Abbasiyah, 21 April – Buat pertama kalinya, Biro Penerbitan dan Penerangan (BPP), PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) telah menganjurkan Bengkel SMART. SMART merupakan singkatan bagi ‘Ain Shams Medical Artist’ yang menghimpunkan kartunis-kartunis PCS.

Berlangsung di markas PCS, Teratak Ulul Albab, program ini berjaya mendapat sambutan bukan hanya dari kalangan ahli PCS, tetapi turut disertai oleh pelajar Universiti Al-Azhar. Peserta diajar tentang asas melukis hinggalah teknik lipatan pakaian dan perspektif yang ditunjukkan oleh tenaga pengajar yang mantap daripada pihak SMART sendiri.

smart1

Lebih menambah keterujaan peserta apabila Saudari Syahirah binti Mohamad Yusri telah menunjukkan cara melukis dan mewarna menggunakan aplikasi di dalam komputer. Turut berkongsi ilmu dalam bengkel ini adalah Saudari Zainib Amirah Binti Anwar dan Saudari Nur Rahil Binti Joibi yang merupakan mahasiswi Tahun 5 Universiti Ain Shams.

Bengkel ini bermula seawal jam 8.00 pagi dengan perasmian oleh Saudara Muhammad Hayyan Afiq bin Muhammad Lutfi selaku Ketua BPP dan berakhir dengan slot ‘Post-Evaluation’ yang memerlukan peserta melukis satu komik ringkas menggunakan teknik-teknik yang telah diajarkan.

smart2

“Sambutan yang menggalakkan untuk bengkel yang dibuat pertama kali ini. Saya berasa terharu atas komitmen yang diberikan oleh peserta PCS yang baru sahaja selesai ‘Ain Shmas Family Day’ (ASFAD) pada hari sebelumnya. Saya sendiri banyak belajar dari bengkel ini dan mengakui tenaga-tenaga pengajar sememangnya hebat belaka. Saya berharap agar peserta bengkel kali ini dapat menggarap segala ilmu yang dipelajari. InsyaAllah, sekiranya ada permintaan, mungkin akan diadakan bengkel ke-2 sebagai kesinambungan bengkel ini,” ujar pengarah bengkel ini, Saudari Nurul Hidayati binti Asmoin.

smart3

 

Diharapkan dengan bengkel yang diadakan ini, dapat mencungkil bakat terpendam ahli di samping memantapkan lagi bakat yang sedia ada.

“PCS, Kita Satu Hati”