Balik sana bila? “, soal saya rambang. Sambil itu, mata ralit memerhati tingkah manusia berpusu-pusu memasuki pintu komuter di Stesen Kepong Sentral.

Tak tahu lagi. Tak berani sebut tentang balik pada emak.” Jawabnya ringkas. Raut wajahnya dihiasi senyum kelat. Saya mengangguk cuma. Membalas senyumannya, saya faham bagaimana penerimaan keluarga di Malaysia akan krisis politik Mesir kala ini.

Sepanjang perjalanan melepasi hampir enam stesen KTM sebelum tiba di KL Sentral itu, saya asyik memikirkan takdir yang diatur Tuhan buat sekalian anak-anak Melayu yang merantau ke bumi kinanah, Mesir. Bayangan demi bayangan hadir menjengah fikiran meskipun saya tahu bahawa akal manusia terbatas daripada membayangkan peristiwa akan datang.

krt

Saya pandang semula senior seuniversiti merangkap pimpinan tertinggi Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir (PERUBATAN). Pimpinan juga anak rantau, terhimpit antara desakan keluarga dan kemahuan diri sendiri. Mereka juga penuntut universiti, seperti kita yang diduga antara keselamatan diri dan keinginan menamatkan enam tahun setengah ijazah kedoktoran.

Dalam pada itu, saya terfikir apakah yang bakal terjadi kepada pertubuhan pelajar di Mesir khususnya PERUBATAN dengan bilangan pelajar Sains Kesihatan yang dijangka berkurangan. Dan, tambah mengelirukan lagi, apabila sebilangan pimpinan yang mengemudi PERUBATAN sendiri tidak kembali lagi ke Mesir. Maka, ke manakah hala tuju organisasi ini dalam keadaan seperti ini?

Organisasi akan terus berjalan seperti sedia kala, selagi mana ada ahli yang menggerakkan organisasi itu sendiri.” Itu adalah komen salah seorang pelajar senior di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Kata orang tua-tua, ” Yang patah tumbuh, yang hilang berganti” . Tampuk yang sedia ada akan kekal meneruskan gerak kerja berbaki hampir satu penggal lagi. Malahan gerak kerja Islam dan program-program tarbiyyah akan terus dilaksanakan selagi tiada aral yang menghalang sebarang pergerakan di bumi Mesir.

Manakala pelajar-pelajar yang berkemungkinan menyambung pelajaran di Malaysia pula bakal mewarnai rona hidup sebagai mahasiswa di Malaysia. Dari sudut positif, nyata sekali Allah menyediakan hikmah di sebalik semua yang berlaku apabila mahasiswa Mesir meneruskan biah yang baik untuk disebarluas dalam komuniti mahasiswa Malaysia. Bila lagi mahu mendidik masyarakat di tanah air sendiri ? Bergeraklah dalam arus dakwah dan tarbiyyah di Malaysia melalui pertubuhan pelajar di Malaysia pula. Hakikat berpersatuan, bekerjalah dalam persatuan yang sekian lama menaungi ahli-ahlinya di sesebuah tempat. Bukankah pandangan ahli sendiri yang mencorak landskap persatuan?

Berbicara perihal peranan ahli dalam sesebuah persatuan, Allahyarham Abdullah Azahari; Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) dalam ucapan dasarnya ada menyebutkan tentang kerjasama seluruh ahli dalam sesebuah organisasi yang sebenarnya menjadi tunggak dalam kemapanan sesebuah organisasi.

Di peringkat permulaan menjadi sebuah cawangan ini, saya menyeru semua ahli agar kita bersama-sama menggerakkan persatuan ini bermula daripada akar umbi dengan cara berlumba-lumba memberi sumbangan, idea dan pelbagai kemahiran yang ada. Hal ini penting dalam usaha menjaga kebajikan semua ahli PCS ini demi mencapai mardhotillah. Sebaik- baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.” – Abdullah Azahari, 20 April 2013

Nilai kerjasama atau ta’ awun dalam sesebuah badan bukanlah perkara yang remeh, malahan secara istilahnya sahaja, kata majmuk ini sudah membawa makna ‘melakukan pekerjaan secara bersama-sama oleh sesebuah kelompok makhluk dengan tujuan supaya pekerjaan itu lebih mudah dilaksanakan’.

Dalam konteks pergerakan persatuan pelajar khususnya PERUBATAN pada waktu ini, kerjasama menuntut penglibatan semua pihak secara langsung. Pada musim ini, barisan kepimpinan PERUBATAN dilihat sebagai wakil pelajar dalam segala urusan pengajian mahasiswa Sains Kesihatan Mesir di Malaysia. Kerjasama yang jitu sudah termeterai antara pihak persatuan dengan pihak atasan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia dan penaja- penaja pelajar. Kebajikan pelajar yang kelak bakal meneruskan pengajian di Malaysia akan tetap diambil kira supaya hak pelajar Mesir di Malaysia yang dijanjikan tidak diabaikan begitu sahaja.

Berlainan pula soal kebajikan ahli- ahli PERUBATAN yang akan meneruskan pengajian di Mesir, kerjasama seluruh ahli dengan pimpinan PERUBATAN Cawangan dilihat sangat penting dan ampuh untuk memastikan soal kebajikan dan keselamatan seluruh warga PERUBATAN di Mesir terjaga. Urusan universiti dikhabarkan akan berjalan seperti biasa, malahan sebahagian universiti sudah pun memulakan sesi pengajian baharu. Sungguhpun begitu, waspada perlu disemat kukuh dalam diri. Soalnya, waspada sememangnya perlu diambil serius walau di mana sahaja kita berada. Bukankah Allah sedang mengingatkan hamba-hambaNya untuk sentiasa bertawakal kepada-Nya? Kembali ke Mesir kali ini umpama Allah mahu kita menyuci dan mentajdid niat asal untuk bermukim di sana.

Join Our Team

Menjadi antara yang akan kembali ke Mesir, saya menyeru seluruh sahabat-handai yang akan kembali ke bumi Anbiya’ untuk kembali bermuhasabah diri. Benarlah setiap yang disusun Tuhan, punya hikmah di sebalik aturan-Nya. Jalan yang ditetapkan Allah mungkin berbeza- beza bagi setiap kita, namun matlamat kita tetap sama. Bukankah hidup demi mencapai mardhatillah?

Ingatlah bahawa ujian yang sedang kita lalui ini hanyalah satu daripada ‘checkpoint‘ sepanjang perjalanan. Bersungguh-sungguhlah dalam kesabaran, nescaya Allah akan mempermudahkan segala urusan. Semoga sentiasa berada dalam rahmat Allah, sahabat- sahabat di Mesir mahupun di tempat yang lain. InsyaAllah.    

 

Ditulis oleh :

Nur As-Syuhada binti Amran
Timbalan Ketua,
Biro Penerbitan dan Penerangan (BPP),
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS)
2013/2014

Tahun 4,
Fakulti Perubatan,
Universiti Ain Shams.