Pasca-Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC)  yang menjadi titik tolak kepada permulaan sesi baharu pimpinan PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) kira- kira semingggu lalu, wartawan Liputan Biro Penerbitan dan Penerangan PCS berkesempatan menemuramah Saudara Muhammad Hanif bin Mahamad; Pengerusi PCS 2014/2015.

Beliau yang sentiasa murah dengan senyum itu menyambut baik soalan demi soalan yang diutarakan lebih- lebih lagi perihal lima pembawaan atau agenda yang sedang diimplimentasikan dalam gerak kerja PCS sesi ini.

Ikuti wawancara kami bersama beliau…

1) Bolehkah saudara terangkan serba sedikit tentang agenda yang akan pimpinan PCS bawa bagi sesi ini?  

PCS kali ini akan membawakan lima agenda yang kami rasa perlu untuk diterapkan di bumi Ain Shams, antaranya agenda kesatuan, tarbiyyah, akademik, kebajikan dan profesionalisme.   Kita lihat, sebagai sebuah cawangan yang baru, penerapan kesatuan di Ain Shams amatlah diperlukan. Saya melihat, keadaan di Ain Shams, semangat atau ukhuwah sesama ahli batch amatlah tinggi, dan ini merupakan sesuatu perkara yang baik, dan perlu diluaskan lagi skop ukhuwah tersebut melangkaui sehingga antara batch. Jika agenda ini berjaya dilaksanakan maka kita telah pun berjaya menyahut firman Allah s.w.t  di dalam al-Qur’an,

‘sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara’ 

DSC04940

2)            Umum melihat agenda kedua iaitu tarbiyyah sebagai suatu agenda besar lagi dan kedengaran berat untuk diterima ahli. Apa pandangan Saudara Pengerusi?  

Agenda ini, saya fokuskan khusus atas sebab untuk mengejar keredhaan Allah. Saya tidak mahu gagal menjawab di hadapan Allah, jika ditanya di akhirat kelak ‘apakah yang kamu lakukan untuk membantu Islam  sewaktu kamu mempunyai kemampuan yang lebih  dahulu?’ Biarlah pembawaan ini menjadi jawapan kita untuk menjawab di hadapan Allah kelak. Sebagai seorang Islam, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menyebarkan dakwah Islam dan fikrah yang sebenar agar kita mampu menarik sebanyak mungkin umat manusia kepada Islam.

 

 

3)            Sebagai ahli PCS, saya turut bersemangat mendengarkan jawapan tersebut. Secara ringkas, adakah agenda tarbiyyah ini mampu membina ahli PCS dengan kekuatan kita yang masih setahun jagung?  

Sudah tentu. Melihat kepada agenda tarbiyyah, perlu diingatkan, untuk melahirkan individu muslim mengikut marotib amal, agenda ini haruslah difokuskan dengan memperkasa segala wasilah tarbiyyah yang ada.

hanif

 

4)            Mungkinkah agenda akademik berbunyi terlalu tipikal bagi sebuah organisasi yang menaungi pelajar- pelajar dalam jurusan yang sama?  

Agenda akademik, difokuskan memandangkan ini adalah antara medan jihad kita. Perlu diingat, ia merupakan antara medan jihad, bukan satu-satunya. Marilah kita jiwai hadith nabi Muhammad S.A.W,

‘Sesungguhnya Allah menyukai seseorang itu, yang apabila ia melakukan sesuatu, dia melakukan dengan itqan(bersungguh-sungguh dan teliti)’.  

Dalam hal ini, agenda ini akan terus memfokuskan clinical skills di mana, di pihak kami, khususnya BCAD, akan berusaha melakukan sesuatu untuk memenuhi kehendak ahli terutamanya pada item clinical skills ini.

 

5)            Apakah signifikasi PCS membawa agenda kebajikan kepada ahli?  

Agenda ini lebih sinonim dengan PERUBATAN memandangkan majoriti  ahli yang datang ke bumi Mesir adalah tanpa keluarga, jadi menjadi tanggungjawab PERUBATAN untuk mengambil berat soal kebajikan ahli, khususnya di bumi Ain Shams.

 

6)            Selaku peneraju PCS pada sesi kedua ini, adakah anda merasakan bahawa  agenda kelima iaitu agenda profesionalisme relevan dibawa dalam gerak kerja PCS?  

Sudah tentu,  agenda profesionalisme terus dibawa di bumi Ain Shams memandangkan PERUBATAN secara umumnya kini telah berusia hampir 13 tahun. Maka dari itu, gerak kerja PERUBATAN juga seharusnya seiring dengan kematangan usia PERUBATAN. Gerak kerja ini akan terus dimantapkan agar segala program yang dianjurkan akan bertambah baik dari semasa ke semasa. Soal relevan atau tidak tidak menjadi masalah. PCS bukankah sebahagian daripada PERUBATAN?

IMG_8731

7)            Adakah kesemua agenda ini akan dipersembahkan melalui semua program PCS secara keseluruhannya?  

InshaAllah, bagi setiap agenda, kita akan ada program-program yang akan dilaksanakan untuk mencapai kesemua agenda dengan jayanya. Di  peringkat ahli, saya mengharapkan agar kalian dapat menyertai program-program yang dianjurkan. Sebagai contoh, agenda akademik, bagi memfokuskan clinical skills, kami akan berusaha untuk meminta  senior-senior tahun 5 dan 6 yang telah mempunyai kemahiran di dalam Basic Clinical Skills(BCS) untuk mengajar adik-adik yang ingin belajar BCS ini. Ini adalah contoh salah satu program yang akan kita jalankan ke arah mencapai agenda akademik.

 

8)            Soalan terakhir daripada pihak kami,apakah harapan terbesar saudara sepanjang mengemudi bahtera PCS sepanjang sesi ini?  

Apa yang saya harapkan sebenarnya, ahli PCS sedar akan tugas kita di dunia ini; hamba Allah dan khalifah untuk memimpin dunia. Hayati firman Allah s.w.t

‘sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara’,

maka dari itu, marilah kita bersatu, membentuk satu komuniti Ain Shams yang bersatu di atas aqidah yang benar. Jiwailah maksud ukhuwah yang sebenar dan ingatlah sahabat-sahabat , serendah-rendah ukhuwah , adalah berlapang dada dan seharusnya kita meletakkan target untuk mencapai tahap ukhuwah yang paling tinggi, iaitu ithar (meletakkan kepentingan sahabat melebihi diri sendiri). Jika kalian menghayati rukun ini, yakinlah, kesatuan akan berjaya dibentuk dan satu komuniti yang utuh akan wujud di bumi PCS ini.

pengerusi putih

 

Unit Liputan BPP PCS : Semoga seluruh harapan dalam pembawaan ini dapat sama- sama direalisasikan oleh kita semua selaku ahli PCS dengan pimpinan Pengerusi Hanif. Sesungguhnya organisasi itu umpama pohon, tetapi ahli dan penggeraknya adalah akar banirnya. “PCS, Kita Satu Hati”