13 November, Abbasiyah – Program Orientasi Pelajar Tahun 1 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pentadbiran Universiti semalam. Program orientasi ini berkonsepkan pertemuan dua hala antara pelajar- pelajar baharu tahun 1 bersama pihak pentadbiran universiti yang terdiri daripada Koordinator Pelajar – pelajar Malaysia ; Dr. Suzy , Dr. Heba, Dr. Mouna dan En. Mohamad. Turut terlibat dalam pertemuan tersebut ialah En. Said dan Pn. Nadia.

is ahlan

Dr. Aisha Aboul Fotoh selaku Timbalan Dekan universiti turut menyambut kehadiran pelajar- pelajar tahun satu seramai 13 pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan ke Fakulti Perubatan Universiti Ain Shams. Program tersebut dimulakan dengan ucapan selamat datang oleh Dr. Suzy kepada pelajar tahun 1. Dalam ucapan tersebut, beliau menerangkan bahawa Fakulti Perubatan Universiti Ain Shams merupakan salah satu kampus yang menerima akreditasi baru- baru ini.

Selain dimaklumkan tentang fakulti tersebut yang merupakan sekolah perubatan terbaik di Timur Tengah, para pelajar turut diberitahu tentang sesi akademik sepanjang enam tahun setengah di universiti tersebut yang didahului dengan tiga tahun praklinikal, dan tiga tahun seterusnya merupakan tahun klinikal bagi pelajar Perubatan Universiti Ain Shams.

isahlan2

Dalam taklimat tersebut , Dr. Suzy juga mengulas tentang kuliah pembelajaran tahun satu yang telah tertangguh selama enam minggu. Hal ini sekaligus menyebabkan peperiksaan pertengahan tahun yang dijangka bermula akhir Disember ini ditangguhkan selepas cuti musim sejuk. Sungguhpun begitu, beliau menegaskan bahawa pihak universiti akan berusaha untuk memastikan para pelajar dapat mempelajari topik-topik yang telah terlepas dengan baik di samping tidak membebankan para pelajar.

 

isahlan

Program orientasi yang turut diiringi oleh ahli jawatankuasa AHLAN ’13 seterusnya mengadakan lawatan ke sekitar kawasan universiti termasuk Jabatan Akademik Tahun 1 dan juga perpustakaan. Pelajar tahun 1 memberi respon yang baik terhadap program yang dijalankan di samping komitmen yang diberikan para pentadbir. Jawatankuasa AHLAN turut membawa para pelajar menguruskan keperluan akademik seperti buku-buku kuliah Tahun Satu serta dibawa menziarahi  rumah-rumah senior sekitar Abbasiyah.

Terdahulu, Jawatankuasa AHLAN dengan kerjasama jawatankuasa USMB Majlis Kebajikan Keluarga Kedah dan Majilis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan menyambut ketibaan pelajar-pelajar Tahun 1 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Seramai 22 orang dari tajaan Zakat Negeri Kedah telah tiba pada 12 November manakala 5 orang  pelajar dari tajaan Zakat Negeri Sembilan  telah tiba pada 5 November yang lalu. Selain itu, sesi ramah mesra bersama jawatakuasa AHLAN  selaku wakil PERUBATAN Cawangan Ain Shams turut diadakan di Rumah Negeri Kedah dan Negeri Sembilan dalam mengeratkan lagi hubungan antara antara mahasiswa baru dan senior.

is ahhlan

Pihak jawatankuasa AHLAN dan seluruh mahasiswa Universiti Ain Shams mendoakan agar para pelajar Tahun 1 dapat menyesuaikan diri  dengan kehidupan baru sebagai mahasiswa universiti yang cemerlang di Universiti Ain Shams. Sesungguhnya mempelajari ilmu Perubatan itu adalah fardhu kifayah buat umat islam. Namun, apabila seseorang itu bertekad untuk menceburinya maka, ia menjadi fadhu ain ke atas individu tersebut.