logo_perubatan

Assalamualaikum WBT.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

            Alhamdulillah , segala puji dan syukur kita panjatkan terhadap Allah Subhanahuwata’ala yang telah memberikan kepada kita nikmat iman dan Islam . Selawat dan salam buat Rasulullah sollallahu’alaihiwasallam, para sahabat,tabie’, tabie’ tabi’in dan kepada hamba-hambaNya yang soleh, kerana perjuangan mereka yang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan syiar islam dan atas keizinanNya juga, kita telah mengecapi dua nikmat  terbesar sebagai hamba, iaitu nikmat Iman dan Islam .

InsyaAllah bagi memulakan sesi baru pada kali ini , izinkan saya memberi satu gambaran awal pembawaan yang akan saya dan pimpinan PCS galas . Untuk pengetahuan sidang dewan sekalian , selepas mengambil kira keadaan kita di Ain Shams, saya dan rakan-rakan mengeluarkan lima item utama untuk kami fokuskan.

 

 

1. Kesatuan tunjang kekuatan.

Sebagai sebuah cawangan yang baru, kesatuan dan keutuhan ukhuwah adalah satu elemen yang amat diperlukan bagi memantapkan dan melicinkan gerak kerja. Selaras dengan agenda PERUBATAN pada sesi kali ini, idea kesatuan akan terus dibawa dan segala usaha ke arahnya akan terus dipergiat dan diimplementasi sedalam mungkin di bumi Ain Shams. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat ke 2.

“ Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.”

Kesatuan yang dibina atas dasar aqidah yang benar, mampu memberi impak yang besar dan berkesan terhadap umat Islam seluruhnya. Seperti mana yang kita sedia maklum, umat Islam kini secara globalnya telah berusaha untuk mewujudkan kembali satu kekhalifahan yang menyatukan umat Islam di bawah satu lembayung pemerintahan yang sama yang pernah kita miliki,  yang juga akan melahirkan satu kekuatan yang mampu menggentarkan musuh-musuh Allah tatkala berhadapan dengan kita. Hasrat global ini tidak dapat tidak haruslah dimulakan dengan penyatuan umat Islam di peringkat glokal terlebih dahulu, jika pincang penyatuan diperingkat yang kecil ini, mana mungkin satu kekhalifahan yang besar dapat dibentuk.Firman Allah SWT, dalam surah As-Soff, ayat ke 4.

“ Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

Jadi, sahabat sekalian tidakkah kita ingin menjadi orang-orang yang dicintai oleh Allah berdasarkan firmanNya tadi? Maka dari itu, marilah kita berganding bahu, bersatu hati dalam melaksanakan amanah yang telah ditetapkan. Bantulah kami dan sama-sama kita saling memberi, bertoleransi dalam usaha menuju redha Allah SWT.

 

 

2. Tarbiyyah nadi pembangunan modal insan.

Apabila disebut tarbiyyah, Smart Circle adalah suatu medan yang sinonim dengan PERUBATAN. Dan menjadi idaman setiap orang  muslim yang mengambil bidang kedoktoran untuk menjadi hebat pada kedua-duanya, iaitu muslim dan doktor yang hebat! Maka dari itu, lahirlah istilah doktor Muslim. Oleh yang demikian, PCS pada sesi kali ini, memandang dengan serius usaha-usaha untuk memantapkan silibus tarbiyyah di dalam Smart Circle, dan terus memacu Smart Circle untuk mewujudkan modal insan yang berkualiti yang mampu memberi manfaat kepada orang-orang disekelilingnya.

Oleh itu, kesedaran untuk hadir ke Smart Circle merupakan tanggungjawab untuk kita yang bergelar Muslim, demi membentuk modal insan yang cemerlang selain mengejar redha Allah demi kebaikan dunia dan akhirat kelak.

Seterusnya, suasana masyarakat yang sentiasa peka dan mengambil berat, serta cakna terhadap antara satu sama lain mampu diwujudkan dibawah pembawaan pembangunan insan ini. Jadi, di pihak PCS, kami bersedia mewujudkan biah seperti ini dengan memperkasa peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI) yang berada di bawah pantauan pengerusi cawangan. Adapun JAKSI akan berfungsi untuk menjaga kemaslahatan ahli PCS. Sebagaimana yang kita telah maklum, kita pernah mendengar peristiwa yang tidak diingini berlaku terhadap ahli-ahli kita di sekitar kawasan Abbasiyah. Jadi, kita tidak mahu peristiwa seumpama ini berulang kembali. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sentiasa cakna dan mengambil berat terhadap isu-isu semasa dan mematuhi etika yang dikeluarkan oleh JAKSI untuk menjaga keselamatan masing-masing.

Justeru, agenda tarbiyyah akan terus dimantapkan dari semasa ke semasa melalui kajian dan maklum balas daripada ahli, agar PCS mampu menyediakan medan tarbiyyah yang mampan seterusnya menyediakan ahli-ahli PCS ke arah menjadi daie’ disamping menjadi seorang doktor Muslim yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Insya-Allah.

 

 

3.      Kecemerlangan akademik, medan jihad kita

Akademik, tetap menjadi fokus kita dan segala usaha untuk memastikan kesemua ahli PCS berada pada tahap akademik yang sepatutnya akan terus dijalankan dan usaha-usaha tersebut akan dipastikan berada pada tahap maksima. Hal ini demikian kerana, akademik adalah tujuan utama keberadaan kebanyakan daripada kita di bumi Mesir ini. Menurut laporan daripada Biro Akademik sesi lepas, prestasi akademik ahli PCS adalah berada pada tahap yang seimbang daripada tahun satu hingga enam. Ini adalah satu petanda yang baik sebenarnya dan menunjukkan PCS dan ahli tetap memandang serius soal akademik di samping banyak program lain yang dijalankan. Ini juga menunjukkan keberjayaan ahli PCS dalam meletakkan keseimbangan antara persatuan dan pelajaran.

Melalui pengalaman senior serta graduan dari Mesir, seringkali kita mendengar keluhan tentang kekurangan kemahiran klinikal. Hal ini merupakan satu perkara yang perlu dipandang penting sebelum menempuh kerjaya yang lebih mencabar. Lantaran akademik merupakan aspek yang sangat penting bagi ahli, PCS, pada sesi kali ini, akan cuba mewujudkan satu hubungan rasmi yang baru dengan persatuan pelajar-pelajar Arab dalam usaha untuk membuka ruang yang lebih luas untuk ahli mengasah kemahiran berkenaan bidang perubatan mengikut apa yang ditawarkan di dalam program-program yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan pelajar Arab tersebut.

Selain itu, PCS juga telah membuka temuduga untuk membuka keahlian baharu Medical Team(MedTeam)  yang turut memainkan peranan untuk ahli mengasah kemahiran yang bakal diperlukan ketika melangkah ke medan sebenar kelak.

Maka, mahu tidak mahu, kita harus mempersiapkan diri dengan segala ilmu untuk menempuh medan jihad pada zaman ini, iaitu ketinggian ilmu, dan kita harus buktikan kemuliaan dan ketinggian Islam meliputi segala aspek termasuklah bidang ilmu, khususnya perubatan, akhlak dan kepimpinan. Dan Imam As-Syafie pernah menyebut, “Jika kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.” Berdasarkan kalam yang pernah disebut oleh Al-Imam, jelaslah untuk menuntut ilmu, dan menjadi mahir di dalamnya merupakan satu jalan yang amat penat dan susah. Namun, firman Allah swt.

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah: 5-6)

Walaupun jalan untuk menuntut ilmu itu sukar, namun, akan ada kesenangan dan kemudahan yang akan dibukakan dengan izinNya berdasarkan firman Allah di dalam ayat ini. Jadi, persiapkanlah diri kita untuk sama-sama mara di dalam medan jihad zaman ini, demi membuktikan kemuliaan dan ketinggian Islam di mata dunia.

 

 

4.      Kebajikan sebenar, menuju redha Allah.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 177,

“ Tidaklah kebajikan itu,dengan kamu menghadapkan ke timur dan barat, tetapi kebajikan yang sebenar ialah beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab-kitab dan para nabi.”

Ilham daripada firman Allah SWT di dalam al-Quran inilah yang mendorong PCS untuk terus komited dalam menjaga kebajikan ahli bukan sahaja daripada aspek keperluan pelajar, malah akan terus untuk menyumbang dalam segenap aspek yang bersesuaian dengan kehendak ahli. Oleh yang demikian, keperluan pelajar seperti masalah fail, akan kami berikan perhatian yang sepenuhnya. Memandangkan jumlah ahli yang semakin bertambah dari semasa ke semasa, kami, PCS, akan cuba memberi yang terbaik daripada segala aspek seperti perumahan dan bantuan ketika berlaku kecemasan atau keadaan yang tidak diingini.

Saban tahun, semakin ramai ahli yang berpindah ke kawasan Abbasiyah, dan dari itu, kami, akan mempertingkatkan kualiti dari aspek perumahan dan akan membantu mana-mana ahli yang ingin berpindah ke kawasan ini. Selain itu, gerak kerja dalam pemetaan rumah-rumah ahli akan terus dan giat dilakukan memandangkan keadaan keselamatan yang kurang terjamin di Mesir ketika ini. Pemetaan kawasan ini penting dan akan memudahkan kita sekiranya berlaku sebarang kecemasan di kawasan penempatan ahli.

PCS turut memfokuskan aspek kebajikan pelajar. Buktinya, kami menyediakan Tabung Kasih Sayang(TKS) yang akan disumbangkan kepada mana-mana ahli yang memerlukannya. Misalnya, jika berlaku sebarang kecelakaan, kami akan membantu berdasarkan kadar kerugian yang ditanggung oleh ahli di dalam kes seumpama itu.  Di sini ingin diterangkan kepada ahli PCS bahawa TKS mempunyai ahli yang tetap dan digelar sahabat TKS. TKS juga  disumbangkan ataupun dipinjamkan kepada ahli yang sangat memerlukan di waktu kecemasan. Sistem TKS ini diwujudkan sebagai salah satu usaha untuk meringankan beban ahli.

Sebagaimana yang kalian sedia maklum, PCS kini baru berusia hampir setahun, dan keberjayaan untuk kita berdiri sendiri sebagai sebuah cawangan antara tujuh cawangan yang terdapat di Mesir tidak lain dan tidak bukan, adalah hasil interaksi antara ahli dan pimpinan PCS, dengan konsep memberi dan menerima. Saya berharap, agar suasana seumpama ini mampu diteruskan untuk sesi ini, untuk sama-sama kita membantu antara satu sama lain, untuk kita terus mengorak langkah, menuju redha Allah SWT. PCS akan terus komited dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dalam pelbagai urusan ahli termasuklah kebajikan, akademik, kewangan, perumahan, keselamatan dan sosial, serta amar makruf dan nahi mungkar. Tidak terhenti setakat itu sahaja, PCS akan cuba untuk memenuhi kebajikan ahli mengikut arus semasa.

 

 

5. Agenda Profesionalisme: Ke Arah Melahirkan Doktor Muslim Profesional

Masuknya tahun 2014, maka genaplah 12 tahun PERUBATAN ditubuhkan. Gerak kerja PERUBATAN perlu seiring dengan tempoh penubuhannya. Oleh itu, agenda profesionalisme harus diketengahkan sebagai satu langkah untuk meraikan kematangan PERUBATAN dalam pelbagai aspek.

Saya melihat agenda ini wajar untuk terus difokuskan dalam usaha untuk melahirkan doktor Muslim yang mencapai kualiti dan piawaian semasa oleh kerana PCS merupakan persatuan yang menaungi semua mahasiswa Malaysia jurusan sains kesihatan di Universiti  Ain Shams. PERUBATAN khususnya dilihat sebagai persatuan yang mampu melahirkan ahli yang bakal menjadi doktor Muslim profesional dan berketerampilan di samping memperlihatkan PERUBATAN sebagai sebuah persatuan yang  mementingkan kualiti dan mencapai piawaian tertentu dalam semua aspek pengurusan dan gerak kerja. Jiwailah maksud Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang itu, yang apabila dia melakukan sesuatu, dia melakukan dengan itqan (bersungguh-sungguh dan teliti)”

PERUBATAN berhasrat untuk  melahirkan pengamal perubatan yang berpotensi dan sangat berkualiti dengan menguasai  ilmu perubatan yang baik serta mempunyai sahsiah yang terpuji. Kita melihat bahawa mahasiswa yang mengikuti kursus sains kesihatan semakin ramai terutama di bumi Mesir ini, maka rugilah  jika mahasiswa yang begitu ramai tidak mampu berkhidmat di Malaysia dengan menonjolkan ciri-ciri muslim profesional yang berminda kelas pertama. Tambahan pula, kita bukan sahaja ingin menguasai bidang ilmu perubatan tetapi juga menguasai ilmu-ilmu lain seperti ilmu agama, malah mampu mendepani isu-isu global secara bijak dan holistik.

 

 

Kesimpulan

Sahabat sahabiah sekalian, demikianlah lima pembawaan yang akan saya dan AJKT PCS 2014/2015 fokuskan pada sesi kali ini. Saya amat mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada kalian untuk menentukan hala tuju PERUBATAN Cawangan Ain Shams. Saya akhiri ucapan ini dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Hajj, ayat ke 40 dan Ali-Imran ayat ke 160.

“…Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha kuasa.”

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu…’

Semoga kalam Allah ini menjadi penguat bagi kita untuk melakukan kebaikan dan sama-sama mendoakan kelancaran gerak kerja dan perancangan yang dirangka agar sejajar dengan kehendak Allah SWT untuk mencapai redhaNya. Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa agar Allah SWTsentiasa membantu kita untuk mencapai maksud kehidupan yang sebenar dan seterusnya mati di dalam redha dan rahmatNya.

Sekian, jazakumullahu khairan kathira.


“PCS, Kita Satu Hati”
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar- Rahmah”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

anip crop

 

Muhammad Hanif bin Mahamad
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)
2014/2015