Pada tanggal 8 Mac 2014, Malaysia telah digemparkan dengan satu berita besar iaitu kehilangan Pesawat MH370. Pesawat tersebut yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat MH370 terbang di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai koridor pencarian selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah laut china selatan, di barat Perth.

Pada 24 mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi.”

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam sidang media MH370

Misi pencarian pesawat Boeing 777-200ER yang berukuran 63.7 meter itu terus dijalankan dengan giat walaupun isyarat kotak hitam pesawat mulai lenyap. Jangka hayat bateri kotak hitam pesawat penerbangan MH370 hanya mampu bertahan sehingga 30 hari.

Misi pencarian turut melibatkan usaha dan kerjasama daripada 26 buah negara serantau dan seluruh dunia yang memberikan bantuan aset pesawat, kapal selam, kapal carian dan juga satelit.Menurut anggaran penganalisis Pentagon, kira-kira USD44 juta telah dibelanjakan untuk misi pencarian yang berlangsung di Laut China Selatan.Misi di Laut China Selatan dan Laut Hindi yang melibatkan kerahan tenaga manusia dan aset teknologi telah disertai oleh Australia, China, Vietnam, Malaysia dan Amerika Syarikat.

Musibah

Kehilangan pesawat MH370 telah memberikan satu impak yang besar terhadap pelbagai individu dan masyarakat. Insiden ini boleh dikatakan sebagai sebuah musibah yang besar khususnya kepada rakyat Malaysia.


Tangisan hiba keluarga mangsa

 

Adapun musibah itu ada pembahagiannya iaitu kafarah, bala, dan ibtila’.

1.Kafarah

Musibah ini berlaku kepada orang yang baik tetapi ketika dia terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu.Musibah ini diturunkan berfungsi sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa dan ketelanjuran.

“dan KAMI timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar” (surah al-zukhruf 43:48)

2.Bala

Suatu bentuk ujian yang dikenakan kepada orang jahat yang melakukan kejahatan.Musibah ini sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum dengan lebih berat di akhirat.

dan jika mereka berpaling,nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat” (surah at-taubah 9:74)

3.Ibtila’

Musibah yang dikenakan kepada orang baik ketika melakukan kebaikan sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hambaNYA yang taat.Dengan ibtila’ seseorang hamba itu akan mendapat ganjaran yang berganda dan ditinggikan darjatnya disisi Allah.

Dengan musibah,mereka memperoleh pahala syahid,pahala sabar,pahala redha dan lain-lain.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”
( Al baqarah:155 )

Tidaklah Allah menurunkan satu musibah itu untuk memberatkan hambaNya. Insiden kehilangan pesawat MH370 ini seharusnya menjadi iktibar kepada kita yang seringkali lupa dan leka dari mengingati Allah S.W.T .

Usaha dan tawakkal

Pelbagai usaha telah dijalankan demi menyelesaikan misteri kehilanagn pesawat MH370 ini. Dengan menggunakan kepakaran dan teknologi dan sains, usaha pencarian telah digiatkan secara maksimum. Malah masyarakat semakin mendalami sedikit sebanyak ilmu dan terminologi yang digunapakai dalam teknologi penerbangan.


Dua  pesawat Chinese Air Force Ilyushin Il-76 , dijangka menyertai pencarian Malaysia Airlines MH370, gambar diambil di pangkalan Pearce RAAF di Bullsbrook.

Namun begitu, segala usaha ini mestilah digandingkan dengan tawakkal kepada Allah swt. Insiden kehilangan pesawat ini membuktikan bahawa walaupun dengan dikumpulkan beberapa negara dengan segala kepakaran teknologi yang canggih masih lagi tidak mampu mencari sebuah pesawat yang berukuran 67.3 meter tersebut.

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang”.(al-isra:37)

Walaubagaimanapun, yang paling menyedihkan adalah terdapat beberapa individu yang berusaha pada jalan yang terang-terang salah. Ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam yang mengamalkan perbuatan khurafat yang bercanggah dengan ajaran Islam. Perkara ini bukan sahaja menjatuhkan maruah masyarakat Islam di negara kita, malah menjadi bahan ejekan di seantero dunia.

Oleh itu, usaha yang tidak diikuti dengan tawakkal adalah cacat, manakala tawakal dengan usaha yang salah adalah pelik.

Adapun teori konspirasi yang diwujudkan, satu persoalan yang harus kita lemparkan di sini, adakah teori konspirasi yang direka merupakan satu bentuk simpati atau sekadar meraih publisiti? Andai anda menulis dan berbicara ingatilah ada sensitiviti yang perlu dijaga. Maka, ulaslah isu ini dengan penuh hikmah dan adab susila.

Teruskan berdoa

Insiden kehilangan Pesawat MH370 ini mendapat perhatian dari banyak pihak. Malah, timbul pelbagai spekulasi dan teori sejak kebelakangan ini mengenai insiden tidak berbau ini. Walaupun begitu, kita tidak seharusnya cepat melatah apabila dikeluarkan suatu berita. Sebaliknya kita seharusnya bersabar dan meneliti dan mengkaji kesahihan berita-berita tersebut sebelum membuat kesimpulan.

 

Hanif bin Khairuddin
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya,
Biro Penerbitan dan  Penerangan

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.