[PERTANDINGAN KARYAWAN TERBAIK]

Cerpen Ibu

 

Kaki melangkah lesu.

Kuliah selama empat jam benar- benar memenatkan otak. Neuron- neuron bagaikan dipaksa untuk meresap masuk segala ilmu yang ada. Moga yang diresap itu terus kekal di ingatan.

Jam di tangan kulihat.Tepat jam 11.55 pagi.

Masih punya lima minit untuk ke sesi kuliah seterusnya, iaitu sesi klinikal.

Kulihat sekeliling, ternyata masih punya manusia yang lebih berat masalahnya daripadaku yang hanya memikirkan tentang bebanan amanah ilmu. Lorong kuliah ke hospital itu punya cerita yang pelbagai, ada yang sedang mendodoikan anak yang sedang tidur, ada yang kulihat sedang menangis, ada juga yang termenung panjang, namun hatiku sukar menafsirkan apa yang tersirat di fikiran mereka.

Aku mempercepatkan langkah ke Bilik IV yang menjadi tempat bagi kami Unit IV belajar sesi klinikal. Kulihat beberapa sahabat sudah sampai. Dan ada seorang ibu sedang duduk di situ setia menemani anaknya. Muka yang tenang itu memandang anaknya penuh kasih sayang. Aku mengambil tempat duduk. Sahabatku bertanya, adakah aku mahu mengambil history sheet daripada ibu itu. Aku menggeleng, masih punya letih yang bersisa.

Masuk sahabatku seorang lagi ke bilik tersebut, terus bersemangat mahu mengambil history sheet. Kawan yang mengajak aku tadi tersenyum, ada sahabat lain yang mahu menemaninya. Aku hanya mendengar dari jauh. Anaknya itu berumur empat tahun, mempunyai komplikasi ketika bersalin menyebabkan anaknya lemas dalam kandungan. Dan ibu itu memberitahu yang dia bersalin di rumah dan ditemani bidan kampung.

Ibu itu juga menambah yang anaknya terjatuh sejurus selepas dilahirkan dan mengalami trauma. Jelas lagi, anaknya mengalami kebiruan (cyanosis) ketika selesai proses bersalin, lalu terus dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Neonatal Intensive Care Unit (NICU).  Aku memerhati ibu itu tetap tenang menceritakan satu persatu kisah anaknya itu.

Beberapa ketika, doctor yang ditugaskan mengajar unitku sampai. Dia meminta sahabat aku untuk membentangkan history sheet tersebut di hadapan semua. Aku mengeluarkan notaku, mahu mencatat poin- poin penting bagi kes tersebut. Baru kutahu yang anaknya itu anak yang pertama dan dijaga dengan baik ketika mengandung namun, hanya kerana komplikasi dan trauma yang terjadi, anaknya disahkan menghidap palsi cerebrum (cerebral palsy).

Aku tahu yang penyakit tersebut meyebabkan ketidakupayaan di bahagian otak yang mengawal koordinasi dan pergerakan otot-otot seseorang mengalami kerosakan dan tidak akan sembuh buat selama- lamanya. Mereka yang mempunyai penyakit ini akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti harian seperti makan dan mengurus diri selain mempunyai masalah pertuturan, pendengaran, terencat akal  dan masalah tumbesaran.

Sekali- sekala anaknya itu mengeluarkan air liur, namun ibunya tanpa henti mengelap penuh cermat. Diciumnya berkali- kali anaknya itu. Dibelainya lembut. Betapa dia menyayangi anaknya itu walaupun diberi ujian sebegitu. Tiada riak menyesal kerana mempunyai anak sebegitu. Kadang- kadang aku terfikir apakah harapan ibu muda ini ketika mengandungkan anaknya.

Apakah mahu anaknya berjaya seperti anak orang lain. Mahu anaknya menolong dan membantu meringankan bebanan keluarga. Mahu anaknya menjadi anak yang soleh yang mampu menjadi imam buat keluarga. Mampu menjaganya ketika di hari tua. Mampu menjadi contoh buat adik- adiknya yang lain.

Pelbagai persoalan muncul di benakku. Hari ini anaknya itu berumur empat tahun dan dia masih mempunyai keupayaan untuk mengurus anaknya itu. Hari ini dia masih mampu membeli susu, masih mampu menyuapkan makanan ke mulut anaknya itu, masih kuat mendukung anaknya, masih mampu untuk tersenyum senang.

Ibu muda, kau terlalu kuat. Kerana kau seorang ibu, kau masih mampu untuk melakukan segalanya untuk anakmu itu. Kerana kau tahu anak itu anak syurga, yang bakal menunggu kau di syurga sana, bersama berpimpin tangan memiliki bahagia yang abadi di sana. Kerana kau pasti janji Allah yang jika kau menjaga anak syurga itu dengan baik, maka kau juga turut bersamanya di sana

Itu ujian buat ibu muda tersebut. Tidak terkecuali ibu kepada anak normal.

Bagaimana setiap saat dia memikirkan tentang anaknya, sihatkah dia?

Sudah makankah?

Bagaimana hari anaknya?

Jika hari itu anaknya mempunyai peperiksaan, setiap waktu dia berdoa agar Allah mudahkan hafalan anaknya itu. Jika hari itu anaknya mempunyai masalah kewangan, cepat- cepat dia memikirkan cara untuk mendapatkan duit supaya anaknya itu tidak kesempitan.

Itulah ibu.

Kadang- kadang air matanya tumpah dek kerana perangai anaknya begitu dan begini. Kadang- kadang ibu yang paling seronok apabila anaknya mendapat kejayaan. Ibu juga tak henti- henti memberi nasihat dan motivasi buat anaknya. Dan masih wujud ibu yang mempunyai kekuatan membesarkan anak tanpa suami di sisi, dan hanya anak- anak yang menjadi penguat semangat untuknya terus bekerja keras.

Makanya, pada tahun ini Hari Ibu jatuh pada 11 Mei 2014. Bukan pada hari tersebut menjadi Hari Ibu sahaja, setiap hari boleh menjadi Hari Ibu. Kadang- kadang kita sebagai anak terlupa untuk menyelami perasaan ibu, yang mungkin sedih kerana kita, yang risau kerana perangai adik, yang gembira dengan kejayaan abang, yang terharu dengan kebaikan kakak.

Ya, kita terlupa!

Namun, jika kita menyedari sekarang terdapat pelbagai cara untuk membuat ibu gembira. Kini zaman teknologi yang canggih, maka pelbagai aplikasi dicipta bagi memudahkan perhubungan. Jika boleh bertanya khabar kepada ibu setiap hari, maka itu telalu bernilai buat seorang ibu. Jika pulang ke rumah, rajin- rajinkan diri menolong ibu. Kemudian,bercerita  dengan ibu ibarat seorang sahabat kerana ibu yang melahirkan dan membesarkan, dan hanya seorang ibu sahaja yang memahami kehendak anaknya.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata:

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).”  (Al- Ahqaf:15)

 

Doa anak- anak yang soleh merupakan senjata yang terpenting untuk dibawa selepas mati selain sedekah jariah dan ilmu yang memberi manfaat. Maka, bermula dari saat ayuh kita sisipkan doa buat ibu dan ayah kita supaya mereka selalu diberikan rahmat, perlindungan, berkat serta dijauhkan dari segala malapetaka.

Jika ibu tanpa henti berdoa agar anaknya diberi kesenangan dan keberkatan hidup, maka apakah kita sebagai anak yang masih mempunyai kudrat dan upaya tidak dapat berdoa buat ibu kita, hal ini kerana kita telah memasakkan di dalam hati  bahawa redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Insya-Allah

 

NAMA PESERTA : Nurul Farhana binti Bakri
Kuliah Perubatan
Tahun Lima
Universiti Ain Shams

KOMEN JURI

Pengisian-
1. Tak menyentuh sebarang isu sensitif.
2. Karya yang biasa. Persoalan yang dikupas terlalu biasa.

Contohi seperti filem Memento, kisah seorang yang menghidap anterograde amnesia. Dia membawa falsafah yang lebih mendalam.
Isu seputar memori dikupas dengan baik.

Salah guna kata soal dalam ayat penyata, salah guna kata hubung dan,tetapi, pengulangan “dek” “kerana”, kosa kata tertinggal, salah guna kata soal adakah, apakah, salah guna “yang” & “bahawa” sebanyak hampir lima kali, penambahan imbuhan pada penanda wacana “makanya”, salah guna kata nama &kata kerja “kesalan” “menyesal”

Tahniah diucapkan.

 

PERTANDINGAN KARYAWAN TERBAIK

UNIT KARYA
BIRO PENERBITAN DAN PENERANGAN
PERUBATAN CAWANGAN AIN SHAMS 2014/2015

KENYATAAN
Ini bukan karya asal penulis yang dihantar kerana telah melalui proses pengeditan