1010591_769255733084708_1234755054_n

ajkt good luck

 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan kasih sayangNya kita masih lagi diberi keizinan untuk mengembara dan meneruskan perjalanan hidup kita selaku penuntut ilmu di bumi Anbiya’ penuh barakah ini. Selawat dan salam kita lafazkan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana atas dedikasi dan itqan baginda dalam menjalankan amanah menyampaikan risalah agama Allah ini, kita selaku umat Muhammad masih mampu mengecapi nikmat Iman dan Islam.

Semua ahli PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) sudah sedia maklum bahawa tanggal 1 Jun 2014 ini akan bermula Peperiksaan Akhir Tahun bagi sesi akademik 2013/2014. Maka inilah masanya untuk kita sama-sama luahkan, lontarkan, curahkan segala ilmu yang telah kita sematkan di ruang simpanan memori selama setahun ini untuk kita coretkan sebahagiannya di atas kertas ujian sebenar. Kita sebagai mahasiswa perlu sedar bahawa kejayaan yang kita dambakan , tidak mungkin akan dapat diperolehi dan dikecapi tanpa adanya usaha dan pengorbanan. Bak kata pepatah Melayu “Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Sebagai mahasiswa yang sentiasa mahukan yang terbaik bagi keputusan peperiksaannya, seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dan membuat persediaan yang rapi bagi setiap subjek yang dipelajari.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (al- Ankabut, 69)

Namun, perlu diingat langit bumi Mesir ini tidak selalunya cerah. Kadang kala hujan turun membasahi bumi kering ini. Begitulah adatnya dalam kita bertungkus-lumus membuat persediaan, ada ketikanya kita ditimpa dugaan dan cabaran, jangan sesekali kita mengeluh. Jadikan ujian yang datang sebagai peringatan buat kita yang sering alpa bahawa kita ada Allah sebagai tempat kita mengadu meluahkan segala resah dan gelisah. Dalam situasi semasa negara Mesir yang tidak menentu ini pastinya ada kejutan, perubahan saat akhir yang sedikit sebanyak mengganggu fokus kita untuk menghadapi peperiksaan. Jadi jangan lupa untuk kita perbanyakkan doa dan munajat semoga Allah memelihara keamanan negara Mesir di samping memberikan kemudahan dan kejayaan dalam peperiksaan kelak. Jadikan saat peperiksaan ini sebagai salah satu booster kepada kita untuk memperbanyakkan amalan ibadah di samping Ramadan yang kian hampir. Kami di peringkat PCS melalui Biro Akademik(BCAD) pula telah mengadakan Exam Fever Campaign(EFC) yang telah berlangsung sejak awal Mei yang lalu sehingga hujung bulan Julai nanti bersempena musim peperiksaan ini. Pelbagai program dan aktiviti telah dan akan dijalankan sepanjang tempoh EFC berlangsung seperti STARGATE, Malam Munajat Perdana (MMP), poster-poster motivasi dan sebagainya bagi menghidupkan suasana peperiksaan pada tahun ini. Usaha kecil ini diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak ahli PCS untuk sama-sama membuat persiapan rapi sempena peperiksaan kali ini seterusnya menghasilkan persembahan cemerlang di dewan peperiksaan nanti.

Dengan ini, kami barisan kepimpinan PCS sesi 2014/2015 mengucapkan selamat maju jaya dan selamat menghadapi peperiksaan akhir tahun kepada semua ahli PCS. Semoga usaha dan amalan kita sepanjang tempoh peperiksaan ini menghasilkan natijah yang terbaik buat kita semua dan menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak.

Siiru ala baraktillah.

 

‘PCS, Kita Satu Hati’

KR

Muhammad Hanif bin Mahamad

Pengerusi

PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)

2014/2015