Abbasiyah, 1 Julai – Jawatankuasa Ihya’ Ramadhan (IHRAM) 2013 PERUBATAN Cawangan Ain Shams terus menjalankan program-program bermanfaat sepanjang Ramadan ini untuk warga Ain Shams. Baru-baru ini telah dilangsungkan program qiammullail dan sahur jamaie di rumah saudara Abdul Malek manakala akhawat bertempat di rumah saudari Syuhada Azhar yang dihadiri warga Ain Shams yang masih berbaki di kawasan Abbasiyah.

Program dimulakan dengan kehadiran para peserta sekitar jam 10.30 malam usai solat terawih. Warga Ain Shams disediakan kemudahan tempat tidur dan qiammullail bermula sekitar pukul 2 pagi dan dimulakan dengan penerangan ringkas oleh saudara Abdul Malek berkenaan program tersebut.

 

DSC_0271

Slot tersebut dimulai dengan solat tahajud, solat taubat dan diakhiri dengan solat hajat secara berjemaah dan diimamkan warga Ain Shams sendiri. Selesai berqiammullail, peserta dihidangkan juadah sahur beramai-ramai dan program diteruskan lagi dengan solat subuh berjemaah dan tazkirah subuh yang disampaikan oleh saudara Tengku Huzaifah Tengku Mokhtar . Beliau mengingatkan tentang kelebihan malam Lailatul Qadr dan ciri-cirinya selain menyeru warga Ain Shams untuk turut serta dalam program-program yang dianjurkan PERUBATAN Cawangan Ain Shams agar dapat dapat lebih kenal mengenal dan merapatkan ukhwah antara satu sama lain.

DSC_0281

Memetik kata-kata saudara Tengku dalam tazkirahnya, “Rasulullah SAW kita, akan menjauhi para isteri Baginda pada 10 malam terakhir. Rasulullah akan menghidupkan malam dengan amal ibadah dan turut mengejutkan ahli-ahli keluarga Baginda untuk berqiammullail bersama Baginda.”

Program seperti ini ternyata dapat mengubat rasa rindu kepada keluarga walau berjauhan di Malaysia. IHRAM terus berusaha menyediakan program-program bermanfaat khusus untuk warga Ainshams dalam usaha menyuburkan rasa cinta kepada Ramadhan yang bakal meninggalkan kita selain menggalakkan kita merebut fadhilat malam-malam terakhir Ramadan , seiring dengan agenda PERUBATAN, ‘Pembangunan Modal Insan’.