4 Februari, Abbasiyah – Pimpinan PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) telah mengadakan ziarah mahabbah ke rumah pasangan Saudara Muhammad Azri bin Iskandar dan Mardhiyah binti Abdullah pada 2 dan 3 Februari yang lalu.

Pasangan tersebut yang baru sahaja menerima kehadiran cahaya mata sulung pertama mereka 1 Januari lalu menyambut mesra kunjungan beberapa Ahli Jawatankuasa Tertinggi  (AJKT) PCS ke teratak mereka. Kunjungan yang diketuai oleh Saudara Mohamad Alfatani bin Abdullah selaku Pemangku Pengerusi PCS 2013/2014 tersebut memulakan ziarah pada  2 Februari lalu.

baby2

Sementara kunjungan AJKT akhwat yang diketuai oleh Saudari Farhana binti Bakri; Timbalan Pengerusi PCS 2013/2014 mengunjungi keluarga tersebut pada hari berikutnya. Saudari Mardhiyah yang sememangnya ramah bercerita berbesar hati menceritakan pengalaman bersalin di Mesir. Menurutnya, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang melahirkan cahaya mata di Hospital Ain Shams. Hasilnya,bayi tersebut hanya didaftarkan tidak melebihi satu nama sahaja, iaitu Muhammad. Saudari Mardhiyah memberitahu bahawa nama kedua putera mereka akan didaftarkan kelak di Kedutaan Malaysia Kaherah.

Mengakui segala urusan sepanjang mengandung dan melahirkan dipermudahkan Allah, Saudari Mardhiyah turut mengkhabarkan bahawa Muhammad telah ditahnik oleh Syeikh Dr Yusri. Semoga Muhammad dilimpahi rahmat dan keberkatan berwasilahkan doa seorang ulama.

baby1

Ketiga- tiga ahli keluarga tersebut akan berangkat pulang ke Malaysia pada awal Mac ini, seusai Majlis Konvokesyen anjuran Universiti Ain Shams pada 15 Februari ini. PERUBATAN Cawangan Ain Shams mengucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada kedua- dua senior; Saudara Azri dan Saudari Mardhiyah sebagai doktor di Malaysia kelak.