Perhubungan dalam pertunangan

Cinta itu ialah fitrah kepada setiap insani. Sudah tentu Islam hadir menyediakan wasilah percintaan yang diredhai serta dikasihi oleh-Nya. Tetapi tahukah anda apakah yang perlu dilakukan sebelum perkahwinan?

Tunang?

Ya, benar pertunangan! Bagaimanakah perhubungan dalam pertunangan yang diredhai oleh Tuhan? Unit Bait Muslim PCS tampil dengan tujuh penjelasan.

Pertunangan tidak mengubah hukum

  • Tunang anda tetap lelaki dan perempuan ajnabi. Cara berjumpa, bercakap, memandang serta layanan anda terhadapnya masih sama sahaja dengan ajnabi yang lain.

 

Bersederhana

  • Dalam pertunangan, pasti ada rasa ingin berjumpa, mendengar suara, bertukar cerita. Namun, perlu diingat, ikatan pertunangan masih belum menghalalkan segalanya. Berjumpa, menelefon, chatting dan apa jua bentuk perhubungan hanya dibolehkan jika ada keperluan. Tidak perlulah pula sengaja mencipta alasan untuk berjumpa walau boleh dielakkan seperti meneman pergi ke kelas, menjadi musyrif dan sebagainya. Usah membuka peluang untuk syaitan mencucuk jarumnya.

FOKUS!

  • Apabila berhubung, pastikan anda fokus kepada apa yang penting dan perlu. Soalan-soalan seperti ‘awak sudah makan? Tadi kenapa tak nampak masa program?’ dan sebagainya sudah lari dari titik fokus dan hanya melalaikan kalian.

Anda masih manusia

  •  Menjaga hubungan bukan bermaksud anda menjadi robot bila berhadapan dengan tunang anda. Berinteraksilah dengan baik, dan pada kadarnya. Senyum pada kadarnya, nada suara pada kadarnya, namun tak perlu sampai saling berbalas jelingan manja, dengan lunak suara menggoda pula!

SMS, Chatting dan Laman Sosial

  • Bahagian ini memang sangat sukar dijaga. Memang hukum asalnya harus semata-mata, namun boleh jatuh pada haram andai salah penggunaannya. Kedua-dua lelaki dan perempuan harus sama-sama tegas menjaga adab dalam medium yang samar batasnya ini.
  • Banyakkan isi, kurangkan bunga. Jika berbincang lakukan secara baik, bukan sekadar untuk melayan perasaan masing-masing.
  • Tak perlu berjenaka. Ambillah sikap pertengahan, wujudkan perbincangan yang tidak tegang, dan tidak kendur pula. Kadang-kadang, jenaka boleh mengundang hilangnya ketegasan yang cuba dijaga. Pujuklah hati, simpan jenaka itu untuk memaniskan hari-hari yang dinanti.
  • Jaga masa. Tidak perlu berhubung terlalu lama, dan tidak perlu pula pada masa-masa yang tak sepatutnya, contohnya di tengah-tengah malam yang sunyi dari pendengaran dan penglihatan sesiapa.
  • Jangan berkhalwat. Di alam nyata, mahupun di alam maya. Pastikan sentiasa ada orang ketiga yang turut menjaga hubungan kalian. ‘Forward’kan SMS dan emel anda, masukkan orang ketiga dalam ruang chatting anda. Sabda Nabi s.a.w; tidak berdua-duaan lelaki dan wanita melainkan syaitan adalah yang ketiga.

Prinsip diri dan menjaga hati tunang

  • Kadang-kadang dalam menjaga ketegasan dalam batas pertunangan, kita risau tidak lagi disukai dan disayangi oleh tunang. Kita merasakan tunang berhak menerima layanan istimewa, bahkan kita sendiri mahu berkongsi rasa, melayan bicara, membuai jiwa. Kadang-kadang hingga ada tunang yang merasa jemu, dan meminta putus hubungan.
  • Perlu diingat, tempoh pertunangan adalah fasa perkenalan. Berkenalan bukan beerti menyerlahkan diri sebagai yang cantik, menarik, menawan, penyayang dan sebagainya. TIDAK SAMA SEKALI. Apa yang perlu dikenali adalah keluarga, perancangan hidup, apa yang disukai dan tidak disukai, dan masalah-masalah yang perlu dikongsi sebagai persediaan perkahwinan. Kerana apa? Kerana yang perlu dikenalnya adalah tunangnya, yang belum menjadi isteri atau suaminya. Apabila sudah menjadi suami isteri, silakan menjadi yang paling penyayang, paling mengambil berat, paling cantik menawan dan segalanya yang anda inginkan.
  • Mungkin anda akan dikatakan syadid, atau jumud, tidak terbuka, tidak sayang pada tunang, tapi sedarlah hakikatnya anda menjaga kerana sayang pada tunang anda, tidak ingin dia jatuh pada perangkap syaitan yang tidak putus asa menarik kita semua.

 

Segerakan pernikahan.

  • Jika sudah bergelar tunangan, segerakanlah pernikahan. Jika tidak mampu, kurangkan berhubung, biar sekadar ada hubungan. Bertunanglah kerana Allah sebagaimana anda akan berkahwin kerana Allah. Jagalah taqwa kepada Allah sepanjang pertunangan, dan janganlah sampai hilang keberkatan dalam hubungan anda.
    Kerana anda ingin cinta anda membawa ke syurga…

 

Maryam Fatini binti Mohd Zabudin
Tahun 6
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Bait Muslim 2014/2015 (UBM)