Abbasiyah, 25 April – Teratak Ulul Albab semakin hari semakin menyerlah dengan program-program keilmuan yang disusun dengan kerjasama ahli PCS. Pada hari jumaat yang lalu telah diadakan satu lagi program yang disusun di bawah ‘ Ain Shams Fitness Month (AFM) ‘ iaitu Bengkel Solat anjuran Biro Pembangunan Insan (BPI) 14/15, PERUBATAN Cawangan Ain Shams. Bengkel ini mengandungi dua slot iaitu ‘Wuduk & Tayamum’ dan ‘Masbuq & Muafiq’.

bengkel.1

 

Pengarah untuk program Bengkel Solat pada kali ini merupakan pelajar Tahun 5 Perubatan Ain Shams, saudara Mohammad Shouqi bin Mohd Basori. Beliau turut memberi pendapat dan respons mengenai aktiviti yang dijalankan sepanjang program. Katanya slot yang paling menyerlah dalam bengkel tersebut adalah penerangan terperinci mengenai ‘Masbuq Muafiq’ dan demonstrasi cara bertayamum. Para peserta juga diberi contoh-contoh masalah dan khilaf ulama’ serta cara berwuduk bagi pesakit bergantung pada keadaan.

bengkel.3

 

Program sebegini amat bermanfaat buat ahli kerana mampu meningkatkan kesempurnaan ibadah seterusnya melahirkan insan yang berkualiti dari sudut ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. “Alhamdulillah melalui bengkel ini, saya dapat mengetahui secara terperinci cara berwuduk yang sempurna mengikut tuntutan Islam. Begitu juga mengenai aplikasi ilmu tersebut ke atas pesakit-pesakit di hospital”, ujar Muhammad Akmal Ashraaf, pelajar Tahun 2 yang juga merupakan salah seorang AJK yang menguruskan bengkel ini.

bengkel.2

Kesibukan ahli ketika ini yang sedang memberikan konsentrasi penuh terhadap peperiksaan tidak menghalang mereka untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan kewajipan utama sebagai seorang muslim. Walaupun bilangan kehadiran tidak mencapai target yang diingini, namun apa yang ingin disampaikan melalui program ini kepada ahli telah berjaya dilaksanakan dan diharapkan peserta yang hadir ke Bengkel Solat ini akan terus mempraktikkan ilmu yang mereka dapat serta menyampaikannya kepada rakan-rakan untuk sama-sama memperbaiki kelemahan dalam beribadah.

Semoga berjaya diucapkan kepada semua ahli PCS yang bakal menduduki peperiksaan!

“PCS, Kita Satu Hati”