Perang Arab-Israel 1973

Perang Yom Kippur, Perang Ramadan, ataupun Perang Oktober juga dikenali sebagai Perang Arab-Israel 1973, adalah peperangan antara kesatuan negara Arab yang diketuai oleh Mesir dan Syria menentang Israel pada 6 hingga 25 Oktober 1973.

soldier in suez canal in 1973
Terusan Suez, 1973 (ynetnews)

Peperangan tersebut bermula apabila kesatuan Arab melancarkan serangan mengejut terhadap kawasan-kawasan jajahan Israel pada Hari Yom Kippur, iaitu Hari suci bagi kaum Yahudi. Tarikh ini secara kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan tahun itu. Angkatan Mesir dan Syria masing-masing melepasi semenanjung Sinai dan Banjaran Golan. Kedua-dua kawasan ini merupakan kawasan yang dijajah oleh Israel berikutan Perang Enam Hari 1967 dan juga merupakan kawasan genjatan senjata. Amerika Syarikat dan Soviet Union turut memberi bekalan senjata secara besar-besaran kepada sekutu masing-masing sepanjang peperangan tersebut. Ini hampir menyebabkan perbalahan antara dua kuasa besar tersebut.

Perang bermula dengan kejayaan besar angkatan Mesir menyeberangi Terusan Suez. Setelah menyeberangi kawasan genjatan senjata tersebut, angkatan Mesir mara tanpa sebarang sekatan hingga Semenanjung Sinai. Selepas tiga hari, Israel telah berjaya menggerakkan hampir kesemua angkatannya dan berjaya menyekat serangan Mesir, membawa kepada seri terhadap kedua-dua belah pihak.

1973_sinai_war_maps
Perperangan di Sinai, 6-15 Oktober 1973 (Wikipedia)


Sementara itu, angkatan Syria mengkoordinasi serangan terhadap Banjaran Golan supaya serentak dengan serangan Mesir. Strategi ini pada mulanya berhasil menggerunkan pihak Israel. Walaubagaimanapun dalam masa tiga hari, angkatan Israel telah berjaya memaksa angkatan Syria berundur dari kawasan genjatan senjata tersebut. Kemudian mereka malancarkan serangan balas terhadap Syria. Dalam masa seminggu, artileri Israel mula mengebom pinggir bandar Damascus.

1973_Yom_Kippur_War_-_Golan_heights_theater
Peta Menunjukkan Pertempuran di Banjaran Golan. (Wikipedia)

 

Dalam pada kerisauan presiden Mesir, Anwar Sadat terhadap keadaan sekutu terbesarnya, beliau percaya dengan menguasai dua laluan strategik yang terletak di Sinai  akan mengukuhkan kedudukannya. Lalu beliau mengarahkan angkatan Mesir kembali menyerang, tetapi berjaya dipatahkan dengan pantas. Kemudian angkatan Israel mula menyerang balas, menyeberangi Terusan Suez memasuki Mesir, dan sedikit demi sedikit menuju kearah Kaherah dalam lebih kurang seminggu. Situasi ini membawa kerugian yang besar kepada kedua-dua pihak.

1973_sinai_war_maps2
Perperangan di Sinai, 15-24 Oktober 1973 (wikipedia)

 

Pada 22 Oktober, perjanjian genjatan senjata oleh UN diumumkan secepat mungkin, dengan setiap pihak menyalahkan satu sama lain. Pada 24 Oktober, angkatan Israel telah mengukuhkan posisi mereka dengan mengepung tentera Mesir dan bandar Suez. Keadaan ini menimbulkan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Oleh itu, genjatan senjata kedua telah dikenakan secara kerjasama pada 25 Oktober bagi menghentikan peperangan ini. Pada masa itu, angkatan Israel berada cuma 40 kilometer dari Damascus dan 101 kilometer dari Kaherah.

israeli tank
Kereta kebal tentara Israel yang musnah. (Wikipedia)

Peperangan ini turut memberi implikasi yang besar. Dunia Arab, yang telah dimalukan dengan kekalahan berat sebelah  pakatan Mesir-Syria-Jordan dalam Perang Enam Hari, merasa puas hati daripada kejayaan awal konflik tersebut. Bagi Israel pula, walau dengan pencapaian operasi dan taktik yang memberangsangkan di medan perang, peperangan ini telah membuktikan bahawa mereka tidak mampu menawan negara Arab dengan kuasa tentera. Perubahan persepsi ini telah membawa kepada Perjanjian Kem David yang mengembalikan Sinai kepada Mesir dan pengiktirafan kepada Israel oleh negara Arab. Mesir mula menjauhi Soviet Union dan meninggalkan langsung pengaruh Soviet.

 

 

Sumber :

http://www.historylearningsite.co.uk/
http://en.wikipedia.org/wiki/Yom_Kippur_War
Video Youtube bertajuk : 1973 Arab-Israeli October War

 

 

Ditulis oleh :

Hanif Bin Khairudin
Tahun 3,
Kuliah Perubatan,
Universiti Ain Shams.

Beliau juga pernah menulis artikel sebelum ini bertajuk : 5 BEST TEACHERS IN ANIMES!