Abbasiyah, 21 November – Merujuk kepada kenyataan rasmi Ketua Lembaga Penasihat Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS), Mohd Hilmi Mohd Hatta, satu pilihanraya kecil telah dilangsungkan di PCS setelah berlakunya kekosongan di Majlis Tertinggi Perubatan. Jawatan itu terpaksa ditinggalkan saudara Mohd Deenie yang telah meneruskan pelajaran beliau di Malaysia berikutan krisis Mesir baru-baru ini.

Jawatankuasa Pilhanraya Cawangan (JPC) Ain Shams memulakan tugas pada jam 3 petang, 15 November yang lalu. Proses pilihanraya dimulakan dengan penjualan borang di rumah pengarah JPC sendiri, saudara Amirul Fikri Badrul Hisham. Pencadang dan penyokong hadir dengan berpakaian kemas ketika proses pencalonan bersama calon. Proses pilihanraya diteruskan lagi dengan pengumuman senarai calon fasa 1 pada 17 November 2013. Hanya satu borang sahaja yang telah diterima dan diproses JPC sepanjang tempoh pencalonan.

Untuk itu, pihak JPC telah memendekkan tempoh bantahan dan kempen selama 24 jam namun tiada sesi bantahan dilaporkan dan proses pengundian tidak diadakan . Calon tunggal, iaitu saudara Iskandar Afiq bin Razali, Tahun 5 Perubatan Universiti Ain Shams diisytihar untuk mengisi jawatan tersebut setelah menang tanpa bertanding. Iskandar dalam ucapannya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh warga Ain Shams untuk memikul tanggungjawab ini. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses pilihanraya dan berjanji akan berusaha melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Menurut beliau, “Perasaan bertambah berat amanah yang perlu dipikul, ditambah dengan amanah sedia ada. Tetapi InshaAllah saya akan melakukan dengan bersungguh- sungguh.”

crop is afiq

 

Proses pilihanraya juga diadakan di PERUBATAN Cawangan Mansurah yang turut menyaksikan pelantikan baharu saudara Aliffitri Bin Alias, Tahun 6 Universiti Mansurah. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Biro Ekonomi PERUBATAN Cawangan Mansurah sesi 2010/2011. Sekalung tahniah dan takziah diucapkan kepada kedua-dua calon atas tanggungjawab baharu yang bakal dipikul. Semoga pelantikan baru ini dapat menyambung kesinambungan gerak kerja dalam membina satu komuniti PERUBATAN yang sentiasa maju dan ke hadapan.