Abbasiyah, 27 Mac – Setelah empat hari berkampung di Fakulti Farmasi Universiti Ain Shams, ‘Ain Shams International Day 2014’ telah melabuhkan tirai penutupannya. Bermula seawal 5.00 petang, malam penutup diserikan dengan persembahan dari setiap negara. Dan Malaysia buat julung kalinya telah menampilkan persembahan sulung kumpulan Muse di khalayak antarabangsa.

Kumpulan yang dianggotai oleh tiga jejaka ini telah mendedikasikan lagu ‘Freedom’ buat saudara kita daripada Palestin dan Syria selain turut menyampaikan beberapa buah lagu Melayu. Selain Muse, kumpulan Dikir Pangak Agung turut membuat persembahan tradisional negeri Kelantan iaitu dikir barat.

 

berita id 3

“Walaupun sempat berlatih selama dua hari sahaja, namun mereka dapat mempersembahkan dengan baik,” ujar Saudara Muhammad Affan bin Roshidi apabila ditanya berkenaan persembahan pada malam tersebut.

Wakil Malaysia telah berjaya mendapat tempat kedua keseluruhan program selain menang dalam permainan yang dianjurkan sepanjang program berlangsung. Antaranya termasuklah johan dan naib johan perlawanan ping pong serta naib johan dalam permainan chess.

BERITA id

Turut diadakan booth Malaysia pada dua hari pertama program. Booth Malaysia yang membawa sedikit kelainan berbanding tahun sebelumnya dengan membuat satu sudut ‘Pray For MH 370’ telah berjaya menarik perhatian mahasiswa negara lain untuk berkunjung dan mengenal Malaysia dengan lebih dekat. Turut bersama pelajar-pelajar Malaysia ketika itu ialah Ust Muhammad Imran Ibrahim selaku wakil Education Malaysia Egypt yang melawat booth di karnival tersebut.

berita id 2

Tidak dilupakan buat wakil Malaysia, Saudara Abdul Muhaimin Saiful Suhardi  yang mengambil bahagian dalam simposium dengan mendeklamasikan puisi dalam Bahasa Arab.

Tahniah diucapkan buat semua wakil, pemenang, jawatankuasa yang menjayakan program ini serta ahli PERUBATAN Cawangan Ain Shams yang turut hadir memeriahkan dan menjadi duta kecil yang memperkenalkan Malaysia kepada negara-negara lain.

“PCS, Kita Satu Hati”