Usai dhuha aku berjalan pantas menuju pelabuhan. Manusia ikut berpusu. Kata-kata ‘Aziz sebelum aku keluar dari rumahnya tadi membuat aku sedikit kucar. Masih berbaki 6 hari untuk Ramadan. Kelihatan si Yahudi juga sang Kristian menghurung pelabuhan yang mungkin dalam perjalanan ke Jerusalem. Sekumpulan pegawai pelabuhan Sarakin, memeriksa dan membuat daftar atas setiap sesuatu dengan cekat.

Pelabuhan di Kota Iskandariah terbahagi kepada dua. Pada bahagian timur disediakan untuk kapal-kapak Kristian. Manakala sebelah barat untuk kapal orang Islam. Di antara dua pelabuhan tersebut, Pulau Pharos memisahkan keduanya.

Ghairah aku hilang pada keindahan Iskandariah. Meskipun ia terlihat meriah, namun aku sepi. Aku ingin segera pulang ke Kaherah.

Iskandariah tidak terhubung dengan Nil. Jadi ia dihubungkan dengan sebuah parit buatan yang digali beberapa tahun dahulu. Ia mengunjur ke arah timur dan melintasi kota Fuwwa memasuki cabang dari Sungai Nil. Kemudian dari hulu akan terus menuju ke Kaherah. Seandainya tiupan angin dari utara baik, perjalanan 140 batu ini mungkin mengambil masa 5 hari.

image
Pada dinding kiri bot, aku bersandar. Kedudukan pembacaan al -Quran aku sekarang pada Juzuk 27. Bot ini dari jenis Falukah. Mempunyai satu tiang layar yang berdiri serenjang dengan lunas. Dengan layar berbentuk segi tiga yang besar. Ia terus menyusur pada tubuh Nil dengan tenang. Aku tetap dengan pembacaan. Memasuki surah at Tur.

“Demi gunung Sinai. Dan demi kitab yang ditulis. Pada lembaran yang terbuka. Demi Baitul Ma’mur. Demi atap yang ditinggikan. Demi lautan yang penuh gelombang. Sungguh, azab Tuhanmu pasti terjadi.”

Titis air mata mula mengungsi dari takungnya. Betapa besar rahmat Tuhan pada hambanya. Tidak diterbalikkan sahaja hamba-Nya yang berdosa ini tenggelam ke dasar Nil.

‘Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku.’

Juga, maafkanlah dia, Tuhan…

“Engkau tidak mahu membeli sebarang bekal?” , sapa Ahmad. Teman semusafiran aku. Orang asal Habshah.

“Tidak perlu. Aku masih punya baki dari belian semalam.”

Persisiran sungai Nil tidak sunyi dari dari tumpuan. Wujud aneka jualan. Hakikatnya, sang musafir tidak perlu membawa sebarang bekalan seandainya berada di Sungai Nil. Rangkaian pasar yang bersambung dari Kota Iskandariah hingga ke Kota Kaherah.

Aku teringat kata-kata Symon Semeonis, pengembara Irish yang aku jumpa di Kaherah dahulu.

“Sungai ini amat menyenangkan untuk pelayaran, amat indah dalam banyak seginya, amat subur akan ikannya, melimpah ruah jumlah burungnya, dan airnya amat sihat dan enak untuk diminum, tidak pernah membuat sakit, tetapi amat sesuai bagi keperluan manusia.”

Seandainya Symon Semeonis ini duduk di zaman tuan-tuan, nescaya hilanglah pandangan beliau ini. Dengan Shistosomiasis yang endemik, seram!

Bulan mula mengganti tempat sang mata dini hari. Bersabit dilangit. Gelap zulumat menyelimut alam. Tidak ada neon, pendaflour atau mentol. Hanya bintang-bintang menaburi dada langit. Juga seperti huruf-huruf yang terlakar dengan lakuran emas pada helaian yang terbentang luas. Seakan ia menyimpan segala rahsia-rahsia Tuhan.

“Setiap hari ketentuan dan ruang masa membentangkan kitab ini di hadapan mata kepalamu,
surah ke surah, ayat ke ayat dan huruf ke huruf
supaya dapat kamu pelajari isi huruf dan larik ini.
Tetapi, bagi mereka  yang mencapai penglihatan kepada semua penglihatan dan
pendengaran kepada semua pendengaran, sesiapa yang melampaui alam perintah,
memegang ilmu kepada seluruh buku dalam sekelip mata dan sesiapa yang telah melengkapkan diri dengan ilmu seluruh buku ini,
ia melepaskan hatinya daripada buku ini, menutup buku ini dan meletakkannya ke tepi.


“Ingatlah, pada hari langit Kami gulung seperti menggulung lembaran-lembaran kertas.”

(al-Anbiya’:104)”

Ku genggam erat Quran ke dadaku rapat.

Masjid Muizuddin’illah tersergam tegap di hadapan aku. Menara merah dengan di puncaknya punya 5 bentuk kubah. Signifikan bagi dirinya. Dentum gema dari arah Qal’ah kedengaran. Tanda waktu berbuka puasa. Puasa Ramadan terakhir bagi tahun ini. Ramadhan 712 Hijrah, Januari 1313. Selamat hari raya bagi aku, perantau waktu.

 

Hasil Nukilan,

Che Muhammad Nur Anas Bin Che Kadir.