Skrin komputer ribanya ditatap. Memeriksa laporan yang baru sahaja dia siapkan sebentar tadi. Baris demi baris, perenggan demi perenggan. Setelah berpuas hati, butang ‘save as’ ditekan.

Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Mencari posisi terbaik untuk merehatkan diri. Jari-jemarinya turut direnggangkan. Buku catatan yang ada di sebelah dipandang sekilas. Matanya dipejam, lalu fikirannya dibiarkan menerawang buat seketika.

Dia tahu amanah itu sesuatu yang berat. Dia tahu amanah sesuatu yang dipandang tinggi. Dan dia juga tahu, untuk melaksanakan  sesuatu amanah, dia memerlukan kekuatan serta kesabaran di tahap yang paling tinggi. Namun dia tahu, amanah itu juga sesuatu yang amat sukar. Ada kalanya dia perlu berkorban. Ada kalanya dia perlu utamakan hak orang lain berbanding hak dirinya sendiri.

Amanah yang hancur!

Dia teringat akan satu program yang pernah dihadirinya. Usai pendaftaran, setiap peserta diberikan sekeping biskut. Apa yang melucukan, ada peserta yang menyangka biskut tersebut sebagai satu snek, lalu dimakannya sampai habis! Rupanya biskut itu adalah satu barang amanah yang perlu dijaga oleh setiap peserta sehinggalah ke akhir program. Para peserta dibiar untuk memikirkan cara terbaik untuk memastikan barang amanah tersebut terjaga dengan sempurna, baik dari bentuk asal dan cara penyimpanan. Kebanyakan peserta menyimpan biskut tersebut dalam tag nama supaya tahan lebih lama.

linbiskut

Ketika program tersebut menghampiri penghujungnya, setiap peserta ditanya akan barang amanah masing-masing. Ada yang lemau, ada yang merekah, ada yang hancur berkecai menjadi habuk, dan ada juga yang masih elok seperti sediakala. Mereka yang gagal menjaga biskutnya dengan baik, yakni yang merekah dan hancur, diberikan hukuman untuk mengutip sampah.

Bukan setakat biskut, malah barang amanah itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan rupa. Boleh jadi sehelai kertas kosong, sebatang lidi, mahupun sebatang spageti yang masih mentah.

Mengenangkan pengalaman itu, dia kerap kali memikirkan seandainya amanah sekecil itu tidak mampu dijaga dengan baik, bagaimana dia mahu membawa jiwa-jiwa manusia untuk mengenal Tuhan? Jiwa manusia itu bahkan lebih besar dari sekeping biskut.

Manusia dan amanah.

Sehingga ke hari ini, dirinya kerap memikirkan signifikan dan perkaitan antara barang amanah dalam program dengan amanah dalam kehidupan. Amanah yang kecil dengan amanah yang besar. Amanah yang boleh dilihat dengan mata kasar dengan amanah yang langsung tidak dapat dilihat, hanya dapat dirasa.

Jika dihitung amalan setiap manusia, pastinya ramai yang masih mengira. Sudah cukup atau tidak untuk dibawa bertemu Tuhan. Sudah sempurna atau masih punya kelompongan untuk diisi. Mana yang lebih berat, amalan baik atau amalan jahat?

Namun apa yang menyedihkan, manusia selalu lalai dengan amanah yang Tuhan beri. Manusia lebih cintakan dunia yang sementara berbanding akhirat yang kekal abadi. Manusia lebih rela mengejar hidup yang sekejap berbanding mati yang akan tiba suatu hari nanti. Ramai yang tertipu dengan habuan duniawi yang belum pasti sedangkan ganjaran ukhrawi yang hakiki masih lagi menanti.

Menjadi seorang manusia, juga satu amanah. Tapi ramai yang leka, ramai yang buat-buat lupa. Sibuk hendak puaskan nafsu dan kepentingan diri sendiri hingga sanggup menggadaikan hak orang lain. Umpama gunting dalam lipatan. Membunuh dalam senyap.

Manusia itu perlu berubah.

Sedarlah, kita adalah manusia itu!

amanah5

Ikhlaslah, wahai diri!

Jika kita bekerja kerana manusia, nescaya kita akan kecewa.

Jika kita bekerja kerana harta, nescaya kita akan merana.

Jika kita bekerja kerana dunia, nescaya kita akan terpedaya.

Bekerjalah kerana Tuhanmu, kerana di situlah terletaknya redha buatmu.

 

Planner miliknya diselak. Matanya tertumpu kepada satu tarikh penting yang sudah lama bertanda. Masih ada beberapa hari lagi sebelum menjelangnya Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Pertama. Hari ‘perhitungan’ itu bakal tiba tidak lama lagi. Hari untuk manusia menghisab amanah yang dipertanggungjawabkan kepada dirinya.

Planner itu ditutup, lalu disimpan di dalam beg. Lantas dia berdiri, lantas menghayun langkah ke bilik air. Kepala paip dipulas. Wuduknya disempurnakan.

Sejadah dibentang. Dia sedar, hanya kepada Allah dia boleh mengharapkan kekuatan.

Hidup bukan sekadar hidup.

Hidup adalah untuk mencari bekalan menuju Tuhan.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh” (Surah At-Taubah : 111)

Amanah itu bukan untuk dibangga-bangga. Ia hadir dalam diam, kadang-kala tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

linsujud

 

Ditulis oleh :

Nur Nadhira Fadzlin Md Hanafiah
Tahun 4
Timbalan Setiausaha
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)
2013/2014