9 November, Abbasiyah – Daurah Nuqaba’ 2013 (DAUN ’13) berjaya dilaksanakan di Surau Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK) semalam. Program tahunan untuk para mentor tersebut berjalan selama dua hari iaitu bermula pada malam 6 November 2013 sehingga 7 November 2013.

Agenda daurah tersebut bermula dengan Slot Interaktif yang dikendalikan oleh Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP); Saudari Nurul Izzah Abd Halim bersama Aimi Syahirah Bahamam. Slot interaksi yang masih mengekalkan konsep pembentangan ‘slide’ tersebut membawakan dua item penting yang perlu dititikberatkan oleh setiap mentor iaitu pengaruh dan komunikasi. Pembentangan turut mengingatkan setiap mentor kepada rukun- rukun usrah yang tiga iaitu Taaruf, Tafahum dan Takaful. Modul slot tersebut pula telah dikelolakan oleh Ketua Unit Mentor Council (MC) PERUBATAN Cawangan Ain Shams; Saudara Khairul Anwar Razali.

1419958_10201567151953784_1586178753_n

Program bersambung pada keesokan harinya iaitu semalam seawal jam 8 pagi. Slot pertama pada hari tersebut merupakan forum bertajuk “Usrah Mantap, Ummah Mapan”. Gabungan dua panelis yang disegani iaitu Ustaz Abdullah Shahrul dan Saudara Wan Ahmad Hafizi; mantan Presiden PERUBATAN sesi sebelum ini mengetengahkan isu pembawaan usrah dalam kelompok pelajar perubatan khususnya. Persoalan- persoalan yang dibangkitkan juga rata- ratanya membahaskan tentang masa pelajar perubatan yang padat dengan rutin sebagai pelajar, pemimpin usrah, pemimpin persatuan mahupun sebagai seorang ahli bait. Tidak kurang juga masalah kurang thaqafah yang sering menambah beban kebanyakan mentor.

1388697_10201567152033786_1330169263_n

Seterusnya, pihak jawatankuasa yang sudah membentuk kumpulan mentor sejak hari sebelumnya telah membawakan modul menarik “Seiring dan Sehaluan.” Dalam modul ini, para peserta diminta memberikan komen dan pendapat serta cadangan mereka demi penambahbaikan sistem pengurusan mentor melalui Mentor Council mahupun secara individu juga. Antara persoalan yang dibangkitkan ialah keberkesanan Taalim Muallim dalam penambahan thaqafah mentor. Para peserta berjaya mengulas setiap isi daripada cadangan mereka dalam pelbagai metod pembentangan. Modul ini bukan sahaja mencambah buah fikiran seisi dewan, bahkan ia turut melatih mentor untuk sentiasa yakin diri dalam berkomunikasi.

Sebelum slot Diskusi Kitab bermula petang itu, unit Mentor Council yang diketuai Saudara Khairul Anwar Razali memperkenalkan barisan jawatankuasanya. Sejurus selepas itu, ikrar mentor dilaksanakan demi mengikat janji dalam diri mentor untuk sentiasa mengutamakan usrah lantaran usrahlah yang menjadi jantung kepada PERUBATAN hakikatnya.

Diskusi Kitab Dakwah Fardiah yang dibawakan oleh Ustaz Muhammad Sufi benar- benar mengisi waktu petang mentor dengan pemahaman dakwah fardiah dalam kehidupan seharian sebagai daie umumnya. Ustaz Sufi mengulas setiap isi penting dalam kitab karangan Sheikh Abdul Halim al- Kinani dari perspektif mentor.

1456817_10201567151993785_1714291267_n

Usai slot diskusi tersebut, majlis penyampaian hadiah kepada peserta terbaik disempurnakan oleh Pengarah Program, Fahmi Asnawi Ahmad Sajari dan Nurul Izzah Abd Halim. Mentor terbaik ikhwah telah dinobatkan kepada Saudara Rusydi Amin , manakala Faten Sakinah Shawaruddin pelajar tahun tiga pula dianugerahi peserta terbaik akhwat.

Krew liputan PCS sempat bertanyakan komen Faten Sakinah mengenai program DAUN ini, katanya yang baru pertama kali menyertai program untuk nuqaba’ begini, “Program DAUN ini benar- benar memberi asas dan tips kepada saya yang baru bermula dalam mengendalikan usrah. Di samping itu, bagi saya program ini merapatkan ukhwah sesama mentor lebih- lebih lagi apabila senior- senior berkongsi pengalaman mereka sepanjang menjadi mentor sebelum ini. Slot diskusi kitab yang ditunggu- tunggu pula semestinya menambah thaqafah dalam diri setiap mentor.”

Program DAUN yang dahulunya dikenali sebagai DUAT ini menjalani pembaharuan dalam gerak kerjanya saban tahun. PCS mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa DAUN dalam usaha mereka mempertingkatkan thaqafah dan ‘skill’ mentor seterusnya memperkasa usrah, sebagai nadi kebangkitan Islam dalam diri dan seluruh masyarakat PERUBATAN sehingga biah Islam yang dibajai terus subur mekar untuk sama- sama dibawa ke bumi Malaysia kelak.