Hayyu Sabie’, 10 Disember – Program Glow with Flow (GWF) anjuran Biro Akademik (BCAD) PERUBATAN Cawangan Ain Shams sudahpun tiba ke penghujungnya selepas batch Rayonn selesai menjalankan program terbabit pada hari Sabtu yang lalu.

Majlis yang meletakkan forum sebagai acara kemuncak tersebut mengetengahkan panel- panel hebat Tahun 3 seperti saudara Akram Samsuri, saudari Nurul Fadhlin Ali dan saudara Faiz Rahim melalui tajuk slot ; ‘Bagaimana untuk Mumtaz’ dan ‘Skop Pemikiran Mahasiswa Kelas Pertama’. Diskusi ilmiah ini diatur dengan baik lebih- lebih lagi di bawah pengendalian saudara Shafiq Kadir.

gwftt2

Dalam program tahunan yang mengumpulkan hampir keseluruhan ahli batch tersebut juga, ketua batch Rayonn; saudara Mohd Khairil Ashraf Bin Muhammad Fisal menyebutkan perihal semangat daya saing yang sihat dalam kalangan pelajar. Ulasnya dalam ucapan pendahuluan, ” Kita sentiasa digembar- gemburkan dengan kejayaan rakan- rakan dan para senior, lalu timbul satu semangat daya saing dan keinginan mencapai kejayaan yang sama . Semoga dengan pelaksanaan GWF ini, kita semua dapat lihat dengan jelas jalan mana yang benar dan tepat ke arah kecemerlangan.

Program mega GWF yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut batch ini sebelum ini didahului dengan GWF bagi pelajar Tahun 3 Ohana pada 30 November di Markas PERUBATAN Darul Hamka Hayyu Sabie’. Program yang bermula dengan perasmian oleh Saudara Muhammad Hanif bin Mahamad merangkap Ketua Biro Ekonomi PERUBATAN Cawangan Ain Shams tersebut turut membawakan panel- panel daripada Tahun 4; Abdul Muiz bin Mohd Razali, Syuhada bt Azhar dan Alia Amira bt Ibrahim. Program GWF turut memuatkan slot penganugerahan cenderamata kepada tiga pelajar terbaik semasa Tahun 2 yang lepas.

gwft3

Terdahulu, pelajar Tahun 4 Eminent’10 menjadi antara ‘batch’ pertama yang menjalankan GWF secara santai namun tetap mencapai objektif utama; berkongsi pengalaman tentang tahun klinikal ini bersama senior- senior daripada Tahun 5 serta mengeratkan hubungan sesama ahli Eminent’10. Sebagai tradisi, acara makan- makan merupakan antara aktiviti menarik yang menjadi kemestian pada setiap tahun GWF diadakan.

gwft4

Sebagai kesimpulan akhir, program GWF ini bukan sahaja menjadi medan ahli menimba pengalaman dari pengakuan para senior, malah dalam masa yang sama program ini menjadi titik tolak kepada permulaan ukhwah sesama ahli PCS berlainan ‘batch’. Program ini juga dalam masa yang sama berjaya merapatkan hubungan dalam kalangan ahli ‘batch’ sendiri lantaran waktu ini mengumpulkan hampir kesemua ahli ‘batch’. Biro Akademik mengharapkan agar program ini berjaya mencapai objektifnya di samping mengejar kecemerlangan seiring matlamat utama sebagai penuntut ilmu.