“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan kesabaran.”

 [103:1-3]

Semua manusia dikurniakan nikmat masa yang sama oleh Allah iaitu 24 jam sehari. Namun ia bergantung kepada kita; bagaimana kita mahu mengisinya sama ada dengan membuat perkara berfaedah atau hanya dihiasi dosa-dosa. Mari kita merenung sejenak apa yang telah kita lakukan selama kita hidup di dunia ini. Masa kita dihabiskan dengan tidur atau belajar? Bermain permainan komputer atau beriadah? Melepak atau menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan? Tenggelam dengan dunia ‘gadget’ atau sebaliknya?

 

“Ada dua nikmat yang banyak manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.”
[Riwayat Bukhari dari Ibnu ‘Abbas]

 

Kalau kita hayati sejenak , Islam sangat mementingkan masa dalam setiap syariatnya seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Rasulullah telah mengajar kita bahawa solat tertentu hanya boleh dilakukan dalam tempoh masa tertentu sahaja. Malah kita juga amat disarankan untuk solat di awal waktu dan tidak berlengah-lengah.

Allah telah berfirman “Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktu-waktunya atas orang-orang yang beriman”

[4:103]

Begitu juga dengan haji. Kita tidak boleh mengerjakan haji sepanjang tahun tetapi hanya sah jika dilakukan pada bulan Zulhijjah sahaja. Semua syariat ini adalah latihan praktikal untuk kita sebagai umat Islam supaya sentiasa menjaga masa kerana kita faham dan sedar bahawa kita tidak sepatutnya membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa diisi.

 

Kita Mahasiswa Islam

Sejarah menceritakan kepada kita betapa hebatnya peranan pemuda Islam bagi mempertahankan Islam sehingga ia berkembang ke seluruh pelosok dunia. Oleh itu, kita sebagai mahasiswa Islam perlu sedar bahawa terpundak di atas bahu kita tanggungjawab yang berat dan memahami posisi kita sebagai generasi akan datang yang akan mencorak masyarakat Malaysia. Kita ada tanggungjawab terhadap Allah sebagai khalifah Allah, daie Allah dan hamba Allah, terhadap diri sendiri, ibu bapa, rakan-rakan, masyarakat dan lain-lain.

“Tanggungjawab melebihi masa yang ada.”

[Al- Syahid Imam Hassan Al-Banna]

 

Pelajar perubatan di Mesir sangat sinonim dengan jadual yang kurang padat berbanding pelajar perubatan di Malaysia. Namun rata-rata kita banyak menghabiskan masa lapang kita untuk perkara-perkara yang tidak atau kurang berfaedah. Kita  banyak bermain komputer dan melayari internet daripada mengulangkaji pelajaran, masa dihabiskan dengan ‘berchatting’ di laman sosial berbanding bersosial dengan orang di sekeliling. Lalu bagaimanakah kita mahu menjawab pertanyaan Allah kelak di Padang Mahsyar?

 

“Tidak akan terlepas kedua kaki seorang hamba itu semasa berada di padang Mahsyar pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya 4 soalan;

Pertama: tentang umurnya, dimanakah dihabiskan

Kedua: tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan

Ketiga: tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan bagaimana digunakan

Empat: tentang ilmunya, apakah diamalkan dengannya”

[Riwayat Imam Al-Tarmizi]

Banyak perkara-perkara berfaedah yang kita boleh lakukan. Ia bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri, malah boleh menyumbang sedikit sebanyak kepada masyarakat sekeliling dan yang utama adalah untuk agama Islam. Apa salahnya optimumkan tenaga muda kita untuk pergi mencari ilmu  di muka bumi ini. Di Mesir ini, ilmu perubatan ada, ilmu Al-Quran ada, ilmu fiqh ada, masyaikh-masyaikh pun ramai.

Di samping itu, kita juga boleh mengisi masa kita dengan membaca isu-isu semasa yang berlaku di lokaliti kita dan peringkat global. Sebagai mahasiswa yang FAHAM dan MATANG, kita tidak cukup sekadar mengambil cakna malah kita perlu mengkaji sesuatu isu itu dari segi hukumnya dalam syariat Islam, dari segi kemanusiaaan dan lain-lain agar kita dapat menjadi agen penerangan kepada orang lain.

Selain itu, persatuan PERUBATAN juga ada menyediakan medium untuk kita menggilap ‘soft skill’ diri sendiri sebagai doktor ,daie dan  pemimpin. Pendek kata PERUBATAN menyediakan ruang dan peluang membentuk ahli menjadi modal insan yang lengkap.

Semua kemahiran  ini penting untuk menjadi doktor muslim profesional yang holistik. Peluang sudah terbentang luas di hadapan mata. Gerakkanlah hati, minda, dan anggota kita.

Oleh itu, kita sebagai mahasiswa perlulah mempelajari cara pengurusan masa yang efektif supaya masa 24 jam kita tidak pergi begitu sahaja malah menjerat kita kembali seperti peribahasa arab ‘Masa itu umpama pedang. Jika kita tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kita.’

Kita juga perlu mengetahui keutamaan sesuatu perkara berbanding perkara yang lain.Tidak adil kepada diri sendiri jika mengutamakan perkara yang tidak penting dan tidak segera berbanding  perkara yang penting dan segera. Di sini suka saya kongsikan sedikit tips untuk membantu sahabat-sahabat menjadi pengurus masa yang baik dan praktikal.

 

Penting & segera- Ulangkaji pelajaran- kerja AJK program Tidak penting & segera-kemas rumah
Penting & tidak segera-hubungi ibubapa-ziarah kawan Tidak penting & tidak segera-membeli baju baru

 

Dalam kesibukan mencari ilmu dan mengisi masa lapang janganlah sesekali kita melupakan aspek kesihatan badan kerana akal yang sihat pada badan yang cergas. Al- Syahid Imam Hasan Al-Banna dalam risalah agung beliau ada menekankan kepentingan mempunyai peribadi yang sihat untuk memastikan kesempurnaan ibadah. Jadi lazimilah senaman-senaman ringan ataupun riadah supaya badan kita sentiasa sihat dan cergas insyaAllah.

 

Ibnu Al-Jauzi pernah berkata; “Dunia adalah ladang beramal untuk menuai hasil di akhirat kelak. Dunia adalah tempat kita menjajakan barang dagangan, sedangkan keuntungannya akan diraih di akhirat nanti. Barangsiapa yang memanfaatkan waktu luang dan nikmat sihat dalam rangka melakukan ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya, barangsiapa memanfaatkan keduanya dalam maksiat, dialah yang betul-betul tertipu. Sesudah waktu luang akan datang waktu yang penuh kesibukan. Begitu pula sesudah sihat akan datang kondisi sakit yang tidak menyenangkan.”

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara;

Sihat sebelum sakit,

Muda sebelum tua,

Kaya sebelum miskin,

Lapang sebelum sempit,

Hidup sebelum mati.

Syuhada binti Azhar
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Timbalan Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015