NASIB VAKSIN : PENAWAR VIRUS BENCI ATAU ANCAMAN BARU MANUSIA

cartoon vaccine

 

Muthakir ini, dunia perubatan dikejutkan tentang kewujudan ‘kesedaran’ konspirasi jahat vaksin kepada umat manusia. Vaksin yang dulunya menjadi satu-satunya penawar dan ejen pencegahan kepada epidemik virus-virus pembunuh, kini berhadapan kempen peperangan bahawa suntikan vaksin bukanlah lagi suatu imunisasi selamat malah menjadi ancaman baru kepada dunia manusia. Maka, vaksin seolah-olah digemburkan menukarkan cahaya kebahagian kepada gelita kehancuran. Vaksin, bahayakah?

Tahukah anda, mengapakah anasir ini boleh menular dan sejak bilakah vaksin mula ditentang?

Adakah ianya hanya suatu andaian yang direka-reka?

Benarkah ianya benar-benar bahaya?

Wah , begitu banyak sekali persoalan ditimbulkan!

Baiklah, kita mulakan edisi bedah siasat sekarang.

Sekiranya sejarah kita imbas kembali, lewat tahun 1998, artikel kontroversi di jurnal perubatan terkenal Lancet yang ditulis oleh seorang penentang terkenal vaksin Dr. Andrew Wakefield yang mengaitkan punca penyakit autism dengan Vaksin MMR telah diterbitkan. Sementelahan itu, Majlis Perubatan Britain menyatakan dakwaan Wakefield hanyalah palsu dan sengaja diadakan.vaccine

Kebenaran terbongkar apabila didapati Wakefield telah menerima sebanyak 435,000 pounds (US$674,000) daripada sebuah syarikat guaman yang berniat untuk menyaman syarikat pengeluar vaksin tersebut.

Akhirnya, ekoran daripada fitnah tersebut serta kajian Wakefield yang berat sebelah, maka lesen Wakefield telah ditarik semula dan beliau tidak lagi dibenarkan untuk mempraktikkan kemahirannya. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berkeciciran. Sudahlah jatuh, malang ditimpa tangga pula.

Namun, isu ini berbeza di Malaysia dan ianya masih lagi bersifat kontemporari. Dengan penguasaan yang meluas di laman sesawang sosial seperti Facebook dan Twitter, kini berita mengenai bahaya vaksin disebarkan. Malah, lebih membimbangkan apabila wujud dakwaan bahawa program imunisasi vaksin merupakan agenda yahudi serta konspirasi jahat untuk melemahkan umat Islam serta punca kepada kerosakan akhlak ummah pada hari ini. Mereka percaya kononnya vaksin mengandungi kotoran yang meracuni fikrah umat Islam dan mudah diserang penyakit berbahaya.

Penulis kecewa dan tidak faham benak apakah yang cuba disampaikan, teori yang bagaimanakah yang menjadi sandaran dan mengapakah pemikiran sebegini kita percayakan. Sedangkan orang lain berlumba-lumba mendapatkan imunisasi untuk melindungi diri daripada wabak berbahaya, sekiranya tidak diberi vaksin dikala seluruh penduduk dunia memperolehinya, kita telah melemahkan diri sendiri. Maka, penulis kira pandangan ini bersifat skeptikal, tidak bertanggungjawab dan bukanlah daripada pengamal perubatan yang mempunyai autoriti untuk mengemukakan hujah yang tidak berasas sedemikian.

 

SUNTIKAN VAKSIN : IDEALISTIK DAN REALISTIK

Vaksin berasal daripada perkataan vacca yang bererti sapi. Vaksin telah menyelamatkan ribuan nyawa daripada ancaman penyakit pandemik. Seorang saintis Eropah, Edward Jenner ialah perintis kepada penciptaan vaksin pada tahun 1796 terhadap penyakit cacar air.

Secara saintifik serta sudut pandangan daripada skop sains kesihatan, vaksin mengandungi antigen yang terdiri daripada virus hidup, virus yang dilemahkan, atau virus yang tidak akan lagi aktif. Apabila suntikan diberi, sel darah putih yang tertentu akan bertindak balas dan akan menghasilkan antibodi yang bertindak untuk melawan sebarang penyakit seandainya virus yang sebenar datang menyerang. Justeru, Vaksin tidak akan menyebabkan seseorang itu memperoleh penyakit tersebut. Nah, idealistik bukan?

making_vaccines

Malah, teknologi yang digunakan untuk menghasilkan vaksin semakin hari bertambah baik. Tahukah anda, thimersol yang dijadikan sebagai bahan pengawet yang didakwa menyebabkan penyakit autism juga telah dikeluarkan daripada vaksin untuk suntikan kanak-kanak sejak tahun 2001 lagi. Sebelum sesuatu vaksin itu diluluskan oleh para pengamal perubatan, berpuluh-puluh kajian telah dikeluarkan. Malah, vaksin yang ingin dikeluarkan perlulah mendapat kelulusan daripada World Health Organization ataupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tambahan lagi di Malaysia, vaksin yang ingin dikeluarkan haruslah mendapat kelulusan bersama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Fatwa Kebangsaan.

Maka, isu keselamatan mengenai kegunaan sesuatu vaksin bukanlah satu perkara yang dipandang enteng. Tamsilnya, vaksin Rotavirus telah dikaitkan dengan masalah penyumbatan usus bayi pada tahun 1999. Selepas perincian dilakukan, vaksin ini telah digantikan dengan vaksin Rotavirus yang lebih selamat. Akhirnya vaksin ini memberi manfaat kepada seluruh kanak-kanak menerimanya.

Dari segi perundangan agama Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan akan menentukan vaksin yang boleh digunakan berlandaskan hukum-hukum syarak. Misalnya untuk pencegahan penyakit Meninggococcal Meningitis yang merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Nesseria Meningitides. Jangkitan penyakit ini menyebabkan radangan pada bahagian selaput otak dan saraf tunjang. Tahukah anda terdapat dua jenis jenama untuk vaksin yang boleh digunakan dalam pencegahan penyakit ini. Pertamanya, Monumene Injection oleh Syarikat Aventis Pharma namun jenama ini mengandungi bovine, porsine, dan avian. Malangnya, sumber yang kedua berasal daripada babi. Maka, atas pedoman Islam, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2002 dengan kolaborasi Kementerian Kesihatan Malaysia telah membenarkan hanya jenama Mencevex Injection digunakan yang mengandungi laktosa daripada lembu sahaja.

Begitu juga penggunaan Vaksin Biothrax dan Vaksin Rotateq yang menggunakan unsur babi dalam proses penghasilannya telahpun diharamkan dan tidak dibenarkan. Hanya vaksin benar-benar mempunyai unsur halal sahaja dibenarkan di Malaysia.

Sekarang, percayakah anda, vaksin benar-benar berbahaya?

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, mafhumnya,

“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia; apakah ia termasuk bahagian yang halal atau haram. Maka sesiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya maka dia akan selamat. Dan sesiapa yang mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir ia akan jatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang mengembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir jatuh kepadanya. Ingatlah, bahawa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula, bahawa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan”.

 

VAKSIN SUATU TAWAKKAL BUKANNYA JAMINAN

Apakah itu tawakkal? Tawakkal ialah penyerahan bulat-bulat kepada Allah Subhanallah Taa’la  selepas kita berusaha sehabis daya. Tawakkal merupakan bukti kebergantungan kita kepada Allah.

Begitu juga dengan penggunaan vaksin. Vaksin yang diterima tidak dapat memberi jaminan kita sepenuhnya selamat kerana tetap Allah yang Maha Penyembuh. Kerana itulah, vaksin ialah suatu bentuk tawakkal kita kepada Allah.

Dalam surah At-Talaq ayat 3 Allah berfirman, “Sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah mencukupkan keperluannya.” Ketahuilah sesiapa dalam kalangan kita yang sentiasa bertawakkal bakal memperoleh kesenangan dan keuntungan yang sangat besar. Orang-orang yang bertawakkal sentiasa berusaha sebaik yang mungkin. Seperti mengambil vaksin untuk melindungi diri, sesungguhnya ianya merupakan satu bentuk usaha kemudiannya kita berserah kepada Allah. Mereka yang mengabaikan dengan tidak mengambil vaksin seolah-olah mengambil mudah dalam hal sebegini.

Sekiranya meninggalkan usaha dalam tawakal, samalah seperti mana tidak mengikat unta tunggangan mereka pada tambatan, dan berserah pada takdir Allah Subhanallah Ta’ala semata-mata

VaksinHPV

 

 

SUNTIKAN VAKSIN IALAH PROGRAM IMUNISASI YANG SELAMAT

 

Kita sepatutnya berasa bersyukur kerana Malaysia selamat daripada sebarang penyakit berjangkit seperti measles, tuberculosis, Hepatitis B, meningitis, dan batuk kokol. Hal ini demikian, program imunisasi telah selamat dijalankan kepada 95 % kanak-kanak di Malaysia bawah umur setahun. Kita berjaya mengurangkan kadar kematian sebanyak 3 daripada 1000 yang dilahirkan dan hidup. Sesungguhnya perangkaan ini setaraf dengan negara maju seperti United Kingdom. Malaysia boleh berbangga dalam sudut ini kerana kita sudah boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara dari Dunia Pertama.

 

Negara

Peratusan suntikan vaksin yang telah diberikan kepada kanak-kanak berusia satu tahun ke bawah

Jumlah bayi berumur satu tahun ke bawah yang mati akibat jangkitan kuman (dalam 1000 kelahiran yang hidup)

United Kingdom (UK)

95%

3

Malaysia

93%

3

Indonesia

82%

15

India

70%

22

Nigeria

42%

39

Sumber: http://www.who.int/whosis/whostat/EN_WHS2011_Full.pdf

 

Sesungguhnya, percayalah serta yakinilah betapa Vaksin itu Selamat. Fikirkanlah masa depan anak-anak anda. Adakah benar bahawa vaksin itu benar-benar memberi ancaman kepada kita? Selidiki dahulu. Tanyalah kepada yang pakar.

Ketahuilah betapa sesungguhnya Vaksin itu Hanyalah sekadar Wasilah, Tetap Allah yang menyembuhnya.

 

 Ditulis oleh :

Shafiq Bin Kadir
Tahun 2,
Fakulti Perubatan,
Universiti Ain Shams.