1010591_769255733084708_1234755054_n

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah segala puji bagi Allah di atas segala nikmat yang telah dikurniakan, terutamanya dua nikmat terpenting yang sering kali kita lupa iaitu nikmat iman dan islam. Seterusnya selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan hasil titik peluh dan jerih bagindalah kita sekarang mampu menghirup kedua-dua nikmat terbesar tersebut. Dan tidak lupa juga lafaz kesyukuran dipanjatkan di atas nikmat kesihatan yang telah dikurniakan kepada kita saban hari demi meneruskan perjuangan kita sebagai penuntut ilmu di bumi ardhul kinanah ini.

Sedar tidak sedar, sesi pembelajaran kita pada kali ini semakin menjengah ke titik akhirnya. Sehubungan dengan itu, peperiksaan akhir tahun yang menjadi tradisi saban tahun penutup tirai sesi pembelajaran pada kali ini semakin tiba. Peperiksaan akhir tahun ini menjadi titik tolak proses evaluasi kita terhadap setiap apa yang kita sudah pelajari selama setahun baik daripada segi pemahaman malah penguasaan kita terhadap sesuatu subjek tersebut.

Sehubungan dengan itu, PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) ingin memberi laluan sepenuhnya kepada seluruh ahli PERUBATAN cawangan untuk lebih fokus di dalam persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi dengan menghentikan seketika beberapa program dan pergerakan PERUBATAN di peringkat cawangan Ain Shams sehingga tamatnya peperiksaan. Tarikhnya bermula pada 17 Mei 2014 sehingga 21 Julai 2014. Tarikh ini hanya termaktub kepada mahasiswa yang berada di tahun satu sehingga empat sahaja dan manakala tahun lima dan enam berjalan seperti biasa.

Namun begitu, terdapat pengecualian terhadap beberapa program seperti program kearah kecemerlangan akademik seperti Stargate, EFC dan juga program yang bersifat ke arah pembentukan rohani bagi persediaan menghadapi peperiksaan seperti solat sunat hifzi, solat sunat hajat, qiammullail dan lain-lain lagi.

Akhir kalam, kami diperingkat pimpinan mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan yang bakal mendatang kepada seluruh warga PERUBATAN Cawangan Ain Shams(PCS) dan ketahuilah bahawasanya bukan natijah itu yang diambil kira Sang Pencipta tetapi usaha itulah yang dipandang olehNya. Maka setelah kita berusaha bertawakallah kepadaNya dengan penuh kerendahan dan pengharapan.

Selamat maju jaya, moga kejayaan kita memberi manfaat kepada agama yang tercinta.

Sekian, Seeru ‘Ala Barakatillah!

“Perancangan Berstrategi, Pengurusan Berintegriti”

“PCS, Kita Satu Hati”

10154072_764663790219616_2319058018865289101_n

Abdullah Aqiel bin Aminuddin

Naib Pengerusi 1

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

2014/2015

NP 2 KR - Copy

Nur As-Syuhada binti Amran

Naib Pengerusi 2

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

2014/2015