como-lidar-melhor-com-o-estresse-6

 

Dr. Hans Selye, seorang tokoh ilmu psikologi yang terkenal mendefinisi tekanan sebagai reaksi badan yang tidak menentu dan tidak spesifik pada sesuatu keadaan yang dihadapi. Stres atau tekanan mempunyai kebaikan, contohnya, peperiksaan menyebabkan tekanan, namun menyebabkan seseorang membuat persiapan rapi bagi menghadapinya.

Surah al-Baqarah, 155: “Sesungguhnya Kami mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada mereka yang sabar.”

Tekanan yang melahirkan kesan yang positif dinamakan eustress atau tekanan yang baik.

Tekanan yang berbahaya adalah yang tidak dapat dikawal dikenali sebagai distress atau tekanan yang memudaratkan.

Reaksi stres kepada seseorang adalah berbeza. Seseorang individu mungkin tidak dapat menerima realiti dan terus berputus asa. Namun, seseorang yang lain pula menganggap ujian sebagai lumrah hidup dan menerimanya sebagai cabaran dan kesempatan untuk memperbaiki diri, justeru tekanan yang dialaminya adalah tekanan yang baik.

Salah satu contoh yang baik ditonjolkan pada seorang lelaki yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan (amelia).  Tiada tangan untuk  memegang rakan di sekeliling, tiada tangan untuk memegang orang-orang yang disayang, tidak ada jari untuk mengalami sentuhan, tidak ada cara untuk mengangkat atau membawa sesuatu.

Apakah sangat sukar akan kehidupan jika kita hidup tanpa lengan dan tangan?

Namun, beliau mampu untuk melakukan banyak perkara yang mungkin orang biasa mampu melakukannya. Beliau mampu bermain golf, berenang, menulis dan menaip. Graduan daripada University of Griffith di Logan, Australia mempunyai ijazah dalam jurusan Perakaunan dan Pengurusan Kewangan. Beliau adalah Nick Vujivic.

zebra-stress

 

Kaedah untuk mengawal tekanan.

 

1) Kesucian Hati.

sinarhati

“…..Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul daging apabila ia baik, baiklah seluruh jasad. Sebaliknya apabila ia buruk, buruklah seluruh jasad. Daging itu ialah hati.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Hati dicipta untuk mengenali, mengasihi, mentauhidkan Allah, maka sepatutnya Allah sahajalah yag bertakhta di hati manusia. Hati juga seharusnya dijauhkan daripada kemurungan, kelalaian dan kerisauan ketika beribadat kepada Allah.

 

2) Zikir dan Ibadah yang Khusyuk.

khusyuk-dalam-kabut_1691_l

 

Surah Al-Ra’d, 28, “Ketahuilah dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang”.

Surah Al-Baqarah, 153, “Wahai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.”

Dr Ahmed El-Kadi dari Klinik Akbar, Panama City, Florida, membuat satu kajian berhubung mendengar Quran ke atas fisiologi manusia, seperti denyutan jantung, tekanan darah serta tekanan saraf dan otot. Beliau mendapati, mereka yang mendengar termasuk golongan Islam dan bukan Islam mengalami fisiologi positif di dalam diri mereka.

Jadi, ibadah menjadi penawar yang mampu meredakan tekanan yang melanda hati.

 

3) Berfikiran Positif dan Tidak Mudah Berputus Asa

stress

Surah Al-Hijr ayat 56, “Ibrahim berkata, ‘Tidaklah berputus asa daripada rahmat Allah melainkan golongan yang sesat sahaja’.”

Sejarah mengungkap kembali, ramai daripada kalangan tokoh Islam adalah daripada mereka yang fasik, namun mereka mampu menjadikan kegagalan tersebut sebagai rangsangan untuk maju ke hadapan serta mampu untuk berubah menjadi seorang tokoh sufi yang dikagumi ibadah dan amalannya.

 

4) Puasa adalah penawar

Puasa dapat mengurangkan lemak dan pengawalan lemak badan dengan tidak makan dan minum di siang hari, seterusnya meredakan tekanan pada jiwa kerana ketika berpuasa umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan membaca al-Quran, menjaga lidah dan bersedekah. Amalan- amalan ini menguatkan dan mendamaikan hati.

 

5) Senaman dan Rekreasi

Senaman dapat mengurangkan tekanan kerana ketika bersenam, otak merembeskan bahan-bahan kimia asli seperti endorphine yang berfungsi mendatangkan ketenangan dan menghilangkan kesedihan dan kemurungan.

 

6) Jenaka, Senyum dan Ketawa meredakan tekanan.

be-happy_stress-free_workshop-2

Menurut Tarmizi, Abdullah bin Haris melaporkan, “Tidak ada manusia yang lebih banyak tersenyum melainkan Rasulullah.”

 

Pengkaji dari Universiti Stanford, Sekolah Perubatan Harvard, Universiti Ohio State dan Universiti Duke mendapati jenaka dan tertawa mampu meredakan kemarahan dan kerisauan. Ia juga mampu mengurangkan kesugulan atau depression, justeru pesakit yang mengambil rawatan kesugulan, dos rawatannya boleh dikurangkan. Jenaka dan tertawa juga meningkatakan kadar sel T dalam badan sekaligus berupaya mengawal pembiakan kuman di dalam badan.

 

7) Mempunyai Keluarga dan Rakan- rakan yang baik.

friends

Mengikut satu kajian yang dimuatkan dalam Health and Age, mereka yang mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga dan masyarakat, jarang mengalami sakit. Dan golongan yang menghidap barah sel putih atau leukemia yang dikelilingi keluarga dan rakan-rakan yang baik, mempunyai peratus kesembuhan yang tinggi berbanding mereka yang lain.

Jadi, keluarga dan rakan- rakan adalah sumber kekuatan dan ketenangan bagi diri kita.

 

8) Berdoa dengan Khusyuk

Di dalam kitab al-Azkar, “Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diturunkan.”

Doa yang diterima adalah doa yang dilakukan dengan hati yang khusyuk seperti yang dikatakan oleh Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah tidak memperkenankan doa yang datang daripada hati yang lalai.”

Jadi, sebagai mahasiswa yang mempunyai semangat yang teguh untuk berjuang, seharusnya kita mempunyai pelbagai ujian yang menyebabkan kita stres.

Namun, apabila kita sedaya upaya mengingatkan diri yang ujian itu daripada Allah dan kepada-Nya juga kita meminta pertolongan nescaya stres itu dapat dihilangkan sedikit demi sedikit.

 

Rujukan : buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden.

 

stress (1)

 

Ditulis oleh :

Farhana Binti Bakri
Tahun 5,
Fakulti Perubatan,
Universiti Ain Shams.
Beliau kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Ain Shams
2013/2014