“Kawan kakak dan keluarganya pernah merancang untuk tinggalkan malaysia dan menetap di luar negara,” ujar seorang senior yang menuntut di tempat yang sama.

Apakah sebenarnya dorongan yang menyebabkan keluarga itu untuk meninggalkan Malaysia? Bukankah penduduknya terutamanya orang Melayu bersifat lemah lembut, tolong menolong, peramah dan suka membantu?

“Mereka mahu ke luar negara sebab tidak tahan dengan sikap sebahagian masyarakat yang semakin menjadi-jadi. Malas berfikir, suka mengkritik, skeptikal dan terlalu banyak berjenaka.”

 

Jika ditanya apakah tujuan hidup, pasti terbayang-bayang naqib dan naqibah yang selalu menyatakan  tiga jawapan yang berdalil daripada al-Quran. Hamba, khalifah dan daie.

Namun begitu, sejauh manakah kita merangkumkan Islam itu sebagai aspek kehidupan dalam konteks daie?

Hakikatnya, tanpa disedari, tidak semua muslim di negara kita yang menyedari tujuan itu. Sedarkah kita  bahawa pemikiran masyarakat sudah mula disuntik dengan hiburan, kelalaian, keseronokan, fesyen , gossip dan bermacam-macam lagi? Barangkali sudah hampir berjaya agenda musuh-musuh Islam membawa virus Hedonisme ini ke tanah air.

Terlalu banyak virus yang melanda masyarakat, bukan hanya yang tinggal di Malaysia, bahkan juga ada yang terbawa-bawa ke luar negara. Virus itu sendiri bersifat mikro organisma yang sangat halus dan sukar dilihat dengan mata kasar. Tiada ubat yang spesifik untuk mencengahnya kerana sifatnya yang mudah berubah-berubah.

Bayangkan apabila kita sudah bergelar doktor. Bagaimana  kita memandang  isu “virus”  yang menyerang masyarakat?

Baru-baru ni, salah sebuah hospital tempatan telah merekodkan kes pesakit yang membunuh diri di tandas hospital. Pelajar Tahfiz dibunuh.

Apakah ini kesannya hasil daripada pemikiran kebanyakan masyarakat yang kurang pendekatan dengan Tuhan?

Cukupkah peranan kita sebagai doktor yang merawat penyakit mereka?

doctor5

Sebagai Muslim yang bakal bergelar doktor dalam beberapa tahun lagi, persoalkanlah diri sendiri tentang persediaan yang kita sedang lakukan. Memadaikah kita  dengan hanya memberi pengetahuan Islam kepada pesakit dari segi ibadah-ibadah pesakit sahaja? Bagaimana pula soal psikologi mereka dan hati mereka yang hakikatnya  turut sama sakit dan kebanyakannya rapuh.

Kajian menunjukkan bahawa kesembuhan seorang pesakit lebih banyak bergantung dengan kekuatan rohani dan psikologi mereka berbanding ubat-ubatan yang hanya  bersifat bantuan. Oleh itu, rangsangan rohani  dan psikologi yang bagaimana boleh diberikan kepada pesakit ?

 

“Saya tak nasihat secara rohani pun, pesakit boleh sahaja sembuh…”

 

Mungkin berlegar-legar di kotak-kotak pemikiran. Ya, dengan izin Allah, penyakit bisa sembuh. Tapi bagaimana pula kita cuba melengkapkan tuntutan sebagai daie yang merupakan salah satu daripada tujuan kehidupan?

Seboleh- bolehnya kita memanfaatkan seoptimumnya keadaan pesakit yang waktu itu mudah menerima nasihat dan menjadikan ia lapangan dakwah dalam kerjaya memandangkan masa yang  terhad untuk keluar menyertai forum, tabligh dan pelbagai aktiviti dakwah.

Apakah pula pendekatan yang sesuai kepada pesakit  yang berbeza-beza kaum, umur, jantina, taraf hidup dan pemikiran. Di sinilah pemikiran kritikal dan fleksibel diperlukan untuk bercakap , mendengar dan memandang.

Tidak cukup mengenali golongan-golongan ini dengan hanya membaca buku, kerana lebih praktikal  lagi jika kita turut melibatkan diri dalam masyarakat yang pelbagai ragam. Medium yang terdekat adalah Persatuan PERUBATAN.

Pandanglah bagaimana cara kita memandang kawan-kawan, masyarakat dan keluarga. Bagaimana pula  cara kita berbicara , memberi respon pada sesuatu perkara dan  cara kita meraikan seseorang  kerana  seorang bijak pandai pernah  menyatakan “the way you look, reflect the way you are”.

fikir

 

Menurut ilmu pengetahuan teknologi minda Neuro-Linguistic Programming, manusia akan terpengaruh dan menukar cara berfikir terhadap sesuatu perkara melalui tiga sentuhan deria. Visual, auditori dan kinestetik (perasaan).

Penyampaian seorang  daie yang sering  diingati seperti Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Pahrol diingati kerena mereka menyentuh ketiga-tiga deria mad’u. Daripada segi visual, mereka mengajak kita untuk melihat dan memerhatikan sesuatu  permasalahan. Manakala daripada sudut auditori, mereka banyak mengajak kita untuk menceritakan dan mendengar. Sebagai contoh , “ Ceritakan pada saya bagaimana ummat Islam mudah berpecah?”. Terakhir sekali, mereka turut menyentuh perasaan pendengar. Sebagai contoh, “Rasakan bagaimana Rasulullah sanggup berjalan kaki mengharungi padang pasir yang panas dan kontang”

 

“Awal lagi, nantilah, bila aku jadi doktor nanti, barulah aku cuba tiga formula ini…”

 doctor3

Terpulanglah.

Jika keputusan itu dibuat, bayangkan situasi kita  sebagai seorang Houseman Officer yang baru dan sedang berusaha menajamkan kemahiran praktikal. Pasti kita akan sibuk  berjumpa dan  dimarahi  oleh Medical officer, pakar dan konsultant .

Di tambah pula dengan kerenah keluarga pesakit, staf sokongan dan jururawat. Semuanya kita perlu hadapi pada waktu yang sama. Belum lagi komitmen kita pada keluarga dan ibu bapa. Agak sesak rasanya.

 

“Kalau aku tak buat sekali pun, mungkin ada sahaja kawan-kawan aku yang rajin sertai persatuan, merekalah yang akan buat…”

 

Sudah terjaminkah semua yang  bekerja dengan persatuan,  mendapat kemahiran dakwah secara berhikmah?

Banyak manalah agaknya mahasiswa yang menyertai persatuan jika dinisbahkan dengan semua bakal graduan perubatan di Malaysia, Mesir, Russia dan seluruh pelosok dunia?

Jika bentuk pemikiran seperti ini sedang berakar umbi, dibimbangkan tiada siapa yang sudi menjadi daie.  Maka renungkanlah kisah  ini.

Pada zaman dahulu,  seorang Raja di negeri Berangan menawarkan hadiah kepada  rakyatnya dengan syarat  rakyatnya memenuhkan tempayan besar yang baginda letakkan di tengah kota dengan madu. Tempoh yang diberikkan adalah seminggu. Syarat kedua, setiap kali mengisi madu ke dalamnya, tidak boleh sama sekali dilihat isi tempayan itu. Maka ditutuplah tempayan itu dengan papan. Bermula daripada hari pertama, kedua, ketiga , setiap rakyat gigih memenuhkan madu ke dalamnya. Namun, menjelang hari –hari yang seterusnya, setiap rakyat mula terfikir bahawa akan ada orang yang akan  mengisi madu ke dalam tempayan tu. Mereka hanya duduk di rumah dan  menunggu hari pemberian hadiah.

Pada hari yang dijanjikan,rakyat jelata berasa teruja untuk melnerima hadah. Si Raja telah berkenan untuk melihat tempayan  yang baginda sediakan. Setelah itu, baginda terus  pulang ke istana tanpa berkata  dan memberikan apa-apa. Rakyat yang terpinga-pinga . Mereka meluru ke tempayan dan  membuka papan penutup. Alangkah terkejutnya mereka bahawa hanya separuh tempayan sahaja yang diisi madu. Rugi benar mereka berfikiran begitu.

 

Bagaima pula kita sebagai masyarakat yang lebih moden kini?  Adakah mahu mengikut jejak langkah  rakyat Negeri Berangan?

 

Demi masa.

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.

Kecuali orang – orang  yang beriman dan beramal soleh dan berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran

[Surah al-‘Asr]

 

Saya turut menyeru diri sendiri dan ahli PERUBATAN untuk menggoncangkan akal dan berfikir bersama kerana berfikir juga adalah satu titik permulaan pada sesuatu perubahan.

fikir2

Wallahua’lam

Disediakan oleh :

Siti Amirah Binti Kamarudin.
Timbalan Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar (BSAL)
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)
2013/2014