1010591_769255733084708_1234755054_n

 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan, kita masih lagi dapat meneruskan pengembaraan di atas muka bumi ini seterusnya menjadi khalifah untuk mentadbir segala urusan dunia yang penuh dengan segala bentuk ujian dan cabaran. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW  kerana atas usaha gigih baginda dalam menyampaikan risalah dakwah Islam, hari ini kita semua dapat merasai nikmat iman dan Islam.

Sebelum ini isu permasalahan fail pelajar melibatkan tahun dua dan tahun tiga kerap dibangkitkan oleh pelajar-pelajar sendiri kerana perkara ini menyukarkan mereka membuat urusan hal ehwal pelajar di universiti. Tambahan pula dikhabarkan bahawa para pelajar ini kemungkinan terpaksa membuat proses melengkapkan fail baru yang mana perkara ini dari awal lagi tidak sepatutnya berlaku.

Sehubungan dengan itu, pada 29 April 2014 satu pertemuan ringkas telah di atur melibatkan pihak Education Malaysia in Egypt (EME) yang diwakili Encik Muhammad Imran Muhammad Ibrahim, Pegawai Atase Pendidikan dan Encik Soliman Zaki Soliman, Pembantu Tadbir EME bersama PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) yang diwakili Biro Akademik (BCAD) sendiri.

Pertemuan selama hampir dua jam tersebut berjaya merungkai segala permasalahan yang berlaku dan beberapa keputusan positif dapat dicapai. Antara rumusan yang peringkat kami dapat nyatakan di sini adalah :

  1. Pelajar tahun dua dan tiga yang terlibat tidak perlu melakukan proses melengkapkan fail baru kerana fail-fail tersebut ternyata masih ada pada simpanan EME dan tertangguh untuk diuruskan atas sebab-sebab tertentu kecuali beberapa pelajar yang akan dihubungi semula oleh wakil BCAD selepas ini.
  1. Pelajar yang menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lewat daripada sepatutnya perlu menjelaskan denda sebanyak LE 500 bagi setiap tahun yang lewat seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir kepada wakil BCAD bagi memudahkan pengurusan fail.
  1. Pihak EME akan menghantar semua fail tahun dua dan tiga yang bersama mereka ke Pejabat Bahagian Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa “Idaratul Wafidin”, Kementerian Pengajian Tinggi Mesir untuk di proses sebelum dihantar ke Universiti Ain Shams. (boleh rujuk http://educationmalaysiaegypt.net/index.php?option=com_content&view=article&id=146:syarat-minimum-spm-bagi-kemasukan-pelajar-perubatan-pergigian-a-farmasi-sesi-20122013 untuk mengetahui carta alir fail diuruskan sebelum dihantar ke universiti)
  1. Pihak EME akan berusaha untuk menghantar semua fail tersebut dengan segera supaya proses pengangihan fail-fail ke universiti dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Justeru, hasil dari pertemuan ini kami mengharapkan supaya para pelajar yang terlibat dapat menarik nafas lega dan lebih fokus terhadap musim peperiksaan yang berlangsung dengan agak rancak ketika ini. Doakan semoga pihak EME dengan kerjasama KPT Mesir dan Universiti dapat menguruskan perkara ini secepat mungkin dan dipermudahkan segala urusan sepanjang proses menguruskan fail ini.

Akhir kalam, jutaan terima kasih diucapkan kepada EME dan juga Majlis Ketua Batch(MKB) yang sentiasa komited dan memberi kerjasama yang baik kepada BCAD dalam memastikan permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik. Diharapkan kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan. Semoga usaha baik kalian dibalas dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Sebarang pertanyaan dan kemusykilan berkenaan permasalahan ini boleh diajukan terus kepada Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Ain Shams sesi 2014/2015.

Seeru ala barakatillah.

Sekian, terima kasih.

“AT-TAQWA, AS-SYIFA, AR-RAHMAH”

“ILMUWAN BERBAKTI TEGUH SEHATI”

KR

Muhammad Hanif bin Mahamad

Pengerusi

PERUBATAN CAwangan Ain Shams (PCS)

2014/2015

 

KR - Copy

Syuhada binti Azhar

Timbalan Pengerusi

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

2014/2015