6 November, Abbasiyah – Sebuah pertemuan rasmi  antara pegawai pelajar- pelajar Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA) iaitu Encik Zikril Azan bin Abdullah bersama individu penting dalam pentadbiran Universiti Ain Shams telah mencapai kata sepakat berkenaan penerimaan pelajar- pelajar baharu tahun satu yang sangat dialu- alukan oleh pihak universiti. Dalam pada itu, status pelajar- pelajar Malaysia yang menerima tawaran kerajaan ‘one-off credit transfer’ sebelum ini turut dibincangkan secara lumat oleh ahli- ahli mesyuarat.

dr heba

Pihak pentadbir Fakuliti Perubatan Universiti Ain Shams yang diwakili Dr. Ahmed Emad Eldin Rady selaku Dekan baharu fakulti, selaku Timbalan Dekan, dan  dua Koordinator ; Dr Heba dan Dr Suzy tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejut dan sedih apabila dimaklumkan bahawa sebilangan pelajar Malaysia terutamanya 20 pelajar tahun tiga yang tidak akan menyambung pembelajaran mereka di universiti tersebut. Mereka berkali- kali menimbulkan pertanyaan perihal kelemahan pentadbiran universiti yang mungkin menjadi sebab kebanyakan pelajar memilih untuk tidak meneruskan pembelajaran mereka di situ.

Dr Heba turut menzahirkan kerisauannya terhadap kebarangkalian pelajar- pelajar tidak dapat meneruskan pembelajaran mereka dalam bidang Perubatan di Malaysia. Mendengarkan kebimbangan tersebut, En. Zikril lantas menerangkan bahawa isu perpindahan pelajar dari Mesir ke Malaysia didorong oleh beberapa faktor iaitu keselamatan, kebimbangan ibu bapa, serta tawaran kerajaan yang dibuka pada kali ini sahaja iaitu pemindahan kredit dari universiti di Mesir ke Malaysia. En Zikril menegaskan bahawa pelajar- pelajar yang pulang ke Malaysia akan tetap meneruskan pembelajaran mereka dalam bidang Perubatan. Pada kesempatan itu, En Zikril berkali- kali memohon kemaafan mewakili pelajar- pelajar Malaysia yang sudahpun pulang ke Malaysia.

Encik Zikril juga bersetuju untuk memberi nama- nama akhir pelajar Malaysia yang akan menyambung pengajian ke Malaysia menjelang 8 November ini. Beliau mengakui bahawa bilangan tepat pelajar- pelajar yang kekal di Universiti Ain Shams adalah penting untuk rekod universiti malah untuk ketetapan nombor keahlian (ID) pelajar semasa sesi akademik dan peperiksaan juga.

Mesyuarat yang berlangsung lebih satu jam itu turut membincangkan perihal kemasukan pelajar- pelajar tahun satu ke Fakulti Perubatan Universiti Ain Shams. Kedua- dua koordinator pelajar iaitu Dr Heba dan Dr  Suzy menyatakan kegembiraannya menguruskan pelajar- pelajar Malaysia sepanjang beberapa tahun ini. Jelas mereka, mereka sentiasa bersedia menyambut kehadiran pelajar- pelajar Malaysia ke universiti terbabit. Harapan mereka besar agar para senior Universiti Ain Shams sentiasa mengkhabar dan mengalu- alukan kehadiran pelajar- pelajar junior sesi ini.

Pihak pentadbir universiti turut menggariskan beberapa keistimewaan untuk diberitakan kepada pelajar- pelajar baharu. Antaranya, taqwim akademik turut disusun khas untuk pelajar- pelajar Malaysia lantaran kelas mereka yang sudah tertangguh kira- kira dua minggu. Kelas padat dan beberapa kelas tambahan telah dimuatkan dalam taqwim tersebut. Khabarnya, kelas akan bermula selewat- lewatnya 17 November ini, manakala kelas pengenalan akan bermula seminggu sebelum itu.

Antara kelebihan pelajar- pelajar Malaysia  ialah koordinator subjek sentiasa mengambil cakna perihal kebajikan dan akademik pelajar. Pelajar- pelajar klinikal juga kebiasaanya akan diberikan sesi praktikal tambahan melepasi waktu kurikulum mereka seperti peluang memasuki ‘Operation Theatre’. Kelebihan istimewa yang membanggakan, baru- baru ini Fakulti Perubatan Universiti Ain Shams telahpun menerima akreditasi buat pertama kali daripada kerajaan Mesir.

Terbaharu, wakil PERUBATAN Cawangan Ain Shams turut dimaklumkan bahawa pihak pentadbir universiti sedang mengusahakan satu kertas kerja tentang insurans perubatan untuk pelajar Malaysia. Dua daripada hospital milik Universiti Ain Shams akan ditawarkan iaitu Ain Shams Specialized Hospital  dan Ain Shams Students’ Hospital . Sungguhpun begitu, hal tersebut akan dibawa dalam perbincangan pegawai- pegawai tajaan pelajar yang lain di Universiti Ain Shams.

en zikril

Perbincangan para pentadbir dari kedua- dua belah pihak ini nyata membuahkan keputusan yang baik untuk para pelajar Universiti Ain Shams khususnya. Selaku mahasiswa perubatan yang masih mengutip hikmah dan ilmu di bumi kinanah ini, pelajar – pelajar Universiti Ain Shams diingatkan untuk sentiasa bersungguh- sungguh mendalami ilmu perubatan di samping mempertingkatkan thaqafah dan kemahiran lain sepanjang waktu berbaki di Mesir ini.