4 Februari, Abbasiyah – Program Musim Sejuk PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) 2014 yang lebih ulung dengan nama Shita’ sudah hampir melabuhkan tirainya apabila tiga daripada empat program dalam Shita’ berjaya dilaksanakan sehingga semalam.

Program LIGHT; Lightening Your Skills khusus daripada pelajar- pelajar Tahun 6 Imtiyaz untuk junior- junior akhwat semalam membariskan beberapa ikon yang dikenali ramai. Antaranya, Saudari Azliani Ismail selaku Pengarah LIGHT dan Saudari Sharifah Amirah Habit Mustafa yang menjadi tenaga pengajar pembuatan ‘crochet’. Saudari Sharifah apabila ditanya tentang minatnya dalam bidang tersebut menjelaskan, “Minat itu penting, tetapi sabar lebih penting.”

light4

30 peserta yang dibahagi sama rata kepada empat kumpulan kecil bergilir- gilir memasuki empat ruangan iaitu kelas ‘crochet’, kelas jahitan, kelas tarian dan kelas memasak. Para peserta yang terdiri daripada segenap lapisan batch begitu kagum dengan kemahiran dan minat yang dimiliki oleh para senior di samping enam tahun setengah menelaah pelajaran perubatan dan bahan ilmiah yang lain.

light7

Saudari Nur Hidayah Abd Majid sebagai peminat seni tarian Melayu Asli turut memperkenalkan kepada peserta tentang pelbagai tarian Melayu Asli yang wajar diketahui oleh anak- anak Melayu iaitu Tarian Zapin, Tarian Inang, Tarian Masri, Tarian Lilin, Tarian Wau Bulan dan Tarian Sumazau. Beliau turut memperkenalkan tarian kontemporari contohnya Tarian Jawa. Beliau mengulang kata- kata yang sama seperti Saudari Sharifah, “Yang penting, minat”.

Dalam pada itu, di ruangan yang lain Saudari Nurul Amirah Mohd Nor mengendalikan kelas membakar tat telur. Menurut salah seorang peserta, proses pembikinan biskut tat tersebut sebenarnya tidaklah sesukar yang dibayangkan apabila senior- senior berjaya memperlihatkan resepi dan cara termudah dalam proses tersebut. “ Kami sungguh beruntung kerana Kak Amy bukan sahaja mengajar cara membuat Tat Telur, malahan beliau turut menurunkan ilmu dan rahsia pembuatan Tat Keju dan Pai Epal juga.” komen Nadhira Fadzlin yang sangat teruja dengan proses itu.

light2

Saudari Nurul Izzah Abd Rahman dalam slot jahitan turut menurunkan ilmu jahitan baju kurung bersama asas- asas menjahit kepada peserta. Beliau yang turut membawa mesin ke Markas PERUBATAN Abbasiyah tersebut memberitahu bahawa beliau pernah menjahit pelbagai jenis baju kurung untuk dirinya sendiri juga. Para peserta yang teruja bersungguh- sungguh menggunakan masa kurang satu jam untuk memahami teori jahitan baju tradisional Melayu tersebut.

light6

Program ini berjaya mencapai objektif terpenting iaitu pemantapan ukhwah dan perkongsian kemahiran oleh senior- senior kepada junior. Perkongsian tersebut amat berharga kerana hal ini menunjukkan bahawa minat dan hobi sangat penting dalam pengisian masa lapang sebagai pelajar perubatan khususnya. Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada senior- senior yang bakal pulang ke Malaysia tidak lama lagi kerana berbesar hati mengadakan program seumpama ini.