Memahami apa itu GST?
Siri 1

Isu pengimplementasian GST (Cukai Barangan dan Perkhidamatan) menjadi antara rencah utama apabila kita membincangkan tentang isu-isu semasa yang sentiasa berputar dalam kalangan masyarakat kita. Adapun isu MH 370, TPPA, PBS dan lain-lain lagi, isu GST dianggap satu elemen penting untuk kita fahami, kerana perlaksanaan GST sudah pasti bakal membawa satu perubahan yang besar dan ketara terutamanya dalam struktur ekonomi dalam lingkupan Malaysia sebagai negara membangun.

Maka apa itu GST?

Adakah GST dianggap sebagai satu sistem percukaian yang “malang” ?

Apakah perlaksanaannya dianggap sesuai dalam suasana kontemporari di Malaysia ini?

Ayuh, kita rungkai permasalahan ini dengan memahami secara prinsip-prinsip asas yang mudah yang mendasari makna GST itu sendiri.

Memahami sistem GST

GST ialah singkatan kepada goods and service taxes serta mempunyai nama lain yang merujuk kepada singkatan VAT iaitu value added taxes (cukai nilai tambah).

Tahukah anda dalam lipatan sejarah sistem percukaian, GST mula dilaksanakan di Perancis yang diperkenalkan oleh Maurice Lauré pada tahun 1954.

Maurice Laure

Maurice berpendapat ketika itu, sistem ini penting  untuk mengganti sistem yang sangat bergantung kepada cukai yang tidak menentu berdasarkan jualan bagi menyeimbang dengan sistem cukai pendapatan yang tidak begitu signifikan dan tidak memberi impak yang jelas.

Cukai yang diperkenal Maurice adalah sejenis cukai yang dikenakan kepada apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna. Oleh itu, sistem percukaian ini juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax) dalam kalangan ahli ekonomi. Dalam maksud yang lebih mudah, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang digunakan oleh Malaysia dan beberapa negara membangun lain. Malah, sistem ini dianggap sistem yang lebih mudah untuk meningkatkan kewangan negara melalui percukaian.

Selain itu, GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan. Sekiranya di Malaysia , pihak yang bakal dikenakan cukai ialah peniaga yang berdaftar di bawah Akta GST dan peniaga yang wajib berdaftar haruslah mempunyai nilai jualan pada RM 500 000 serta ke atas.

GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan  merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.

Malah , aktiviti yang dicukai merangkumi aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Maka, organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal atau bersetuju untuk membekal barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.Ketika kerajaan membentangkan Rang Undang-undang ini di parlimen baru-baru ini, kerajaan menyatakan sekiranya didapati berlaku penyelewengan terhadap GST oleh peniaga, peniaga tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010

Di samping itu ,harga bekalan yang dijual akan ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini juga dikenali sebagai “kredit cukai input”.

Khulasahnya, rakyat marhaen perlu jelas sistem percukaian ini ialah sistem percukaian sejenis cukai penggunaan yang dikenakan ke atas apa sahaja nilai yang telah ditambahkan kepada sesuatu produk berbanding dengan cukai jualan.

Rentetan ceritera GST di Malaysia

Sekiranya kita imbas kembali memori silam di Malaysia, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima pernah memberi cadangan untuk menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan kepada cukai konsumsi iaitu dikenali sebagai GST sewaktu mengumumkan Bajet Belanjawan Negara pada tahun 2005 ketika sidang parlimen berlangsung ketika itu.

Ketika itu, Tun Abdullah menjelaskan penyusunan semula sistem percukaian dengan menggunakan sistem GST merupakan satu inisiatif untuk menjadikan sistem percukaian sebagai satu sistem yang dapat menjana pendapatan negara. Malah, GST hangat diperkatakan akan dikuatkuasakan seawal Januari 2007 dengan kadar percukaian 4%. Dalam bajet 2005, GST dikaji secara serius di bawah peruntukan yang disediakan dalam perlembagaan negara di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.


Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53)

Pada 29 November 2009 Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataannya telah mendakwa kerajaan akan memperoleh pendapatan cukai tahunan sebanyak RM 1 bilion dari GST. Beliau berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST yang kini sudah mencecah kepada 161 buah negara. Dalam Asean hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya. Ditambah lagi, dikatakan GST akan dapat mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individual.

Kini negara jiran yang melaksanakan GST adalah Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kadar GST yang diguna oleh negara-negara ini waktu ini ialah Singapura 5%, Thailand 7%, Indonesia 10% dan Filipina 10%. Ketika itu, GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang undang-undang pada Mac tahun depan (2010). Ini bermakna cukai itu akan berkuat kuasa sekitar Ogos atau September 2011.

Cadangan perlaksanaan cukai GST telah dibaca ketika pembentangan Bajet 2014 oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak

Namun, rang undang-undang hanya telahpun dibaca pada 7 April 2014 yang lalu, ketika sesi Parlimen membahaskan Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat dengan 118 ahli menyatakan persetujuan manakala 81 ahli Parlimen nmenyuarakan bantahan ketika bacaan kali pertama. Bacaan kali kedua menyaksikan pengiraan semula iaitu seramai 119 ahli Parlimen bersetuju manakala 81 ahli Parlimen kekal tidak bersetuju. Hakikatnya kini kerajaan akan tetap melaksanakan GST menjelang April 2015.


Suasana Sidang Parlimen ketika membahaskan Rang Undang-undang perlaksanaan GST

 

Adapun yang menyokong tidak kurang ramainya yang membantah.

Pengimplementasian GST dianggap sebagai satu lagi episod duka buat rakyat Malaysia tetapi sejauh manakah kebenarannya?


Bersambung …

Sumber rujukan

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/16-isu-nasional/6017-isu-dan-perlaksanaan-cukai-barangan-dan-perkhidmatan-gst-.html
http://www.thestar.com.my/business/business-news/2014/03/20/rising-household-debt-it-hits-new-record-of-868-of-gdp-on-loans-for-properties-and-motor-vehicles/
http://countryeconomy.com/national-debt/malaysia
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/524-kolumnis-akhbar/16995-gst-tingkatkan-hasil-negara-perluas-kebajikan-rakyat-.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Cukai_barangan_dan_perkhidmatan
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/gst-dan-sektor-kesihatan-dr-afif-bahardin
http://en.wikipedia.org/wiki/Maurice_Laur%C3%A9

 

Muhammad Shafiq bin Kadir
Tahun 2

Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Unit Karya
Biro Penerangan dan Penerbitan

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.