CABARAN dalam SEKTOR KESIHATAN : SEMPENA HARI KESIHATAN SEDUNIA

Sebagai bakal petugas sektor kesihatan pada masa hadapan, sejauh manakah pengetahuan kita tentang situasi sektor tersebut?

Selain daripada isu lambakan doktor yang dijangka bakal melanda menjelang 2018, apa lagi yang kita tahu?

Sebuah syarikat penerbitan di Amerika Syarikat, International Living telah menamakan sistem perkhidmatan kesihatan Malaysia berada di tangga ke-3 terbaik dalam senarai 24 negara bagi Indeks Persaraan Global 2014 setelah mengambil kira pelbagai aspek terutamanya dari segi kos dan kualiti perkhidmatan.

Namun, ini bukanlah sebab untuk kita berbangga dan terus menyangka yang negara kita telah berada di zon selesa. Sebaliknya, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) melalui Pelan Strategik 2011-2015 KKM telah menyenaraikan beberapa isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor kesihatan. Antara isu dan cabaran tersebut ialah:

1. Kemampuan sektor perkhidmatan kesihatan swasta untuk menarik tenaga profesional. Ini menyebabkan sektor awam sering berhadapan dengan cabaran kekurangan tenaga profesional, kesesakan dan beban tugas yang tinggi.

2. Tidak seindah khabar yang diwara-warakan oleh majalah terbitan Amerika Syarikat yang mengambil kira kos dari sudut pandangan mata wang mereka, sebenarnya kalau dinilai dari segi situasi rakyat Malaysia kos penjagaan kesihatan telah meningkat lebih pantas daripada kadar inflasi am.

3. Negara masih dibebankan dengan penyakit berjangkit seperti penyakit denggi, malaria, dan tuberkulosis. Malaysia juga terpaksa menghadapi cabaran krisis kesihatan akibat serangan virus Nipah, Enterovirus, Severe Acute Respiratory Syndrom (SARS) serta krisis kesihatan berikutan bencana alam seperti tsunami, banjir dan tanah runtuh. Walaupun krisis kesihatan ini dapat dikawal, persediaan harus dibuat bagi meramal dan merancang tindakan awal sekiranya krisis serupa ini melanda Malaysia pada masa akan datang.

4. Malaysia turut berhadapan dengan penduduknya yang menunjukkan peningkatan dalam masalah berkaitan dengan cara hidup, pemakanan dan persekitaran seperti penyakit kardiovaskular, kencing manis, darah tinggi dan pelbagai lagi.

5. Taraf pengetahuan rakyat yang semakin meningkat menyebabkan keperluan dan kehendak terhadap penjagaan kesihatan turut meningkat. Masyarakat Malaysia terus terdedah dengan pelbagai maklumat mengenai pelbagai ubat-ubatan dan kaedah rawatan yang digembar-gemburkan mempunyai kesan yang menarik walaupun hakikatnya mungkin kurang selamat.

Untuk mengatasi masalah-masalah ini KKM telah merangka beberapa strategi khusus tertumpu kepada transformasi sektor kesihatan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai gaya hidup sihat. Strategi ini boleh diteliti dengan membaca Pelan Strategik KKM 2011-2015. Pelan boleh dimuat turun dari laman wab KKM sendiri.

Sebagai tambahan, mari kita meneliti beberapa fakta menarik yang dipetik dari Health Facts 2013 yang dikeluarkan oleh KKM sendiri.

1. Terdapat sebanyak 140 buah hospital milik kerajaan Malaysia yang berada di bawah naungan KKM dengan katil berjumlah sebanyak 38,978 buah namun terdapat sebanyak 309 hospital swasta dengan 13,667 buah katil.

2. Purata nisbah doktor:pesakit ialah 1:758 manakala purata nisbah doktor gigi:pesakit ialah 1:6,436 dan purata nisbah ahli farmasi:pesakit ialah 1:3,039

3. Sebab tertinggi hospitalisasi ialah kehamilan dan bersalin.

4. Punca utama kematian yang telah dicatatkan di hospital-hospital ialah penyakit-penyakit yang berkaitan dengan sistem peredaran darah.

5. Penyakit berjangkit yang mempunyai peratusan insiden paling tinggi ialah penyakit kaki, tangan dan mulut diikuti oleh demam denggi dan seterusnya tuberkulosis.

Sebagai penutup, kita harus sedar bahawa kaedah rawatan yang paling terkini ialah dalam pencegahan kepada penyakit itu sendiri. Kini tugas utama kita sebagai pelapis sektor kesihatan pada masa hadapan ialah menyediakan diri dengan ilmu yang secukupnya supaya kita mampu menjadi antara penyumbang yang besar dalam tahap kesihatan rakyat Malaysia suatu hari nanti.

Sumber:

Pelan Strategik KKM 2011-2015, KKM

Health Facts KKM

Annual Global Retirement Index internationalliving.com

 

Izzati binti Shafie
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.