Hayyu Sabie’, 22 November – Setelah seharian berkampung di markas PERUBATAN Darul Hamka, akhirnya Program Sambutan Mahasiswa Baru (AHLAN ’13) telah melabuhkan tirai penutupan dengan jayanya. Seramai 28 orang peserta mendaftar seawal jam 7.30 pagi. Program bermula dengan acara perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP), Saudari Nihal binti Mohd Tarmizi. Saudari Nihal dalam ucapannya turut berkongsi pengalaman dan tips berguna untuk peserta menjalani kehidupan di bumi Mesir ini. Beliau turut menyatakan harapannya agar para peserta berusaha menjadi seorang doktor muslim yang profesional.

ahlan

Seterusnya dalam slot JAKSI, peserta diberi pendedahan berkenaan aspek keselamatan di Mesir daripada pihak JAKSI yang diwakili oleh Pemangku Pengerusi PCS sendiri, saudara Mohamad Alfatani bin Abdullah. Peserta juga diperkenalkan dengan barisan kepimpinan MTP dan AJKT PCS yang dikendalikan oleh saudari Nurul Izzah binti Abdul Halim selaku Timbalan Ketua Jabatan Kebajikan dan Kemanusian Majlis Tertinggi PERUBATAN melalui slot “Biz Biriz” yang membawa maksud “We Are One”.

ahlanka

Selesai solat Jumaat, aktiviti diteruskan dengan slot Gerak Kerja Berkumpulan (GKB 1). Melalui slot ini, peserta menjalankan aktiviti bermodul bersama fasilitator kumpulan masing-masing. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah sesi taaruf dan “First Impression” yang dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara peserta dan ahli lama PCS.

ahlantutup

 

Seterusnya, keletihan para peserta terubat dengan pengisian mantap daripada panel jemputan, Ustaz Jamal Najmuddin bin Sulaiman menerusi slot Wacana : Secangkir Syai Pengubat Letih. Melalui slot yang dikendalikan oleh saudara Zulkifli bin Ab Rahim ini, peserta diberi pendedahan dan thaqafah baru berkenaan sejarah bumi Mesir sendiri dan situasi semasa di Mesir sekarang. Pengisian secara santai ini diakhiri dengan sesi soal jawab bersama peserta program.

Pada sesi petang, program diteruskan dengan slot “Glow With Flow” yang disampaikan oleh saudari Nurul Izzati binti Muhammad Fuad, mahasiswi Tahun 3 Universiti Ain Shams. Dalam program ini, saudari Nurul Izzati memberi pendedahan kepada peserta berkenaan sistem pembelajaran di universiti bagi Tahun 1 khususnya selain turut berkongsi tips-tips untuk cemerlang kepada para peserta.

Majlis diteruskan selepas solat maghrib dengan sedikit tayangan video dan slot bersama Mentor Council (MC). Untuk slot ini, saudari Tohirah binti Nordin selaku Timbalan Unit MC telah memberi penerangan berkenaan MC dan juga Smart Circle (SC). Saudari Tohirah turut menekankan SC sebagai jantung PERUBATAN yang sangat penting sebagai medan untuk melahirkan doktor muslim yang profesional.

Sesi penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi PCS, saudari Farhana binti Bakri. Saudari Farhana menekankan dalam ucapan penutupnya tentang keistimewaan berada di bumi Mesir ini. Beliau turut berharap agar para peserta dapat memperkasakan bahasa arab ammi selain memberi kerjasama dan turut menyumbang kepada PCS. Majlis turut menyampaikan anugerah kepada peserta terbaik dan kumpulan terbaik berdasarkan penilaian yang telah dibuat. Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar, nyanyian lagu tema dan sesi fotografi bersama peserta.

ahlanikh

Diharapkan semoga program AHLAN ’13 ini memberi pendedahan dan panduan kepada ahli PCS yang baharu dalam menjalani kehidupan sebagai mahasiswa perubatan di Perlembahan Nil ini. Semoga ukhuwah yang terjalin antara ahli baharu dan ahli lama PCS berkekalan dan bertambah erat.