10 Mac, Abbasiyah – Warga PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) bergembira sekali lagi kali ini dengan kehadiran orang baru dalam komuniti Abbasiyah. Kelahiran seorang bayi lelaki daripada pasangan Saudara Ahmad Fahmi bin Rashid Redza, pelajar Perubatan Tahun 6 Universiti Ain Shams ternyata menambah seri dalam perkahwinannya bersama pasangan, Saudari Mahfuzah binti Mahamud lepasan Perubatan Universiti Kaherah.

Saudara Fahmi yang melangsungkan perkahwinan beliau pada tahun 2013 itu, mengucapkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah Taala kerana telah memberikan pasangan ini ‘hadiah perkahwinan’ yang ternyata paling bermakna dalam hidup mereka. Dengan perubahan tangungjawab baru dalam berkeluarga, Saudara Fahmi berkata, “Kelahiran seorang anak ini merupakan amanah daripada Allah dan sebagai seorang ayah, saya akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin.”

Saudara Pengerusi PCS, Hanif Mahamad yang turut mengambil kesempatan menziarahi keluarga tersebut berkata, “Alhamdulillah, tahun 2014 merupakan tahun yang cukup istimewa bagi mahasiswa Ain Shams kerana telah dikurniakan oleh Allah, dua kelahiran putera daripada mahasiswa Ain Shams yang insyaAllah, kita semua mendoakan dua orang putera ini akan menjadi individu-individu yang hebat seperti ibu bapa mereka kelak. Tahniah dan syabas saya ucapkan, dan saya mendoakan agar saudara Fahmi terus kuat dalam mengharungi cabaran sebagai seorang mahasiswa, suami dan ayah” ujar beliau lagi. PCS sesi ini yang diketuai beliau turut memberi sumbangan sejumlah wang daripada dana Tabung Kasih Sayang yang sedia memberi peruntukan dalam semua peristiwa yang berlaku dalam kalangan ahli.

fahmi

Bayi kepada pasangan berkenaan, Ahmad Zaki bin Ahmad Fahmi, selamat dilahirkan di Hospital Taufikiah Takhasus, Abas Akkad dengan berat 2.85 kilogram melalui proses kelahiran normal. “Saya memanggil anak ini dengan panggilan Ahmad,” ujar Saudara Fahmi sambil sempat berseloroh bagaimana dia sentiasa gusar apabila terpaksa meninggalkan anaknya untuk hadir ke kuliah di universiti.

PCS mengucapkan ribuan tahniah dan berharap semoga dengan kelahiran ini dapat terus membawa keharmonian rumahtangga dan rezeki kepada pasangan ini. Kelahiran merupakan sebesar-besar nikmat yang dianugerahkan Allah Taala kepada hambaNya. Golongan muslimin bukan sahaja mengharapkan semata-mata mempunyai anak selepas perkahwinan, tetapi mereka juga mengharapkan zuriat yang soleh dan solehah yang mampu membawa sinar kepada agama Allah Taala.