3 September, Selangor – Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil khusus buat Allahyarham Abdullah bin Azahari berlangsung dengan lancar di rumah saudara Muhamad Faiz Mujahid di Putra Heights, Subang kelmarin.

Majlis yang merupakan anjuran Biro Pembangunan Insan (BPI) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) yang dirancang beberapa hari selepas pemergian Allahyarham Abdullah ini mengumpulkan hampir 30 kenalan dan sahabat – handai Allahyarham Abdullah yang berada di Selangor. Rata- ratanya belum berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarham Abdullah di Terengganu.

image

Dalam waktu yang sama, pihak PCS yang diwakili Timbalan Ketua Biro Kebajikan PCS; Sharifah Norsyahidah binti Engku Taufik turut menziarahi keluarga Allahyarham Abdullah di kediamannya di Dungun, Terengganu.

Menurut ibu Allahyarham Abdullah; Rosfaliza bt. Mat Ros ketika ditanya tentang keadaan jenazah ketika ditemui, jenazah kelihatan sempurna, tiada patah malah tiada luka langsung. Cuma darah yang tidak henti- henti keluar dari telinga menjelaskan pendarahan dalaman dari bahagian kepala Allahyarham Abdullah. Ibu kepada sembilan cahaya mata termasuk Abdullah ini bercerita dalam derai air mata, namun sering menyebut, “emak reda”.

Puan Rosfaliza bersama suaminya, Azahari bin Abu Bakar turut menyampaikan pesanan buat semua kenalan Allahyarham Abdullah terutamanya perihal hutang yang belum tertunai oleh Allahyarham. Sebarang tuntutan boleh dibuat terus kepada keluarga Allahyarham Abdullah. Kedua- dua ibu bapa Allahyarham juga mengharapkan agar hubungan silaturrahim antara anak mereka dengan sahabat handai tidak terputus dengan cara sentiasa menghulurkan doa buat Allahyarham Abdullah.

Tambah mereka lagi, pintu rumah keluarga Allahyarham Abdullah sentiasa terbuka untuk semua. Puan Rosfaliza juga turut menghalalkan sebarang pemberian terakhir Abdullah kepada semua. Malahan pakaian, buku dan barang- barang Abdullah yang masih tertinggal di Mesir turut dibenarkan untuk diambil. ” Ambillah sebagai hadiah pemberian terakhir daripada Arwah.” Kata Puan Rosfaliza untuk akhirnya.

image

Terdahulu, Allahyarham Abdullah terkorban dalam suatu nahas jalan raya di kilometer 0.3 susur keluar di Lebuhraya Pantai Timur Ajil – Bukit Besi dalam perjalanannya ke Sekayu pada tanggal 28 Ogos yang lalu. Allahyarham meninggalkan ibu bapa serta lapan adik- adiknya sebelum menghadap Ilahi. Allahyarham juga merupakan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) sesi ini iaitu sesi 2013/2014. Pemergiannya dirasai oleh seluruh kenalan Malaysia yang menuntut di Mesir lebih – lebih lagi mahasiswa Universiti Ain Shams. Semoga roh Allahyarham Abdullah bin Azahari sentiasa berada dalam rahmat Allah. Al-Fatihah.