Cukai barangan dan perkhidmatan, satu analisis semula

Pada artikel yang lalu, penulis telah pun menjelaskan isu GST dalam pemahaman yang berbentuk teoritikal dan historikal melalui gaya pemahaman dan penulisan yang mudah dan ringkas. Dalam artikel kali ini, penulis akan cuba merungkaikan keupayaan sebenar yang ada dalam GST, demografi ekonomi apabila GST diimplementasikan serta pro dan kontra yang bakal diperolehi oleh rakyat melalui penulisan daripada hamba ini yang dangkal sejengkal kail dalam lautan ilmu yang begelora.

Tahukah anda, rakyat Malaysia akan mula membayar GST dengan kadar cukai permulaan 6% seawal 1 April 2015 ini. Sehubungan dengan itu, Malaysia bakal menghadapi satu fenomena transisi yang baru seperti yang dihadapi oleh 161 buah negara serta kesemua negara ASEAN kecuali Malaysia, Brunei Darussalam dan Myanmar setakat ini.

Namun, ramai rakyat Malaysia kelihatan terkeliru dalam memahami akar umbi GST itu sendiri hattakan dalam keadaan Rang Undang-undang perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang baru diluluskan sewaktu sidang parlimen pada 7 April yang lalu. Maka, seharusnya rakyat marhaen perlu jelas dan mengambil tindakan berani dalam menganalisis perlaksanaan GST secara menyeluruh melalui sumber-sumber yang berautoritatif.

RUANG LINGKUP PELAKSANAAN GST di Malaysia

Secara amnya, GST merupakan cukai yang akan dilaksanakan dalam semua peringkat urus niaga. Urusniaga adalah sebarang pertukaran barang atau perkhidmatan di antara dua pihak atau lebih, sama ada melibatkan pertukaran wang atau pun tidak . Kerajaan pula akan menentukan kadar cukai GST yang bakal dikenakan kepada pengguna. Namun, setiap peringkat urus niaga kecuali pengguna boleh menuntut kredit GST. Dalam erti kata lain, pengilang, pengedar dan penjual boleh mendapatkan GST daripada jumlah GST yang dibayar.

Tamsilnya, seorang pengilang membeli kain, benang, mesin, gam dan sebagainya untuk menghasilkan tekstil ataupun pakaian yang menelan kos sebanyak RM 40 000. Maka, 6% cukai yang akan dibayar ialah sebanyak RM 2400. Itu ialah pengeluaran kos. Caj GST pula akan dikenakan kepada jumlah yang dijual dan sebagai contoh sebanyak RM 80 000. 6% dari RM 80 000 ialah RM 4800. Maka, kredit yang boleh dituntut ialah sebanyak RM 2400 (dari kos) dan caj GST yang dikenakan ialah RM 4800. Oleh itu, jumlah yang hanya dibayar semula kepada kerajaan hanyalah RM 2400 sahaja. Begitu juga peringkat urus niaga yang lain kecuali pengguna.

Mengikut pembentangan Belanjawan 2014 yang telah dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 25 Oktober 2013, terdapat beberapa pengecualian GST yang akan dikenakan. Antaranya ialah barang makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan. Selain itu, bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik dan perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan turut dikecualikan. Begitu juga,  jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih sahaja.

Namun, barangan selain daripada ini akan dikenakan GST. Sebagai contoh, buku, botol minyak, tayar bas, plastik, paket beras, perkhidmatan gunting rambut, pasaraya besar, restoran dan lain-lain lagi.

Walaupun wujud inisiatif lain seperti tindakan kerajaan mengurangkan cukai pendapatan, rakyat perlu memahami isu ini secara teliti dan terperinci. Dalam memahami inisiatif ini, rakyat marhaen perlu jelas hanya 1.5 juta  daripada 13 juta pekerja rakyat Malaysia yang membayar cukai ini. Oleh itu, sebanyak 89% yang tidak menerima faedah ini dan tetap sahaja kedua-duanya perlu membayar GST. Berbeza dengan negara berpendapatan tinggi apabila melaksanakan GST, rata-rata separuh suku rakyat negara-negara itu memperolehi faedah ini dan menanggung beban cukai yang sama. Adapun Malaysia, yang rata-rata belum mencapai rakyat berpendapatan tinggi, GST dianggap sebagai satu lagi cukai tambahan.

BEZA GST dan SST

SST ialah singkatan kepada Sales and Services Tax. Mengikut Akta Cukai Perkhidmatan 1975, cukai perkhidmatan hanya terhada kepada beberapa perkhidmatan dan barangan tertentu sahaja seperti perkhidmatan hotel, restoran (KFC, McDonald), kelab malam dan sebagainya yang dibahagikan dalam kategori yang berbeza. Perlaksanaan cukai ini dilaksanakan di seluruh tempat kecuali Langkawi, Pulai Tioman, Labuan dan Joint Development Authority (JDA) berdasarkan peruntukan akta ini sebagai kawasan bebas cukai. Sekiranya, pihak yang berdaftar gagal membayar cukai pada waktu yang ditetapkan penalti tambahan sebanyak 10% akan dikenakan bermula hari tidak dibayar.

Berikut ialah perbezaan antara GST dan SST :

CUKAI BARANGAN & PERKHIDMATAN (GST) CUKAI JUALAN & CUKAI PERKHIDMATAN (SST)
Peringkat cukai Berperingkat. Pada setiap peringkat, GST dikenakan & peniaga boleh mendapat kredit GST Satu peringkat. Cukai hanya dikenakan di peringkat kilang sekali sahaja
Skop pelaksanaan Semua dikenakan GST kecualilah termasuk dalam senarai pengecualian Hanya barang dan perkhidmatan tertentu yang disenaraikan kerajaan
Kadar 6% bagi standard, 0% bagi sifar Berbeza-beza, ada 6% (cukai perkhidmatan), ada 10% (jualan)

GST ELAK CUKAI BERGANDA

Secara teori mudahnya, SST boleh menyebabkan cukai berganda akan dikenakan kerana wujud dua jumlah kadar cukai iaitu perkhidmatan (6%) dan jualan (10%). Sebagai contoh di sebuah hotel, harga makanan akan dikenakan cukai sebanyak 10% untuk dijual serta dikenakan oleh pihak hotel lagi sebanyak 6% untuk perkhidmatan. Namun, sekiranya GST dilaksanakan perkara ini dapat dielakkan kerana pihak hotel memperolehi semula cukai yang dibayar dalam bentuk kredit GST. Walaupun perkara ini berjaya diselesaikan dan serta perkhidmatan menjadi sedikit murah, tetapi rakyat yang bijak perlu jelas bahawa GST akan dilaksanakan kepada semua peringkat dan kepada semua barangan kecuali terhadap barang – barang yang telah dikecualikan oleh kerajaan. Sedar akan perkara ini, beban yang dikenakan kepada rakyat akan bertambah lagi akibat pertambahan cukai yang dikenakan kepada semua barangan, perkhidmatan, perniagaan dan peringkat umur hattakan bayi berusia setahun jagung sekalipun!

Dalam erti yang lebih mudah, bebanan rakyat seharian menjadi lebih tinggi kerana lebih banyak barangan & perkhidmatan yang dibayar cukai pada segenap peringkat urus niaga dan umur sendiri.

ANALISIS SEMULA PERLAKSANAAN GST

Ironinya, perlaksanaan GST ialah merupakan satu sistem percukaian yang terbaik di dunia setakat ini. Masakan tidak hampir 161 buah negara telah pun melaksanakan cukai ini sepenuhnya. Malah, sekiranya GST dilaksanakan secara adil dan telus , jumlah input yang bakal diperolehi kerajaan ialah sangat mewah dan mampu mengurangkan defisit fiskal negara serta pengukuhannya melalui pengurusan kewangan yang telus serta bebas daripada ketirisan wang serta rasuah yang berdaya dicegah.

Apa itu defisit fiskal? Defisit fiskal ialah berlakunya pengurangan dalam perolehan pendapatan negara.

Oleh itu, GST sekiranya dijalankan secara efisien dan telus maka perkara ini akan dapat direalisasikan serta mampu menampung beban hutang negara.Namun, sebagai rakyat marhaen yang prihatin, kita seharusnya mengambil sikap proaktif dalam meneliti perkara ini.

Baiklah, kita perlu imbau kembali, sebab mengapa GST dilaksanakan. Sudah tentu kerajaan melaksanakannya bukanlah secara membabi-buta. Malah, kajian telahpun dijalankan secara terperinci serta dibaca di sidang parlimen sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2002 dan 2009 lagi.

Pertama sekali, cukai yang lebih bersistem iaitu GST penting untuk meningkat pendapatan negara.Namun, persoalan yang harus dirungkai bersama, pendapatan negara telah meningkat sekali ganda pada akhir tahun 2012. Akan tetapi, ke manakah jumlah tersebut pergi?

Kedua, suasana pengurusan kewangan negara serta ekonomi adakah mengizinkan GST dilaksanakan. Rakyat marhaen perlu jelas bahawa defisit dalam belanjawan negara sudah mencecah 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

Pakar – pakar ekonomi menjelaskan perkara ini ialah sangat membimbangkan sehingga menyebabkan Fitch Ratings telah pun menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari stabil kepada paras negatif pada Julai 2013 yang lalu. Ini menunjukkan wujudnya ketirisan wang serta pengurusan kewangan negara yang masih lagi belum telus dan saksama.

Ketiga, adakah rasuah yang masih berleluasa menyebabkan Malaysia perlu selesa apabila GST dilaksanakan? Malaysia pernah dilabelkan sebagai negara teratas di dalam persepsi rasuah jika dirujuk kepada kajian Ernst & Young (E&Y) di dalam Asia-Pacific Fraud Survey Report Series 2013. Lebih 64% responden percaya untuk melakukan bisnes di Malaysia haruslah melibatkan rasuah dan lebih 71% percaya bahawa rasuah adalah kos tersembunyi yang tidak dapat dielakkan dalam melakukan bisnes di negara ini.

Malah, Malaysia berada dalam kedudukan 53 dari 177 buah negara dalam senarai kedudukan Corruption Perceptions Index 2013 yang dikeluarkan oleh Transperancy International yang bertanggungjawab dalam melakukan penilaian terhadap Indeks Pencegahan Rasuah di setiap negara yang berdaftar. Transperancy International melabel rasuah sekarang kekal sebagai A Global Threat.

Oleh itu, kita harus berfikir semula, GST sememangnya satu sistem percukaian yang efisyen tetapi dalam keadaan Malaysia yang masih lagi membarah serta beberapa dasar seperti sistem tender, dasar monopoli, ketirisan wang, defisit bajet, dasar fiskal negara dan lain-lain yang masih lagi kurang efisyen, menjadikan sistem GST perlu dinilai semula.

Keempat, risiko seandainya GST dilaksanakan pada awal perlaksanaannya. Antara risiko yang paling dibimbangi ialah kadar inflasi yang akan meningkat pada awal perlaksanaanya. Walaupun inflasi yang dijangka bersifat one off serta jaminan kerajaan harga akan meningkat dalam keadaan berpatutan. Malah, wujudnya jaminan inflasi yang minima serta Indeks Harga Pengguna akan turun bagi sesetengah barang. Sayogia difahami, perkara ini berisiko sekiranya tidak dikawal satu mekanisme yang tepat dan jelas. Apatah lagi, dalam keadaan negara yang mempunyai rata-rata penduduk berpendapatan rendah dan sederhana serta kefahaman tentang GST yang masih kabur dan tidak jelas. Perkara ini yang menjadi kebimbangan kita kerana sejauh manakah persediaan rakyat Malaysia dalam menghadapi rencah ekonomi ini.

Maka solusinya, kerajaan serta pihak yang berwajib perlu bersifat jujur dengan rakyat serta mempergiatkan lagi usaha untuk menangani masalah-masalah besar dan memahamkan rakya tentang perlaksanaannya denga jelas. Bukanlah memomokkan rakyat dengan ‘kerajaan menyediakan inisiatif terbaik serta menanggung beban bersama’ mampu menyedapkan hati rakyat.

Malaysia ialah salah satu negara yang sedang rancak membangun

Kesimpulan Akhir
Tidak mahu tidak GST akan dilaksanakan tidak lama lagi. Maka, sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersedia akan perkara ini. Namun, dengan pelbagai persoalan yang timbul dan masalah yang masih lagi mencanak, mampukah Malaysia melaksanakannya.

Sebagai rakyat yang bijak seharusnya kita berfikir soal ini bersama – sama. Kerajaan seharusnya menyelesaikan beberapa masalah yang timbul terlebih dahulu dalam keadaan Malaysia yang kaya dengan hasil minyak dan sumber alam yang pelbagai.

 

Kerajaan perlu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada suasana ekonomi negara dengan menghadirkan mekanisme pengurusan kewangan negara yang cekap, telus dan lebih saksama. Apa-apapun, tahniah kepada kerajaan kerana mengambil keputusan berani ini. Nasib negara Malaysia tergalas di bahu setiap rakyat Malaysia, maka berdoalah dan bersiap sedialah terhadap gelombang ekonomi yang bakal berombak pada masa akan datang.

 

SUMBER RUJUKAN

http://cpi.transparency.org/cpi2013/results/ http://koperasi-online2u.blogspot.com/2013/10/pendapatan-negara-malaysia-naik-2013.html http://www.tradingeconomics.com/
http://www.sinarharian.com.my/11-tahun-negara-dalam-hutang-1.198768
http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_publication_catalogue&pg=bm_publication_bnmar&ac=90&yr=2011&lang=bm http://www.treasury.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&catid=250%3Agst&id=2694%3Aadakah-gst-boleh-membantu-mengurangkan-defisit-fiskal-di-malaysia&Itemid=306&lang=my
http://www.customs.gov.my/index.php/soalan-lazim/107-cukai-dalam-negeri/726-cukai-perkhidmatan
http://countryeconomy.com/national-debt/malaysia
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/gst-tidak-bebankan-rakyat-harga-jadi-lebih-kompetitif-kata-jakim http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dzulkefly-ahmad/article/gst-lulus-apakah-najib-akan-ubah-tatakelola-kewangannya http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/gst-dan-sektor-kesihatan-dr-afif-bahardin

Dokumen Akta Cukai Perkhidmatan 1975 pindaan 2002
Brochure Transperancy International – Corruption Perception Index 2013

Muhammad Shafiq bin Kadir
Tahun 2

Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams
Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Ain Shams

KENYATAAN
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat PERUBATAN Online.