Ain Sukhna, 20 April – Rombongan yang dijadualkan bertolak pada jam 6.30 pagi terpaksa menunggu sehingga jam 9.00 pagi kerana bas yang lewat tiba. Beberapa peserta ikhwah yang kebanyakannya dari pasukan Thousand Sunny dan beberapa lagi daripada pasukan Konoha terpaksa menunggu di perkarangan Masjid Nur sehingga ketibaan bas.  Namun, kelewatan ini sedikitpun tidak mengganggu kemeriahan ‘Ain Shams Family Day’- ASFAD sepanjang seharian di pantai Ain Sukhna.

asfad.1

 

Penantian selama dua jam di dalam bas akhirnya memberi kepuasan apabila tiba di destinasi. Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan termasuklah ‘Soaring Slippers’, ‘Tug of War’, ‘Dodgeball’ dan ‘Aqualympics’. Turut diadakan aktiviti ‘barbeque’ di sebelah ikhwah.

ASFAD yang merupakan salah satu program di bawah ‘Ain Shams Fitness Month (AFM)’ bertujuan untuk mengeratkan lagi jalinan ukhuwah antara ahli PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) dan ternyata program ini berjaya mencapai objektifnya apabila peratusan kehadiran ahli mencapai 70%.

asfad.2

Rata-rata ahli menyuarakan rasa terharu dengan usaha pihak ahli jawatankuasa program yang bertungkus-lumus memberi yang terbaik kepada ahli apabila memilih tempat terbaik untuk mengadakan ASFAD pada kali ini. Mereka juga melahirkan rasa teruja kerana majoriti ahli PCS belum pernah menjejakkan kaki ke Ain Sukhna.

“ Saya rasa terharu dengan kerjasama dan sambutan yang menggalakkan daripada ahli. Walaupun pada awalnya, program ini dijangkakan tidak dapat dijalankan di luar Kaherah atas faktor tertentu, namun alhamdulillah, hasil kerja keras ahli jawatankuasa, akhirnya berjaya juga membawa kelainan pada ASFAD kali ini dengan diadakan di Ain Sukhna,” respon Saudari Nur Fauziatun binti Mohd Fauzi selaku AJK Tempat dan Teknikal ASFAD apabila ditanya berkenaan sambutan daripada kalangan ahli.

Majlis penutupan diadakan pada 21 April 2014 bertempat di Teratak Ulul Albab. Pada majlis ini, diumumkan pasukan keseluruhan terbaik yang berjaya dirangkul oleh pasukan Amestris. Pasukan ini membawa pulang piala pusingan ASFAD.

asfad.3

Dalam kita bergembira, jangan kita abaikan keselamatan diri kita sepanjang berada di Mesir terutamanya dalam tempoh menghampiri pilihanraya Mesir sekarang. Wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir merasmikan ASFAD 3.0 dalam ucapannya turut menyampaikan pesanan agar semua ahli berhati-hati dan lebih menjaga keselamatan selain tidak melibatkan diri dengan perhimpunan warga tempatan.

Jumpa lagi pada ASFAD 4.0!

“PCS, Kita Satu Hati”