idul adha

 

Bicara tentang korban,umum pastinya umum arif tentang kisah  Nabi Ibrahim alaihissalam  dan anaknya Nabi Ismail alaihissalam. Kisah yang diulang-ulang saban tahun ini sentiasa terpahat di hati ummah sepanjang zaman, yang mana peristiwa ini banyak mengajar kita semua erti sebuah pengorbanan.

Bermulanya kisah agung ini apabila turun perintah daripada Allah kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya. Hati ayah mana yang tidak gundah bila menerima perintah yang sedemikian rupa. Namun, kerana yakin dengan perintah Allah yang pasti terkandung 1001 hikmah, perintah itu dituruti dengan hati yang redha.

Peristiwa pengorbanan ini dirakamkan oleh Allah Subhanallah Ta’ala di dalam surah as-Saffat, ayat 102 hingga 109. Antaranya Allah menyatakan:

“Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:

“Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapat mu.”

Anaknya Ismail menjawab, “wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

Dari ayat-ayat tersebut Allah menceritakan, bagaimana keimanan yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim alaihissalam dapat melaksanakan perintah Allah, sekalipun terpaksa mengorbankan jiwa anak kesayangannya Ismail alaihissalam.

Sebagai refleksi kepada kita semua umat Islam pada hari ini,nilailah, bermuhasabahlah, sejauh mana kita mampu berkorban demi melaksanakan perintah Allah dengan berkorban meninggalkan pesona keduniaan yang sememangnya cukup menggugat keimanan.

 

Refleksi.

Hidupnya kita di dunia ini, punya pelbagai amanah dan tanggungjawab. Sudah semestinya pada setiap amanah dan tanggungjawab, akan turut datang bersama seribu satu episod pengorbanan.

Justeru, pada posisi kita sekarang ini, di manakah pengorbanan kita?

Seorang hamba Allah, mampukah dia mengorbankan masa kita untuk beribadah kepada-Nya?

Seorang pemimpin, mampukah dia mengorbankan tarikan keduniaan seperti rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya?

Seorang ibu atau bapa, mampukah mereka berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak-anak?

Seorang anak, mampukah dia membahagikan masa untuk bersama ibu-bapanya dengan kehidupan peribadinya?

Seorang guru, jurutera, doktor, kerani, petani, kontraktor, ahli perniagaan mahupun seorang penganggur, mampukah dia melakukan sebarang pengorbanan demi berkhidmat untuk agama, bangsa dan negaranya?

Dan mungkin posisi yang paling hampir dengan kita,iaitu sebagai seorang pelajar,mampukah kita berkorban masa dengan meninggalkan kelalaian demi mengutamakan pelajaran?

Tanyalah, muhasabahlah, mampukah kita korbankan sesuatu yang tidak penting(duniawi) demi kebahagiaan abadi(ukhrawi).

Tembaklah diri kita dengan persoalan sebegini rupa agar kita sentiasa beringat bahawa kehidupan dunia ini sementara cuma.

Ayuh, kita ubah apa yang salah. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Demi ummah, sedikit pengorbanan walaupun sebesar zarah, pasti akan mendapat balasan yang setimpal kelak, insya-Allah.

idul adha 2
‘Idul Adha bukan sekadar hari menyembelih haiwan, tetapi juga hari menyembelih ego, dan mengajar nilai kasih sayang juga pengorbanan dalam diri kita sebagai hamba Tuhan.

 

Ditulis oleh :

Khairun Najwa Binti Ali
Tahun 3,
Fakulti Perubatan,
Universiti Ain Shams.