Sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah generasi yang terbaik kerana mereka mendapat pentarbiyahan terus daripada Rasulullah SAW sendiri dan terbukti sebagai golongan yang paling baik pemahamannya tentang Kitabullah. Dalam kalangan mereka, terdapat peribadi-peribadi unggul dan istimewa yang dianugerahi akal fikiran yang mengagumkan. Mereka lahir sebagai peribadi yang memiliki kecemerlangan dalam berfikir. Salah seorangnya adalah Ibnu Abbas r.a., putera kepada Saidina Abbas r.a., bapa saudara baginda.

Ibnu Abbas r.a. merupakan susuk tubuh sahabat nabi yang sangat istimewa. Sejak dari kecil lagi beliau sudah bersama Nabi Muhammad SAW. Ketika beliau masih remaja pernah beliau solat malam berhampiran Nabi Muhammad SAW. Lalu baginda menarik tangan beliau agar berdiri solat berdekatan baginda. Tetapi setelah Nabi Muhammad SAW kembali khusyuk dalam solatnya, beliau kembali berganjak kebelakang.

Seusai solat, baginda nabi bertanya kepada beliau “Mengapa engkau berganjak ke belakang sedangkan aku menyuruhmu berdiri berdekatanku?” Ibnu Abbas r.a. menjawab “Adakah patut seseorang solat berhampiran denganmu, sedangkan engkau adalah Rasulullah yang mulia?”

Nabi Muhammad SAW kagum dan takjub dengan jawapan Ibnu Abbas r.a. lalu baginda mengangkat tangan berdoa kepada Allah,

“Ya Allah, berilah kepada dia pemahaman yang dalam tentang agama dan ajarilah dia takwil”

Masakan doa seorang nabi tidak dimakbulkan oleh Allah. Tidaklah doa yang dipanjatkan oleh nabi itu membinasakan melainkan baginda meminta kebaikan buat umatnya. Betapa beruntungnya Ibnu Abbas r.a.

Setelah diucapkan doa oleh Nabi Muhammad SAW itu, semakin hari semakin ternyata kecerdasan Ibnu Abbas r.a. itu. Beliau bukan sahaja  menjadi contoh kepada kanak-kanak seusianya, malah lebih lagi. Beliau sendiri menjadi pusat rujukan kepada orang-orang dewasa. Pernah suatu ketika, Saidina Umar Al-Khattab r.a. mengajak Ibnu Abbas r.a. ke majlis yang dihadiri oleh orang-orang dewasa. “Mengapa engkau membawa kanak-kanak ini wahai Umar?” tanya salah seorang di dalam majlis tersebut. Umar tidak menjawab persoalan tersebut, malah menyampaikan firman Allah “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, makan bertasbihlah dengan memuji Allah dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat” (Surah An-Nasr; 1-3) “ Bagaimana penafsiran kalian tentang ayat ini?” tanya Umar.

Ada yang menjawab, “Kita diperintahkan untuk memuji Allah dan bertaubat kepadaNya, ketika kita diberi pertolongan dan kemenangan” Sebahagian yang lain menjawab’ “Kami tidak tahu”

Lalu Saidina Umar melirik kepada Ibnu Abbas r.a. sambil bertanya, “Beginikah penafsiranmu tentang ayat ini?” “Tidak” jawab Ibnu Abbas r.a. “Surah tersebut merupakan petanda wafatnya Rasulullah SAW sudah dekat. Allah memberitahunya dengan ayatnya: ‘Jika telah datang pertolongan Allah dan kemenangan’ itu bermaksud penaklukan Mekah dan itulah tanda ajalmu(Muhammad). Oleh itu, ‘Bertasbihlah dengan memuji TuhanMu dan mohonlah keampunan, sesungguhnya Dia Maha Menerima Taubat” tutur Ibnu Abbas r.a.

“Aku tidak tahu penafsiran ayat tersebut melainkan apa yang engkau ketahui,”  kata Saidina Umar.

Dan banyak lagi kisah yang menunjukkan tentang kefaqihan ilmu Ibnu Abbas r.a.

Kecemerlangan beliau berfikir melangkaui pemikiran orang-orang yang lebih dewasa daripadanya. Ibnu Abbas r.a dididik dengan acuan Rasulullah dan membesar menjadi seorang yang istimewa. Beliau mampu memahami isyarat-isyarat makna dalam Al-Quran, mengetahui tentang apa sesuatu ayat itu diturunkan dan memahami makna ayat dalam bahasa Al-Quran.

Saidina Ubaidullah bin Utbah sendiri pernah berkata, “Tidak ada yang tahu syair dan Bahasa Arab, tafsir Al-Quran, hisab dan faraidh kecuali Ibnu Abbas

Ibnu Abbas mengajar kepada kita bagaimana seharusnya seorang mukmin itu berfikir, memupuk kefahaman dan menyampaikan pendapat. Pernah suatu ketika beliau ditanya bagaimana mendapatkan ilmu. Dengan yakin beliau menjawab, “Dengan lidah yang banyak persoalan dan hati yang banyak faham”

Kecemerlangan berfikir dan hebatnya pendapat tidak datang dengan sendirinya, tetapi harus diusahakan. Manfaatkan akal dengan berfikir untuk memahami hakikat segala sesuatu. Hakikat segala sesuatu adalah kebenaran, dan kebenaran yang sejati adalah Tuhan.

Dengan berfikir, manusia mengenal Tuhan dan mendekatkan diri kepadaNya. Maka berfikir adalah awal perjalanan ibadah, yang tanpanya ibadah menjadi tidak bernilai.

 

Siti Hajar binti Ahmad Azhar
Tahun 3
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams

Penasihat
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2014/2015