Hayyu Sabie’, 2 April – PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) meneruskan lagi aktiviti ziarah mahabbah Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) ke rumah ahli-ahli PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)  pada sesi ini di Abbasiah dan kawasan- kawasan penempatan lain seperti Hayyu Sabie’. Sejajar dengan pembawaan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams sesi 2014/2015, Saudara Muhammad Hanif bin Mahamad yang amat menekankan aspek kesatuan dan kebajikan, ziarah mahabbah ini merupakan medium yang sangat baik untuk mendengar masalah ahli dalam menjaga kebajikan mereka serta mengeratkan hubungan antara ahli- ahli PCS sendiri.

Untuk ziarah mahabbah kali pertama untuk sesi ini, sebahagian AJKT akhawat telah mengambil kesempatan untuk menziarahi pelajar Tahun 1 akhawat yang berada di Asrama Darul Aman III, Hayyu Sabie’. Kehadiran AJKT disambut baik oleh semua ahli berkenaan. Aktiviti ziarah AJKT dimeriahkan lagi dengan sedikit jamuan ringan daripada pihak AJKT dan pelajar Tahun 1. Sesi taaruf antara AJKT dan 11 orang pelajar akhawat Tahun 1 Kedah dijalankan di samping masing-masing berkongsi aktiviti seharian sebagai seorang pelajar perubatan, hal akademik, perpindahan rumah, masalah yang dihadapi dan sebagainya.

ziarah ajkt

Di kesempatan ini, Saudari Syuhada binti Azhar selaku Timbalan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015 turut mengambil peluang memberikan sedikit kalam taujihad menjelang peperiksaan akhir tahun yang bakal berlangsung pada awal Jun depan. Sebelum pulang, AJKT telah menyediakan sedikit cenderahati berbentuk penanda buku di atas kesudian adik-adik Tahun 1 ini menerima kunjungan mahabbah mereka.

“ Saya berharap dengan aktiviti ziarah yang dijalankan antara pimpinan dan ahli PCS ini dapat menjadi contoh untuk seluruh ahli PCS saling menziarahi antara satu sama lain tidak kira tahun mahupun negeri supaya ukhuwah atau tali persaudaraan dalam kalangan ahli PCS khususnya lebih erat dan utuh,” kata Nurul Najee binti Abdul Kadir, Timbalan Biro Perumahan (BHOME) PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015.