada siapa yang berani mendekat memandang selama ini aku hanya dengan duniaku. Walaupun dikelilingi ramai orang namun aku tidak pernah membuka ruang untuk orang masuk ke dunia aku atau memberi peluang kepada diri sendiri untuk merasai dunia orang lain. Hanya yang masih setia tanpa jemu hanyalah dia. Durratul Hani. Benar-benarlah dia mutiara. Mutiara yang penuh dengan kasih sayang.

“ Allah tak hadirkan sesuatu dengan sia-sia. Sama ada baik atau buruk. Bahagia atau sedih. Kita suka atau tidak. Semuanya ada maknanya tersendiri. Kitalah yang kena menilainya dan cari hikmahnya.”

Kata-kata ini hadir bersama bahunya buat aku bersandar. Bersama telinganya buat aku meluahkan. Bersama tangannya buat mengesat air mataku. Aku curahkan segala-galanya pada Hani. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku boleh luahkan semuanya. Apa yang aku lalui, apa yang aku rasa, apa yang aku fikir dan apa yang aku harapkan. Telinganya mendengar dengan setia. Tanganku digenggamnya sehinggalah aku habis bercerita.

“ Alhamdulillah. Allah sayang Fatin.” Itulah ayat pertamanya setelah aku selesai bercerita.

“Allah hadirkan ujian, Allah hadirkan rasa itu tandanya Dia sayang. Dia mahu Fatin kembali padaNya. Dia mahu Fatin mengadu padaNya. Dia mahu Fatin meminta padaNya. Kembalilah pada Dia. Mengadulah pada Dia. Berharaplah pada Dia. Allah rindu Fatin tu. Sebab tu Dia bagi ujian yang Fatin rasa berat ni. Bila rasa berat dan tak da siapa boleh tolong, jangan lupa kita masih ada Dia. Dia tak pernah lupakan kita tau. Dan Dia takkan uji benda yang kita tak mampu nak tanggung” Buat pertama kalinya, hati ini rasa disentuh. Rasa hiba. Rasa syahdu. Indahnya kalam insan ini.

“soal mama Fatin. Memang Hani tak pernah jumpa, tapi Hani selalu je tengok masa mama Fatin datang melawat Fatin. Dari riak wajahnya, Hani dapat lihat keinginan seorang ibu. Hatinya sangat menginginkan anaknya ini menjadi bidadari. Menjadi anak solehah yang akan mendoakan dia. Mungkin mama Fatin dah tahu hidupnya tak lama, jadinya dia nak lihat anaknya ini mampu bahagia dan berjaya di dunia dan di akhirat. Mampu mendoakan dia bila dia dah tiada. Sabarlah. Tunaikan impian mama Fatin ya. In sya Allah, Hani ada. Allah pun ada. Doakan mama selalu ya,” Aku terus menangis. Terharu dan sedih. Masih ada insan yang sepertinya. Yang sudi menemani aku walaupun selama ini aku tak pernah hiraukan dia.

“terima kasih Hani.”

“tak perlu, Allah yang hantar Hani untuk tenangkan Fatin. Sebab Dia sayang, sebab Dia cinta. Tanpa syarat.” Sepatah-sepatah Hani ucapkan. Hati ini semakin hiba. Terima kasih ya Allah.

“kenapa Hani masih sudi teman Fatin walaupun Fatin tak pernah layan Hani?” aku ajukan soalan dan dia balas dengan senyuman.

“ sebab Fatin Nur Athirah ini amanah Allah buat Durratul Hani.” Masih tersenyum. Tersentak aku dengan jawapannya. Sucinya hati insan ini.

Bermula dari saat itu, aku mula memberi peluang kepada diri aku untuk melangkah ke dunia seorang Durratul Hani. Dunia yang penuh ukhuwah, mahabbah dan tarbiyah. Perlahan-lahan meninggalkan dunia aku yang suram dan kelam sendirian. Aku mula mengenal makna ukhuwah. Aku mula memahami kata-kata pada kad pertamanya dahulu. Aku kembali mengenal makna bahagia dan makna kehidupan yang sebenar-benarnya. Dan satu perkataan menggambarkan kehidupan aku sekarang, INDAH! Dengan hati yang tenang dan jiwa yang bahagia.

 

            *   *   *   *   *

 

Zaman persekolahanku kini sudah berakhir. Aku kini di bumi Mesir menyambung pengajianku dalam bidang kedoktoran. Hani pula ke bumi Syam mengutip mutiara ilmu di sana. Kami masih terus berhubung. Jika dahulu, kad-kad kecilnya sering saja hadir di meja dan di celahan Al-Quran, tapi kini warkah cintanya hadir di kotak emelku pula. Bila saja aku rasa sedih dan lemah, aku mesejkan ke facebooknya. Dan pasti dia membalasnya dengan balasan yang mengubat jiwaku. Walaupun aku belajar bidang perubatan tapi dialah yang terlebih dahulu memegang status doktor bagiku.

Kini, sudah dua tahun kami berpisah. Sudah dua tahun tidak bertemu mata. Hanya emel dan facebook yang menghubungkan kami.

Suatu hari, ada emel yang aku terima dari Hani.

Assalamualaikum buat srikandi ummah…bakal bidadari syurgaNya….

Apa khabar sahabatku sekarang…? Moga Allah pelihara dirimu juga imanmu. Saja emel sebab tiba-tiba rasa nak share something. Tak pe ja kan?

Allah berfirman: “ sesungguhnya hanya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya pada besok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal.”            (surah Luqman ayat 34)

Dari ayat ni banyak yang kita boleh dapat kan?

1)      jangan berputus asa. Kita tak tahu apa akan berlaku. Mungkin sama atau tidak dengan apa yang kita mahu. Tapi tak semestinya kita tak boleh meminta dan berdoa. Kerana Allah dah berjanji kalau kita minta Allah akan kabulkan. Jadi, teruslah meminta dan berdoa.

2)      Rancanglah hari esokmu dan berusahalah. Yes, kita tak tahu apa akan berlaku pada besok hari tapi tak bermaksud kita tak boleh merancang. Kerana orang yang gagal adalah mereka yang gagal merancang.

3)      Didik jiwa untuk sabar dan redha. Kerana Allah juga ada perancanganNya…^_^…dan pastinya perancangan Allah itu yang terbaik. Sabarlah dengan kesakitan yang dialami, redhalah dengan derita yang menimpa. Tetap tersenyum…J

“dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.”     ( surah ali imran ayat 139).

Rasa sedih itu wajar. Rasa lemah itu biasa. Tapi bagi orang yang beriman, yang percaya Allah bersamanya, dia takkan rasa lemah atau sedih sebab dia yakin Allah ada.

4)      Persiapkan diri untuk hadapi detik kematian. Detik yang menghilangkan kemanisan dunia. kerana orang yang mencintai kekasihnya, pasti rindu untuk bertemu dengannya. Dan jika kita ingin bertemu Allah, perlulah persiapkan diri kita dengan sebaiknya.

“…maka barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatupun dalam beribadah kepada Tuhannya.”   ( surah al-kahfi ayat 110)

Persiapkan diri dari sekarang untu bertemuNya…kerana kita tak tahu bila dan di mana nyawa kita akan diambil. Bila tiba saat itu, takkan terlewat atau awal walaupun sedetik.

 

Banyak je lagi hikmah dan ibrah yang kita boleh dapat dari ayat ni. Bukan ayat ni saja. Bahkan setiap ayat di dalam Al-Quran itu istimewa. Ada maknanya yang tersendiri. Kalaulah kita ni memerhatikan dan menilai dengan hati dan iman. Bukan sekadar dengan mata kasar.

Dan Hani baru tahu sesuatu pasal ukhuwah ni. Kalau kita sayangkan sahabat kita tu kerana Allah, kita kena bagitahu dia kita sayang dia kerana Allah. And now, Fatin Nur Athirah….Hani sayang kamu kerana Allah….!

Hani tak tahu la bila kita nak jumpa pula, cuma Hani harap Fatin selalu doakan Hani tau. Kalau kita tak sempat jumpa kat dunia ni, moga Allah pelihara kita dan iman kita serta pertemukan kita di jannahNya.

Pesanan akhir Hani…jaga diri, jaga iman, kuat selalu, yakinlah dengan janji Allah….walau apa jua yang berlaku, lihatlah hikmah dan maksud yang tersembunyi….jangan putus asa dari rahmat Allah dan sentiasa husnudzon dengan Allah ye….

Walaupun seisi dunia tinggalkan Fatin…walau seisi dunia bencikan Fatin…saat Fatin rasa kesunyian, kesepian dan tak da sesiapa yang mampu memahami…saat Fatin rasa terlalu sukar untuk melangkah…saat Fatin rasa tak kuat untuk bertahan…ingat selalu…Allah tak pernah jauh sayang….Dia sentiasa bersama kamu walau tanpa kamu sedar….kerana hakikat sebenar Allah mencintaimu tanpa syarat…balaslah cintaNya…

Setakat ni dulu kot warkah cinta kali ni….moga bertemu lagi di syurgaNya nanti….fi hifzillah ya ukhti…

Uhibbuki fillah Abadan abada ilal jannah…<3

 

-durratulhani-

 

Tersentuh hati ini membaca kirimannya. Perlahan bibir ini bergerak.

“uhibbuki fillah aidhon ya ukhti. In sya Allah, sehingga bertemu di syurgaNya. Allah menjadi saksi, Hani sahabat yang terbaik buat Fatin. Memikirkan Hani mengingatkan Fatin padaNya…moga Allah pelihara dan redha dengan kehidupanmu Hani.” Tanganku menggenggam tasbih pemberiannya di awal perkenalan kami dulu. Tasbih itu sudah menjadi teman setiaku di bumi Mesir ini.

Seminggu berlalu tanpa sebarang khabar darinya. Baru sahaja aku membuka facebook ingin menghantar mesej pada bidadari hatiku yang kurindu itu, hatiku bagai dihempap batu yang besar.

“telah kembali kepada Penciptanya saudari Durratul Hani binti Zulkifli. Pelajar tahun dua kuliah syariah universiti Mu’tah, Jordan. Al-Fatihah.”

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Kalimah itu hanya bergema di hatiku. Menyentak seluruh kalbuku. Bagaikan melayang jiwaku mendengar khabar itu. Tasbih pemberiannya kugenggam erat.

“Hani…”hanya itu yang mampu terlahir di bibirku. Airmataku terus mengalir tanpa dapat diseka lagi.

Terimbau bait-bait ayat dalam emel terakhirnya;

“…Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati…”

“… moga bertemu lagi di syurgaNya nanti…”

 

        *  *  *   *   *

 

25 Mei 2015

Kini, aku sudahpun begelar doktor. Lima tahun sudah berlalu. Namun, memori itu tak pernah terpadam. Indah dunia yang arwah Hani kenalkan padaku dulu masih sama. Walaupun tanpa dia, masih ada yang lain, tetap ada Dia di sisi. Bila difikirkan semula, terlalu sukar untukku lalui saat kehilangannya dulu, namun mengingatkan setiap kata-katanya padaku, membaca kembali nota-nota dan warkah cintanya buatku, menjadikan aku perlahan-lahan kuat untuk menerimanya.

Segala nota dan warkah cinta dari Durratul Hani, kini aku simpan di dalam sebuah buku. Buku itu aku jadikan sumber kekuatan sampinganku. Bila terasa lemah, bila aku sedih dan bila aku rindu padanya, aku buka buku itu dan aku baca kembali berulang-ulang kata-katanya padaku. Terasa bagai dia di sisiku. Moga sekarang dia sedang berbahagia di sana Ya Rabb.

Aku bangun dari bangku taman itu. Tasbih di tangan kugenggam erat. Tasbih itu mengingatkan aku padanya. Dan pada ukhuwah yang dibinanya.

Benarlah, berukhuwah keranaNya itu indah.

Dunia ukhuwah itu indah.

Penuh mahabbah. Perlahan hati ini berbisik sendiri.

“ moga ukhuwah yang terjalin antara kita ibarat untaian tasbih. Ada awal tiada penghujung. Dibahagi kerana cintaNya. Diratib demi redhaNya..uhibbuki fillah ya ukhti,”

Ada awal.

Tiada penghujung.

Indahnya ukhuwah.

 

NAMA PESERTA : Nurul Fatihah binti Roslan
Kuliah Perubatan
Tahun Dua
Universiti Ain Shams

KOMEN JURI

penulis ni ada bakat mengarang tetapi perlu didedahkan dengan wacana-wacana yang lebih segar supaya dapat mencerah akal dan hati masyarakat.
Salah guna ‘pada’,’kepada’, ‘di’ dan ‘dari’, ejaan rojak english bersama kata nama BM, tertinggal kosa kata, penggunaan kata soal “bila” dalam ayat penyata.
Ada dialog, ada teknik penceritaan, ada melankolik.

-Tahniah diucapkan

 

PERTANDINGAN KARYAWAN TERBAIK

UNIT KARYA
BIRO PENERBITAN DAN PENERANGAN
PERUBATAN CAWANGAN AIN SHAMS 2014/2015

KENYATAAN
Ini bukan karya asal penulis yang dihantar kerana telah melalui proses pengeditan