Perkataan berkat (barakah) dari segi bahasa membawa erti  percambahan dalam kebaikan. Secara umumnya kita boleh menyatakan maksud berkat  (barakah) di sini adalah memohon restu dari Allah s.w.t  agar dikurniakan kebaikan yang berkembang. Berkat ini tidak syak lagi adalah dengan keizinan Allah s.w.t. Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati rezekinya, maka jika Allah mengehendaki, Dia akan memberi berkat  kepada seseorang itu, sebagaimana berkata Nabi Isa a.s., firman Allah swt : –

 

وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ

 

“Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada”

(Surah al-Maryam ayat 31)

belajar

Keberkatan tidak boleh ternilai dengan mata kasar. Seseorang mungkin berjaya menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah, tapi kerana tiada keberkatan, ilmu yang dipelajari sekadar pengakhiran di atas kertas peperiksaan, di hujung pena. Tidak mampu diamalkan dan langsung tidak membawa manfaat buat dirinya serta sekalian umat . Hanya berjaya dalam peperiksaan tapi tidak berjaya dalam hidup. Berjaya mendapat kedudukan di dunia tetapi di akhirat belum tentu.

Sebagai pencinta kepada ilmu, bagaimana kita memperolehi keberkatan itu?

1. Menjaga hubungan baik dengan Allah dengan sentiasa menjaga solat fardu, menunaikan solat- solat sunat, berpuasa sunat, berzikir dan sentiasa cenderung untuk melakukan kebaikan. Menjaga kefarduan  adalah asas untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup.

2. Memuliakan ibu bapa dengan sentiasa mematuhi suruhan mereka dan hendaklah bercakap dengan sopan, tidak membantah dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

3. Menjaga hubungan baik dengan rakan- rakan yang lain dengan sentiasa berbaik sangka, membantu sahabat yang meminta bantuan sama ada berkaitan pelajaran atau sebagainya dan sentiasa memberi dorongan antara satu sama lain.

4. Sentiasa bersyukur dan merendah diri dan menganggap kejayaan yang diperolehi adalah kurniaan dan ujian daripada Allah bukan usaha daripada kita semata- mata.

 

11431

 

 

 

Langkah- langkah untuk mendapatkan keberkatan:

1) Sebelum belajar, tanyakan hati apakah niat kita belajar?

Pastinya niat yang baik, antaranya, membela nasib keluarga, berbakti kepada masyarakat dan lain- lain. Ini adalah niat yang baik. Namun, jika setakat itu sahaja tahap niat kita, apa bezanya dengan orang bukan Islam? Niat orang Islam belajar mestilah lebih baik daripada itu. Bagaimanakah caranya? Hendaklah niat itu dikaitkan terus dengan Allah SWT.

Katakan pada diri:

“Aku belajar untuk mendapatkan kemudahan menjawab peperiksaan kerana Allah menuntutku begitu”

“Aku belajar untuk mendapatkan ilmu kerana diwajibkan Allah kepada umat Islam utuk menuntut ilmu”

2) Utamakan seruan Allah S.W.T.

Azan berkumandang ketika khusyuk studi. Berhentilah sebentar untuk menyahut seruan Allah S.W.T. Tidak lama pun solat ini. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa:

 

“Orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjemaah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah S.W.T dengan penuh lemah-lembut dan menjadi tetamu-Nya.”

Jadi, apabila kita mengutamakan seruan Allah yang merupakan surat cinta daripada Tuhan Maha Agung, seolah- olah pada waktu itu hanya Allah sahaja tempat untuk kita mengadu dan meyakini bahawa Allah sahaja yang membantu dalam meningkatkan daya ingatan, memori dan hafalan kita.

 

3) Pengurusan masa

Berdasarkan kepada Davidson (1997) dan Wentmore (1999), masa dibahagikan kepada 7 bahagian masa kepada keluarga, masyarakat, kesihatan, kewangan, kerohanian, kerja dan pembangunan diri.

– Masa kepada keluarga – luangkan masa dengan menelefon atau bertanya khabar keluarga seminggu sekali. Dengan cara begitu ibu bapa akan gembira, dan seterusnya Allah jua.

– Masa kepada masyarakat –  belajar untuk sensitif kepada keadaan sekeliling kita seperti sahabat serumah dan sekelas dengan apabila mereka memerlukan bantuan, maka kita cuba untuk menolong.

– Masa untuk kesihatan – healthy mind comes from healthy body.

Maka, pengurusan masa yang baik mampu untuk membawa kecemerlangan akademik tersebut seterusnya mampu membawa keberkatan yang dicari selama ini.

 

4) Kembalikan caj-caj positif dalam diri supaya tiada ruang untuk syaitan menghalang kita menuntut ilmu.

Apabila kita rasa tertekan kerana berkali-kali sudah membaca topik tersebut, tetapi tetap tidak faham, dan akhirnya, kita rasa putus asa dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ini sangat susah dan tidak menarik. Akhirnya, kita tinggalkan terus topik itu hingga akhirnya kelam kabut sewaktu menjelang peperiksaan. Jadi, apa kata kita cuba tips daripada ‘salafus soleh’ terdahulu. Apabila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi memperbaharui wuduk dan solat sunat dua rakaat. Wuduk dan solat ini akan menjadi caj-caj positif, jadi apa yang dirasakan susah dan payah sebelum ini, akan menjadi mudah apabila kita terus berharap pada Allah dan menutup ruang- ruang syaitan untuk membisikkan sesuatu yang buruk.

 

5) Doa senjata orang mukmin

“Doa adalah senjata bagi orang- orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi”

Dengan doa Allah menyelamatkan Nabi Nuh beserta kaum Muslimin, dengan doa Allah menghilangkan musibah Nabi Ayyub, dan dengan doa jugalah Allah menyelamatkan Nabi Yunus daripada perut ikan paus. Makanya, doa merupakan senjata sakti dan ibadah paling agung yang seperti panah yang tidak pernah gagal mengenai sasaran.

17916_10151356220959274_1025236728_n

Kita tidak dapat mengubah sesuatu, namun kita boleh menjadikan sesuatu itu menjadi berkat dengan doa dan usaha- usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa, banyak yang berlaku tidak dapat diduga. Namun dengan berkat yang Allah berikan tersebut, makanya ilmu yang selama ini kita pelajari akan sentiasa terpahat dalam ingatan seterusnya mampu untuk membawa kita ke arah doktor kompeten seiring dengan ulama- ulama Tibb zaman dahulu seperti Ibnu Sina, Jabir Ibnu Hayyan dan Hunayn Ibnu Isyaq. InsyaAllah

 

SUMBER RUJUKAN

Mukmin Profesional Celik Mata Hati,7 langkah Memperkasa Diri -Pahrol Mohamad Juoi

How to become A Good & Successful Medical Student -Prof. Dr. Muhaya Haji Mohamad

 

Farhana binti Bakri
Tahun 5
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams 

Penasihat
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015

 

 KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.