Pada saat kita dibuai leka sang dunia, terkadang akan datang sesuatu yang boleh menggugah jiwa. Menjadikan diri lemah tidak bermaya, mengenang peringatan Allah buat hambanya.

Tika diri kita hampir melupakan Allah, datang aneka macam peringatan untuk seorang insan berstatus hamba, wujud pula solat untuk mengembalikan hati kita kepada-Nya, diseru lima kali sehari, syariat yang telah semestinya wajib. Agar dengan itu, hati kita akan terus menerus berhubung dengan Allah Ta’ala dan hati kita terpaut utuh kepada-Nya.

Namun, kadang-kadang, Allah datangkan juga buat kita ‘pakej besar’ berupa peringatan dan ujian. Moga-moga dengan itu, hati kita jadi lebih lembut dan mudah kembali kepada Allah Ta’ala.

Waktu.

Masa yang datang bagaikan air yang berlalu tanpa halangan, selalu pergi tanpa dimanfaatkan. Itu sebenarnya membawa suatu kerugian besar, terutamanya buat insan yang sedang melalui zaman mudanya, zaman yang penuh gilang gemilang. Mungkin hari ini kita tidak menyedari, namun tidak mustahil pula di akhir usia nanti, ada perkara besar yang akan disesali.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Qardhawi, tatkala membicarakan tentang hubungan kehidupan dan waktu, “Waktu adalah hidup itu sendiri maka jangan sekali-kali engkau sia-siakan sedetik pun dari waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Setiap orang akan mempertanggungjawabkan usianya yang tidak lain adalah rangkaian dari waktu. Sikap negatif terhadap waktu nescaya membawa kerugian, seperti gemar menangguhkan atau mengulur waktu, yang bererti menghilangkan kesempatan. Namun, kemudian ia mengkambinghitamkan waktu saat ia merugi, sehingga tidak punya kesempatan untuk memperbaiki kekeliruan.”

Pada akhir zaman ini, keberkatan masa sangat ditagih. Masa yang sama, tetap 24 jam sehari, sama dengan orang-orang terdahulu. Namun, keberkatan masa itulah yang menjadikan masa kita berbeza dengan orang lain.

Tidak pernahkah kita lihat, seorang yang dalam satu masa, pelbagai aktiviti yang bermanfaat mampu dilakukannya. Semua waktu terisi, semuanya bermanfaat, bukan ke arah maksiat. Hebat! Sedang kita tahu, masa kita semua tetap sama, 1440 minit sehari. Nah, itulah kuasa keberkatan masa. Tiada satu masa pun dibenarkan atau digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat.

Cerdik.

Sudah ke universiti, sudah cerdikkah kita?

Sudah ke universiti, belajar diluar negara pula, cukup cerdikkah kita?

Urut dada…  Bertanya pada diri, cerdikkah sebenarnya aku ini?

” قال رسول الله – صلى الله عليه وآله وسلم – : ” الكيس من دان نفسه وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من أتبع نفسه هواها وتمنى على الله الاْماني

“Orang yang cerdik(sempurna akal) ialah orang yang selalu memperbaiki dirinya dan beramal untuk bekal sesudah mati. Sedang orang yang bodoh ialah yang selalu mengikut hawa nafsunya dan mengharap pengampunan Allah.”

Cerdik atau bodoh? Jawapan itu ada pada kita, kita sahaja yang tahu.

Syaitan tetap musuh utama kita. Hawa nafsu bukan untuk dituhankan,

Setiap insan yang tahu dan sedar, sejauh atau selaju mana dia berlari di dunia ini, dia tetap akan diberhentikan dan seterusnya akan berpindah ke alam lain. Itu suatu yang pasti. Di alam lain itulah, penentu segalanya. Ke jannah atau jahannam.

Lalu, ketika dalam larian itu, dia perlu penuh stamina, cukup istiqamah dan tsabat di atas jalan yang diperintahkan oleh Tuhan Sang Khaliq, untuk mengerjakan sebanyak yang mungkin ibadah kepada-Nya, untuk terus mengejar penuh iltizam pelangi nan indah berupa reda-Nya.

Walau alam dunia hanya sebuah persinggahan, namun larian perlu juga diteruskan, bekalan harus dicari. Kerana di dunialah tempatnya melaburkan segala yang termampu, untuk mendapatkan tuaian pelaburan yang lumayan di alam akhirat nanti.

cerdikkah
Fikir kembali, apakah persediaan kita?

Taqwa

Kita beramal ibadah kepada Allah, kerana kita ini hanya seorang hamba, hanya hamba, bukan siapa-siapa. Tujuan kita dijadikan sudah sememangnya hanya untuk menghambakan diri kita menyembah Dia yang Maha Esa.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
(Adz-Dzaariyaat 51:56)

Taqwa ini jugalah, yang akan menjadi antara bekalan berharga nanti. Sebesar mana pun darjat kita dengan manusia lain, di sisi Allah, hanya TAQWA yang membezakan segalanya.

Si miskin yang makan berlaukkan telur rebus lebih mulia daripada si kaya yang makannya bermata-mata lauk pauknya jika dia seorang yang benar-benar bertaqwa berbanding si kaya yang hanya mengejar dunia.

Lihatlah, bagaimana taqwa itu begitu penting dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba. Kerana, yang dinamakan taqwa itu, bukan sebarangan orang boleh mencapainya secara istiqamah. Hanya yang setia bermujahadah dijalan-Nya sahaja yang mampu meniti jalan ini. Jalan yang mulia di sisi Allah.

Juga, bekalan taqwa inilah yang bakal menjadi bekalan kita menghadap Tuhan sekalian alam, Allah ‘Azza Wa Jalla. Bekalan yang besar nilainya dan yang belum tentu dimiliki dengan mudah oleh sesiapa.

Orang Mengenang.

“Tengoklah dia. Walaupun sudah lama meninggal dunia, tetapi kebaikannya menjadi perbualan orang lain. Segala kebaikan dan manfaat yang diberikan kepada orang lain, menyebabkan dia benar-benar dikenang dan sentiasa didoakan kebaikan.”

Pernah dengar kata-kata orang seperti itu?

Kebanyakan mereka, menjunjung peribadi dan sabda Rasul junjungan untuk menjadi insan bermanfaat semasa hidup mereka. Biarlah sekecil mana pun manfaat yang mampu diberikan, tetap juga akan diusahakan. Hidup mereka sarat adegan-adegan pengorbanan, hingga kadang-kadang, kepentingan diri sendiri sudah tidak terlalu diendahkan.

Seperti hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam yang menyatakan :

عَنِ جابر، رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Jabir radhiyallau ‘anhuma bercerita bahwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Shahihul Jami’ . no. 3289)

Maka, dengan itulah mereka bergerak tanpa lelah, mahu menjadi insan bermanfaat buat yang lain, moga dengan itu mereka dapat jadi sebaik-sebaik manusia.

Kita sebenarnya harus merenung, cuba membayangkan, apakah kita ini sudah cukup bermanfaat buat insan lain? Juga, agaknya, jikalau ditaqdir kita pergi nanti, apa yang bakal kita tinggalkan? Apa yang bakal dikenangkan?

Membuatkan ramai orang mengenang kita, bukan suatu yang mudah.

Mari, jadi insan yang bermanfaat buat insan lain!

Adakah diriku ini wujud sekadar bayangan? Bermanfaatkah diri aku buat insan lain?
Adakah diriku ini wujud sekadar bayangan? Bermanfaatkah diri aku buat insan lain?

 

Terus Berjuang.

Buah akhir, dengan rendah hati, saya mengajak agar kita semua, sama-sama menghadiahkan al-Fatihah buat mantan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams(PCS), Allahyarham Abdullah Azahari, yang sangat kita sanjungi dan sayangi.

al-Fatihah….

Allahyarham telah meninggalkan sesuatu yang bermakna buat kita semua, sebuah jalan juang untuk terus kita berjuang di atasnya. Sama-sama kita saling membantu sesama kita, saling mengukuhkan, agar kita jadi lebih kuat selepas ini. Moga-moga, segala pengorbanan yang Allahyarham curahkan, dikira amal soleh oleh Allah Ta’ala buatnya.

Antara ayat-ayat Allah  yang diperingatkan oleh Allahyarham dalam ucapan awal tatkala menjadi Pengerusi PCS ialah Surah al-‘Asr. Dengan itu, saya ingin ulang kembali terjemahannya untuk sama-sama kita hayati dengan hati suci nan terbuka.

“Demi Masa!”

“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian “

“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Al-‘Asr 103:1-3)

Jangan berseorangan. Marilah saling berpesan-pesan.
Jangan berseorangan menuju hadapan. Marilah saling berpesan-pesan.

Kata seorang ulamak,”Jalan menuju Allah itu panjang, dan kita berjalan dalamnya umpama seekor kura-kura. Bukanlah matlamat untuk sampai di akhir hujung titik jalan itu. Tetapi sesungguhnya matlamatnya ialah untuk mati di jalan itu.”

Terkadang, inzar(peringatan) yang besar tidak terus menghempap kita, tetapi menghempap orang lain. Lalu dengan itu, kita tidak terlalu merasakan perit pedih sebagai mana mereka yang menanggung. Namun, hembusan aura inzar itu juga terkadang mampu mengulit pedih hati-hati orang di sekelilingnya, yang  turut membawa kesan, walau ia hanya sekadar hembusan.

Moga dengan itu, kita tidak terus leka dan lena, tetapi pantas mengambil pengajaran.

Bangkit, dan terus tsabat!

 

Wallahua’lam.

Muhammad Iqbal Bin Samsudin,
Faculty of Medicine,
Ain Shams University.
http://ibnuddin.com