masjid al-Azhar 

“Akak, kenapa akak pilih bidang perubatan di Mesir?”

Satu soalan yang pernah diajukan kepada saya dua tahun yang lalu. Otak saya ligat berfikir jawapan yang perlu diberikan kepada adik comel tahun satu. Sebagai kakak fasi,saya tidak mahu jawapan saya hanya biasa-biasa sahaja.kalau boleh,jawapan itu boleh membuka minda adik tersebut. Hatinya yang suci bersih inginkan pengakuan jujur daripada saya.

Lalu, saya tersenyum  sambil memegang erat tangannya. Adik itu pelik dengan perbuatan saya. Mungkin di fikirannya, entah apa pula yang mahu dilakukan oleh senior yang baru dikenali. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. Saya tidak terus menjawab soalan tersebut, sebaliknya saya ceritakan pengalaman saya  menghadapi peperiksaan di Mesir.

Bayangkan, kita sedang khusyuk menjawab dan memerah otak untuk dinukilkan ke atas kertas peperiksaan, mama dan ammu asyik menegur, “raqam kam? ismik eh? kerneh?”

“5021, ana Nurul, heena…” jari semakin laju menari di atas kertas kerana melihat jam di tangan menunjukkan setengah jam lagi masa yang ada. Kring…kring…kring…kring…Sekali lagi konsentrasi kami terganggu dengan bunyi telefon para pengawas peperiksaan di situ. Ini belum dicampur lagi dengan maki hamun untuk orang yang meniru dalam peperiksaan, terutama pelajar dari Libya.

Akak, macam mana akak biasakan diri dengan keadaan macam itu? Saya ini tak boleh kalau ada bunyi bising. Nanti hilang terus tumpuan saya”.  Adik yang tadinya mengharap jawapan daripada saya terus terlupa dengan soalannya, lalu leka mendengar cerita tentang pengalaman saya.

Akak mula-mula panas baran, tidak sabar, tidak biasa hidup susah, tetapi kehidupan di sini mengajar pelbagai erti kehidupan. Dari naik tremco ke kuliah hinggalah ke sesi pembelajaran, setiap detik Allah uji para hamba-Nya”.

Selepas saya melencong jawapan kepada cerita tentang pengalaman saya, saya menyambung dengan menjawab pertanyaan adik tadi. “Akak berada dalam bidang perubatan ini bukan atas kehendak akak. Semua ini adalah pilihan Allah. Akak sebenarnya minat fesyen. Kalau boleh, setiap kali nak keluar bersama kawan, akak akan pastikan pakaian akak lain daripada yang lain. Warna pakaian akak mesti striking dan corak abstrak. Walau bagaimanapun, akak tidak menafikan kecenderungan akak dalam biologi dan fizik. Dan takdir Allah, rezeki akak di sini, bumi Mesir. Tempat yang jauh daripada keluarga, bahasa komunikasi menggunakan bahasa arab, sana-sini berpakaian jubah dan berpurdah.

Kemudian, saya bertanya pula kepada adik yang sedang fokus memandang tepat ke arah saya. “Kenapa Allah pertemukan kita berdua di sini, Yaqin?

Adik yang bernama Yaqin terus membalas tanpa ragu-ragu, “Sebab Allah mahu kita bersahabat. Allah mahu akak bantu saya sepanjang keberadaan saya di sini,betul tak Kak Nurul?

Dengan tidak semena-mena hati saya jatuh sayu lalu saya terus memeluknya. Saya berdoa agar ukhuwah yang terjalin ini dipelihara Allah. Saya mahu lihat adik fasi saya ini menjadi penyambung rantai-rantai perjuangan Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wasallam.  Pertemuan kami tamat di situ dan Masjid Nur menjadi saksi pertemuan itu.

“Akak, giliran akak pulak cerita kenapa akak pilih perubatan di Mesir. Akak ok tak ni? Kalau penat, kita boleh tamatkan usrah kita setakat ini sahaja .Slot taaruf ni kita boleh sambung lain kali”. Rupa-rupanya saya telah terbang jauh ke ufuk selatan. Kenangan bersama adik Yaqin terus meninggalkan saya untuk  kembali ke dunia realiti.

Atie, minta maaf banyak-banyak. Penyakit imaginasi akak datang balik. Ok, kita sambung balik slot taaruf kita”. Saya hanya tersengih  menahan malu di hadapan adik-adik usrah seramai 8 orang. Manhaj untuk hari ini adalah Amar Makruf Nahi Mungkar. Seperti biasa,selepas selesai berkongsi pendapat dan kefahaman dalam sesuatu manhaj,kami akan selitkan slot taaruf. Slot taaruf ini bertujuan untuk lebih kenal isi hati ahli usrah masing-masing.BOOKMARK OHANA2

Tiba-tiba, salah seorang daripada adik usrah menceritakan kegembiraannya hidup di Mesir ini. “Saya rasa beruntung dan seronok ditakdirkan menuntut ilmu di ardul kinanah. Saya rasa tenang dengan biah di sini. Saya rasa bertuah kerana setiap malam akan ada program tafaqquh fiddin, talaqqi Al-Quran dan hafazan. Setiap hari saya dapat solat berjemaah, solat dhuha dan berqiammulail. Saya tidak malu untuk melakukan kebaikan kerana semua orang mengamalkannya.”

Dia menyambung lagi, “Berbeza di Malaysia, masyarakat mudah memandang pelik dan berprasangka macam-macam apabila kita melakukan kebaikan. Bagi mereka, saya ini mahu menunjuk-nunjuk, berlagak pandai dan ketinggalan zaman”.

Saya mengangguk-angguk tanda setuju dengan kata- kata adik usrah tadi. Kembali kepada fokus kita tentang biah solehah ,merujuk Kamus Lisanul Arab, biah adalah perkataan Arab yang membawa maksud kediaman. Iklim yang baik dan harmonis disebut dalam bahasa Arab sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada  di dalamnya.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. menyebut dalam hadis:

Seseorang itu berada di atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu  memerhatikan siapakah yang dijadikan teman rapatnya. (Riwayat Ahmad)

Kita boleh ambil analogi kisah minyak wangi dan tukang besi. Ali mempunyai kawan yang menjual minyak wangi One Drops. Dia selalu mendampingi dan membantu kawannya menjual minyak wangi. Minyak wangi One Drops  mendapat tempat di hati ramai pelanggan kerana baunya yang wangi dan menarik. Ali yang cuma menolong kawannya menjual tetap mendapat bekas bauan minyak wangi tersebut.

Kisah kedua menampilkan Azlan yang selalu membantu kawannya  di bengkel membaiki  kereta lumba. Setiap petang, masanya banyak dihabiskan dengan minyak hitam dan besi- besi. Kulitnya habis kehitaman setiap kali selesai membaiki kereta lumba. Badannya penuh dengan bau minyak dan besi.

Sama juga kalau kita analogikan dalam kehidupan sebenar. Anda faham ataupun tidak? Nampaknya ada orang yang masih menggeleng tanda tidak faham. Begini, untuk mewujudkan biah solehah ini, ia memerlukan keterlibatan dan komitmen daripada segenap lapisan masyarakat. Allah ada menegaskan bahawa setiap mereka yang beriman bertanggungjawab membentuk  dan memelihara diri dan keluarga dari azab api neraka. Dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud :

 “Wahai orang-orang yang beriman!Peliharalah dirimu dan keluargamu kamu dari api neraka yang bahan bakarnya  adalah manusia dan batu; penjaganya  malaikat-malaikat yang kasar dan keras, tidak derhaka kepada Allah atas apa yang diperintahkan  dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkan oleh-Nya”.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa setiap daripada kita hendaklah berusaha memelihara diri daripada api neraka. Bagaimana? Dengan melaksanakan amar makruf dan mencegah yang mungkar.  Bukti Allah sangat sayangkan  kita apabila Allah memuji  bahawa kita adalah umat yang terbaik. Umat yang terbaik di sini bermaksud umat yang dapat membezakan perkara yang hak dan yang batil. Allah tidak menjadikan manusia yang berakal dengan sia-sia. Fungsinya adalah untuk beribadah kepada Allah, memakmurkan bumi dan berdakwah kepada orang lain. Allah telah berfirman dalam surah al- Imran  ayat 110 yang bermaksud :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia kerana menyuruh berbuat yang  makruf dan mencegah dari kemungkaran dan beriman kepada Allah.”

Dan proses amar makruf nahi mungkar ini perlulah seiring dalam membentuk biah solehah. Dalam konsep kita hidup bermasyarakat, pemimpin mempunyai kuasa dan perlu memainkan peranan yang penting agar generasi yang lahir terdiri daripada biji benih yang sentiasa dahagakan amar makruf dan berani mencegah maksiat di depan mata.

Usaha- usaha, tawakkal dan doa perlu sentiasa diamalkan agar Allah membukakan pintu hidayah yang mahal kepada sesiapa yang dikehendaki. Kita sebagai umat yang terbaik ini hendaklah itqan, sabar dan thabat dalam jalan perjuangan ini kerana Allah telah menjanjikan syurga buat mereka yang beriman dan yakin denganNya.

Akhirnya, kami menamatkan usrah kami dengan satu muhasabah daripada kalam Saidina Umar al-Khattab yang berbunyi,

“ Manusia yang berakal adalah manusia yang suka menerima dan meminta nasihat”.

biah solehah

 

Dinukil oleh :

Siti Nadiah Binti Mutalip
Tahun 5,
Fakulti Perubatan,
Universiti Ain Shams
Timbalan Jaksi PCS 13/14