Cinta Ibu, Kasih Sepantun Tulisan Pinggan

Panas terik.

Bahangnya rasa.

Matahari yang memancar garang menambahkan lagi rasa bahangnya. Keadaan bertambah hangat dan hingar bingar apabila terdapat dua orang lelaki Arab sedang berkelahi dan kelihatan seorang nenek tua sedang menangis, cuba untuk meleraikan perbalahan antara mereka berdua. Aku sendiri tidak faham apa butir bicara yang berlaku antara mereka.

Aku melihat sekeliling dan terus melangkah layu akibat kepenatan. Jadual kuliah yang padat, lantaran mahu menghabiskan silibus bagi setiap subjek. Lebih memberatkan fikiran jika memikirkan peperiksaan akhir tahun yang bakal menjelma tidak lama lagi. Inilah bayaran yang perlu dibayar untuk menjadi seorang doktor yang berguna pada masa hadapan. Tiba-tiba, lamunanku terhenti . . .

“Eh, Syahmi ! Jauh mengelamun nampak. Apa yang kau fikirkan? Lemah je aku tengok langkah kau ni” kata Azrul.

“Tidak ada apa-apalah. Biasalah, kepenatan sikit hari ini. Dari pagi kita ada kelas, petang baru nak balik. Kau nak ke mana ni, Azrul?” balasku.

“Aku mahu pulang ke rumah lah. Tetapi sebelum tu aku nak singgah di kedai kek depan kuliah tu. Tiba-tiba rasa nak makan kek keju pula hari ni. Jom lah ikut sekali. Aku belanja, kau bayarkan” seloroh Azrul sambil ketawa.

“Amboi, loyar buruk nampak. Boleh juga sebab aku pun dah lama nak merasa kau belanja dan bayarkan untuk aku” jawabku dalam nada gurauan.

Azrul, rakanku yang gemar menyakat, tetapi baik dan bijak orangnya. Pasti meriah suasana dengan kehadirannya. Kami melangkah masuk ke dalam kedai kek tersebut dan terus mencapai apa yang dihajati. Mataku melilau melihat di sekeliling kedai itu sambil menunggu Azrul membuat pembayaran. Mataku tertarik dengan perhiasan yang tergantung di segenap sudut kedai itu. “Happy Mother’s Day”. “I love mom”.

Baruku teringat bahawa hari ibu berlangsung pada bulan ini, bulan Mei. Kesibukan hidup sebagai seorang pelajar tahun tiga ini kadangkala membuatkanku lupa untuk cakna terhadap perkara-perkara sebegini. Tiba-tiba aku terfikir, bagaimana boleh adanya hari ibu dan mengapa ianya perlu disambut.

Kami terus melangkah pulang ke rumah masing-masing kerana mahu segera pulang. Hak kepada Sang Pencipta perlu ditunaikan juga. Sampai sahaja di rumah, aku terus berwuduk dan menunaikan solat Asar. Usai solat, aku terus membuka komputer riba untuk melayari internet. Persoalan yang timbul dibenakku semasa dalam perjalanan pulang tadi, perlu digali jawapannya. Dalam sibuk mataku meneliti satu per satu tajuk artikel dan segala jenis pautan hasil carianku sebentar tadi, aku tertarik dengan sebuah artikel yang bertajuk; Sambutan Hari Ibu Bukan Cara untuk Umat Islam Menghargai Ibu. Aku terus klik link artikel tersebut dan membaca dengan teliti setiap bait-bait ayat yang tertulis.

Dunia Barat sekarang baru menemukan nilai mulia ibu. Sedangkan umat Islam telah berabad-abad lamanya mempercayai kedudukannya yang mulia berdasarkan ajaran Ilahi sejak diutuskan Rasulullah SAW sebagai penyampai wahyu Allah kepada seluruh umat manusia. Islam percaya pada nilai ibu yang luar biasa, dan telah menarik perhatian manusia untuk melakukan pelbagai usaha dan cara dalam konteks suruhan menyayangi ibu dan menghargai  pengorbanannya. Itulah Islam, deen (cara hidup) yang fitrah bagi seorang manusia yang sememangnya diciptakan dengan naluri ingin berkasih sayang. Banyak nas-nas daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi dalil kepada suruhan ini.  Antaranya:

 

“ Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua ibu bapakmu, hanya kepada-Ku engkau akan kembali. [TMQ Luqman (31):14]

“ Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya, atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah!” – Jangan pula engkau membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan, dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku! Sayangilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku semenjak kecil.” [TMQ al-Israa’ (17):23-24]

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: “ 
Seseorang datang menghadap Rasulullah saw. dan bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku pergauli dengan baik? Rasulullah saw. menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab: Kemudian ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab: Kemudian ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah saw. menjawab lagi: Kemudian ayahmu.  [HR Muslim]

          Artikel ini amat menggamit sanubariku kerana saban tahun aku cuba tidak akan melepaskan peluang untuk mengucapkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada ibuku. Tambahan pula apabila aku duduk berjauhan dari keluarga, membuatkan aku lebih cakna akan hari-hari penting seperti Hari Ibu dan Hari Bapa. Bagiku dengan cara ini akan dapat menggembirakan insan-insan tersayang. Aku meneruskan pembacaanku….


Tamadun Barat yang telah ketinggalan zaman, baru mula mempromosikan nilai-nilai murni seperti menyanyangi dan menghargai pengorbanan ibu setelah berlakunya ‘revolusi’ sosial dalam masyarakat mereka. Sambutan Mother’s Day di sebahagian negara Eropah dan Timur Tengah cuma mendapat pengaruh dari kebiasaan memuja Dewi Rhea, isteri Dewa Kronos, dan ibu para dewa dalam sejarah Yunani kuno. Maka, di negara-negara tersebut, peringatan Mother’s Day jatuh pada bulan Mac.

Di Amerika Syarikat dan lebih dari 75 buah negara lain, seperti Australia, Canada, Jerman, Itali, Jepun, Belanda, Malaysia, Singapura, Taiwan, dan Hong Kong, sambutan Mother’s Day jatuh pada hari minggu kedua setiap bulan Mei. Ia adalah kerana pada tanggal itu, tahun 1870, aktivis sosial Julia Ward Howe mencanangkan pentingnya perempuan bersatu melawan perang saudara. Jadi, tujuan memperingati Hari Ibu pada awalnya bermula untuk mengenang semangat dan perjuangan para perempuan dalam usaha memperbaiki bangsa manusia.

 

Usai membaca artikel tersebut, aku meneruskan pencarianku di laman sesawang berkenaan Hari Ibu. Perasaan ingin tahu seakan memuncak untuk mengetahui lebih lanjut tentang perihal sebenar Hari Ibu ini. Mataku tiba-tiba terpaut dengan satu artikel yang aku rasa penting untuk aku ketahui. Bukan sahaja aku, malahan semua umat Islam khususnya. Aku terus klik pada link artikel tersebut, yang bertajuk; Hukum Sambutan Hari Ibu.

.

1)Haram

Para ulama berselisih pandangan mengenai persoalan hukum meraikan ‘Hari Ibu’ ini. Sesetengah ulama mengatakan ianya bersifat bid’ah atau berdosa malahan ada yang‘extreme’ sehingga mengharamkannya. Memang benar ianya bid’ah dan haram sekiranya itikad dan niat untuk meniru dan meraikan budaya-budaya di atas.

 

2)Harus

Manakala Profesor Tafsir dan Ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar, Dr Muhammad Bakar Ismail, berpandangan sambutan Hari Ibu adalah harus kerana meraikan serta memuliakan ibu seperti pada Hari Ibu adalah bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat.

Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kemurnian dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini.

Manakala jika adat ini lahir daripada perkara sebaliknya, dan melakukannya juga membabitkan perkara yang buruk dan dilarang Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.

Jika dilihat dari segi keharusan sambutan ini, ia lebih banyak membawa kebaikan. Pertamanya, sesuatu perbuatan itu mestilah disertakan dengan niat yang baik. Walaupun amalan itu pada asasnya harus, namun ia boleh menjadi haram apabila disertai niat yang bertentang syariat.

 

3)Doktrin Barat                                                                                                      

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi: “Hari Ibu ini timbul kerana pihak orientalis atau doktrin barat memikirkan inilah cara terbaik untuk menarik minat anak remaja barat menghormati orang tua mereka.” 

Umumnya kita tahu masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan dan mengkhususkan hari-hari tertentu dapat memupuk remaja mereka menyayangi dan menghormati orang tua mereka.

Di sini, ditakuti orang Islam mengikut budaya barat ini secara buta-tuli dari segi cara sambutan dan adab pergaulan ketika sambutan serta tidak mempedulikan nilai Islam dalam meraikannya.

 

Aku termenung sebentar selepas aku menamatkan pembacaanku berkenaan hari Ibu sebentar tadi. Perasaanku bercampur-baur. Sangkaan aku ternyata meleset bahawa Hari Ibu merupakan hari yang patut diraikan oleh semua penduduk bimasakti ini. Aku terfikir sejenak, adakah pada hari ibu sahaja, kita akan mengucapkan terima kasih kepada ibu kita? Adakah pada hari ibu sahaja kita akan bertanyakan khabar tentang ibu kita? Mungkin adakah pada hari ibu sahaja kita akan mengucapkan sayang dan cinta terhadap ibu kita? Kini baru kusedar, setiap hari adalah Hari Ibu. Tidak perlu menunggu minggu kedua pada bulan Mei sahaja untuk mengucapkan semua itu. Tambahan bagi mereka yang berada jauh di perantauan, sudah semestinya perasaan rindu yang menggunung terhadap keluaraga tidak dapat dibendung lagi. Maka tidak salah untuk kita mengucapkan terima kasih dan menzahirkan kata-kata sayang terhadap ahli keluarga kita terutamanya ibu. Seorang insan yang banyak berkorban jiwa dan raganya demi melahirkan, mendidik dan membesarkan anak-anaknya.

Aku melihat jam tanganku, jam menunjukkan sudah pukul 4.30 petang. Aku terus mencapai telefon pintarku yang berada di atas meja belajar. Aku terus menekan butang ‘calling’ pada nombor yang tertera. Tidak sampai beberapa saat, panggilanku terus terjawab. Ya, suara yang tidak pernah jemu kudengar walaupun sudah acap kali kudengari sejak 21 tahun aku hidup di dunia ini.

 

“Assalamua’laikum ibu, adik ni. Cepat je ibu angkat ye. Ibu sihat ke?”, tanyaku.

 

“Waa’laikumussalam. Anak teruna ibu yang kacak ni telefon, mestilah ibu kena segera jawab panggilannya. Alhamdulillah, semua di sini sihat-sihat belaka.” Jawab ibu.

 

“Alhamdulillah. Ibu tengah buat apa? Tak tidur lagi?”, tanyaku lagi.

 

“ibu sedang mengemas dapur ni. Maklumlah, kakak dan abang balik ke rumah hari ni. Ibu masak lebih sikit. Sekejap lagi ibu tidurlah” jawab ibu dengan tenang.

Aku meneruskan perbualan dengan ibu. Walaupun aku berada jauh di negara orang, tetapi aku seakan-akan dapat mencium keenakkan masakan ibu. Sungguh, aku rindu untuk merasa masakan air tangan ibuku. Bahkan lagi merindui untuk menatap wajahnya yang redup dan tenang.
Ibu, Selamat Hari Ibu.

Semoga Allah memberkati hidup dan usiamu.

 

 

SUDAHKAH ANDA MENGHUBUNGI IBU DAN BAPA ANDA?

 

SUMBER RUJUKAN

http://fitrahislami.wordpress.com/2011/05/09/hukum-merayakan-hari-ibu/
http://shafiqolbu.wordpress.com/2013/05/11/sejarah-asal-sambutan-hari-ibu/

 

Khairun Najwa binti Ali
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.