[PERTANDINGAN KARYAWAN TERBAIK]

BAHAWA INI ANAKMU

i
Bahawa ini anakmu
Dimamah pedih cinta derita
Perih rindu bangkit mendera
Menerpa bayangmu
Bonda Ayahanda Lalu
—membisik kasihmu lewat bait doa
Di semilir angin kota menara

ii
Bahawa ini anakmu
Menjejak debu para Anbiya terdahulu
Menyikapi iktibar mengemis ilmu
Mencicipi hikmah sepertimu dahulu
Menyapa pesanmu menyemangatiku
“Perhatikan manusia tidak senasibmu, apa kau lupa mensyukuri Tuhanmu?”

iii
Bahawa ini anakmu
Akan kembali menemanimu lagi disisi
Tetapi tidak selamanya sehidup semati
Kelak— pada manusia perluku berbakti
Pada Tuhan untukku mengabdi
“Berdoalah tanpa henti, kerana Tuhan itu Maha Memberi”

 iv
Bahawa ini anakmu
Tiada kan henti berjuang sepertimu
Agar tergapai citaku dan impianmu
Kelak — tiada sesal melahir menjaga mendidikku
Pohonku pada Yang Satu
Agar Tuhan pantas mengampuni memelihara mencintaimu
dan Syurga Tuhan membayar tulus kasih sayangmu

Wahai Tuhanku,
ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu
yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku,
dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau Redhai
dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.
Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu,
dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

{Al Ahqaaf :15}

Sepenuh cinta dan rindu
Anakmu.

Jumaat, 9 Rejab 1435H Qism Waily Abbasiah, Kaherah

NAMA PESERTA : Maryam Awatif
Kuliah Perubatan
Tahun Empat
Universiti Ain Shams

KOMEN JURI
-Mempunyai gaya bahasa yang menarik tetapi yang diketengahkan bersifat arus perdana.
-Tahniah diucapkan kerana berjaya membawa emosi pembaca dengan begitu baik sekali

PERTANDINGAN KARYAWAN TERBAIK

UNIT KARYA
BIRO PENERBITAN DAN PENERANGAN
PERUBATAN CAWANGAN AIN SHAMS 2014/2015

 KENYATAAN
Ini bukan karya asal penulis yang dihantar kerana telah melalui proses pengeditan